CERIA SUPERSTAR MUSIM KE 2 BERMULA 27 OKTOBER
8 KUMPULAN bergambar bersama Pak Nil, Aril, Cik Ely serta para juri di sidang media baru-baru ini. |
Berikutan kejayaan dan maklum balas positif daripada para
penonton, pihak Astro Ceria dengan berbesar hati membawakan program realiti
yang berkonsepkan pertandingan tarian khusus untuk kanak-kanak iaitu Ceria
Superstar yang kini kembali menceriakan hujung minggu anda untuk musim yang
kedua dengan pengisian yang lebih mantap dan segar. Program Ceria Superstar Musim 2 bakal
ditayangkan pada setiap hari Ahad, jam
11.30 pagi bermula 27 Oktober 2013 secara eksklusif menerusi saluran 611.
Menarik lagi, program
Ceria Superstar masih mengekalkan Khairil Azam Pilus atau Aril sebagai
pengacara serta Datuk Aznil Hj. Nawawi atau Pak Nil yang sekali lagi menggalas tanggungjawab sebagai
penaung untuk musim yang kedua ini. Selain daripada itu, program Ceria
Superstar juga akan diserikan lagi dengan kehadiran koreografi yang cukup
dikenali dalam bidang tarian iaitu Belalang
dan Alam Wakaka yang merupakan juri tetap untuk musim ini.
Setelah menjelajah ke
empat buah lokasi iaitu Kota Kinabalu, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kuala
Lumpur, akhirnya lapan finalis terbaik telah dikenal pasti untuk bersaing di
atas pentas Ceria Superstar bagi musim yang kedua. Lapan finalis tersebut
merupakan peserta berkumpulan iaitu Kumpulan
THE IMPOSSIBLE KREW (T.I.K.), Kumpulan ZEPPO YOUNGSTERZ CREW, Kumpulan WARISAN
N9, Kumpulan NATION ONE, Kumpulan 3 ANGELS, Kumpulan DIAMONIQ, Kumpulan REBORN
6 CREW dan Kumpulan THE GLAM GIRLS.
Juara Ceria Superstar bakal membawa pulang hadiah lumayan
berupa wang tunai sebanyak RM 20,000. Naib juara pula bakal memenangi RM 15,000.
Manakala pemenang tempat ketiga RM 10,000 serta tempat keempat akan membawa
pulang hadiah wang tunai berjumlah RM 5,000.
Menurut Pengurus Saluran Astro Ceria, Cik Hadzelynda
Khairuddin berkata, “Selaku saluran yang
cukup sinonim dengan penerbitan program-program yang disasarkan khusus untuk
kanak-kanak, pihak Astro Ceria tidak pernah jemu untuk terus membekalkan
program hiburan berkualiti yang menghiburkan untuk disajikan kepada para
penonton.
Justeru, kami
bawakan kembali pertandingan tarian Ceria Superstar yang telah mendapat tempat
di hati para penonton sekaligus berjaya mengumpul kelompok pengikutnya yang
tersendiri berdasarkan kejayaan program ini pada musim lalu.
Kekuatan Ceria
Superstar adalah pada konsep dan formatnya yang unik dan tersendiri kerana ia
menawarkan platform dan peluang untuk si cilik memperlihatkan bakat dalam
bidang tarian sekaligus menempa nama dalam bidang ini. Ia tidak hanya
memberikan hiburan semata-mata malah turut mempromosikan amalan gaya hidup yang
sihat dan cergas menerusi aktiviti fizikal yang diterjemahkan dalam bentuk seni
tarian. Aktiviti seperti ini juga boleh disifatkan sebagai satu bentuk senaman
yang menyeronokkan.
Program ini juga dilihat sebagai satu platform untuk mereka
mengenali karakter serta membina keyakinan diri melalui aktiviti-aktiviti yang
akan dilakukan di samping mendidik mereka mengenai kerjasama dalam sesebuah
pasukan. Di samping memberi hiburan buat seisi keluarga, Ceria Superstar ini
juga memainkan peranan penting dalam melatih kecergasan dan membina keyakinan
di kalangan mereka,” ujar Hadzelynda.
Program yang bakal bersiaran selama 10 episod ini akan
membawa penonton melihat perkembangan setiap peserta. Pelbagai cabaran yang
harus ditempuhi oleh para perserta pada setiap minggu. Episod
minggu pertama juga akan menampilkan sesi ujibakat berserta ‘bootcamp’ sebagai
perserdiaan untuk kelapan-lapan peserta yang telah terpilih. Manakala minggu
kedua hingga minggu kesembilan akan bermulalah cabaran mingguan dengan pelbagai
tema untuk setiap minggu.
Bagi merancakkan lagi kemeriahan untuk musim
ini, dua buah program tambahan baru turut diperkenalkan iaitu Ceria Superstar
Xtra dan Ceria Superstar Backstage yang pastinya menghiburkan para penonton
dengan pengisiannya yang cukup menarik.
Bakal bersiaran selama 10 episod, program Ceria Superstar Xtra akan menyiarkan
pelbagai aktiviti menarik, sesi latihan dan kisah menarik mengenai para
perserta sekaligus memberi peluang kepada para penonton untuk mengenali mereka
dengan lebih dekat. Menarik lagi, program ini turut menampilkan adik Wafiy sebagai hos yang telah dicungkil
bakatnya menerusi program Ceria Popstar dan Ceria Superstar Musim Pertama
terbitan Astro Ceria sebelum ini. Program ini boleh ditonton pada setiap hari Sabtu, jam 11.30 pagi
bermula 2 November 2013.
Manakala program Ceria
Superstar Backstage pula bakal bersiaran pada setiap hari Sabtu, jam 11.40 pagi bermula 2 November 2013. Program
yang dihoskan oleh adik Farhanna Qismina atau lebih dikenali sebagai Sweet ini
bakal memaparkan perkara yang berlaku ‘di sebalik tabir’ iaitu kejadian sewaktu
sebelum, semasa dan selepas rakaman. Para penonton kini boleh menonton temubual
secara santai bersama juri tetap, koreografer, penaung dan sebagainya menerusi
program ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan