KAT HASSAN TITISKAN AIRMATA...KENAPA?
Kat Hassan bersama albumnya "Menggoda" |
Inilah sebenarnya pertama kali Kak Fas bertemu secara dekat dengan bintang realiti tv, Mentor musim ke 2 itu sejak dikenali ramai. Bahkan pemilik nama sebenar Siti Khatijah Hassan ini juga merupakan adik ipar kepada rocker Amy Search sehingga ada kata-kata liar yang mengatakan Kat sebenarnya menumpang nama Amy untuk meraih populariti.
Itu antara gosip yang diterimanya semenjak menyertai Mentor pada tahun 2006.
Kini, setelah enam tahun berdiam diri, Kat Hassan bukan sahaja mewarnai kembali dunia hiburan bahkan muncul dengan album terbitannya sendiri di bawah Kat Entertainnment berjudul "Menggoda", dilancarkan bulan April lalu.
Siapa sangka dalam usaha 25 tahun, Kat sudah berjaya menghasilkan album sulongnya atas label sendiri edaran Warner Music. Dan bukan berhenti setekat itu sahaja, Kat sekarang mengumumkan perancangannya untuk menganjurkan Konsert Amal bagi mengisi dana untuk disalurkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM).
"Sasaran saya mahu menyalurkan sekurang-kurangnya RM25,000 untuk mengisi tabung PBSM melalui konsert amal ini," ujar Kat kala ditemui di Red Box, The Garden petang tadi.
Menurut Kat, beliau memilih PBSM memandangkan persatuan itu mampu menyalurkan bantuan kepada golongan susah yang dilanda pelbagai musibah.
"Hati saya tersentuh dengan kesengsaraan masyarakat contohnya seperti mereka yang kehilangan keluarga serta tempat tinggal kerana bencana alam seperti tsunami, banjir dan sebagainya," cerita Kat.
Sebaik ditanya kenapa dia begitu teransang untuk beramal, Kat menitiskan air mata dan menahan sebak seraya berkata, 'saya dapat merasakan bukan senang hidup susah. Hati saya sedih melihat orang susah, anak-anak yatim mahu pun golongan yang ditimpa masalah, tak sampai hati saya untuk tidak membantu mereka."
Sambil mengesat titisan air mata yang hadir tanpa diundang, dapat disimpulkan penyanyi yang digelar "Rock Chic" ini mempunyai hati nurani yang lembut. Barangkali juga beliau mengingati pengalamannya sendiri mencari wang ringgit selama enam tahun bagi merealisasikan impian menghasilkan album sendiri.
Kat akui dirinya jenis orang yang mendahulukan orang lain dan tidak tahan melihat pengemis dan mudah rasa kesian.
"Dengan konsert amal inilah cara saya membantu meringankan beban masyarakat yang memerlukan dan saya pilih Persatuan Bulan Sabit Merah sebagai badan untuk menyalurkan dana berkenaan kepada golongan yang mereka kenal pasti memerlukan bantuan," tambah Kat.
Menurutnya, selain daripada hasil jualan tiket sebanyak RM30 seorang yang hadir ke konsert, beliau juga akan melakukan penjualan albumnya termasuk 'single' artis pertama di bawah naungannya iaitu Deanna Sofea.
Melahirkan rasa puasnya terhadap bakat Deanna yang dikenali melalui kelas vokal Cikgu Shafi, Kat percaya artis pertamanya itu boleh berjaya dengan bimbingan sempurna.
"Deanna lembut, manja dan seorang yang tidak hipokrit malah mempunyai vokal yang sedap." ujar Kat terhadap penyanyi berusia 19 tahun itu.
Sementara itu, Kat turut mengumumkan harapan untuk menganjurkan konsertnya pada skala besar dengan melibatkan artis jemputan daripada luar negara.
"Saya bercadang mengadakan konsert di Genting Highlands pada bulan Mac depan dan berharap ada pihak penaja yang sudi tampil memberikan tajaan," Kat berharap.
Pun begitu, Kat yang kini nampak sedikit berisi daripada bentuk tubuh badannya yang langsing enam tahun lalu berpendapat berat badannya meningkat sebab beliau kini suka bermakan.
"Agaknya saya susah hati kut sebab bila susah hati saya akan makan banyak," kata Kat yang suka dengan masakan ketam masak lemak. Barangkali sepinya Kat selama enam tahun setelah alami depresi gara-gara tidak yakin untuk memulakan kerjaya nyanyian menyebabkan selera makannya terbuka.
Yang nyata, wajah penyanyi berusia 25 tahun ini kini nampak ceria dan segar dan kemunculannya kembali di persada seni tanah air dengan "Menggoda" diyakini dapat menaikkan kembali popularitinya sebagai penyanyi dan pelakon.
Menyambung kembali soal 'showcase'nya pada 31 Oktober ini, Kat turut mengadakan peraduan promosi album di mana selain album dan poster yang akan diberikan percuma, pemenang bertuah berpeluang membawa pulang jam tangan Swatch.
Pemberian jam dikaitkan dengan 'showcase' amal Kat bertujuan menyampaikan mesej 'jangan lambat untuk Konsert Amal Kat Hassan' memandangkan jam lambang reputasi tinggi jenamanya iaitu dipercayai, tepat dan kontemporari.
Jadi, apa lagi... bagi peminat yang sudah lama merindui Kat bolehlah melayan godaannya seperti tajuk album barunya itu pada 31 Oktober ini sambil beramal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan