Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

'SANTAI SELEBRITI MEDIA ANITA' DI EDC UUM MERIAH

BERGAMBAR Kenangan bersama Naib Cancelor UUM di Bistro Mayang Sari, EDC UUM, SIntok baru-baru ini.


Sudah lama sebenarnya Kak Fas  tidak mengikuti Santai Selebriti Media  yang dianjurkan Anita Entertainment & Production. Seingat Kak Fas kali terakhir adalah ketika  bersantai di Eagle Park Resort, Perlis pada siri Santai Selebriti Media ke 11.

Kak Fas sewaktu di Ekuin UUM....

Sehubungan itu, ketika menerima pelawaan Anita untuk menyertai Santai Selebriti Media ke 46 iaitu ke EDC UUM Sintok, pastinya Kak Fas tidak melepaskan peluang. Pertama yang Kak Fas lakukan adalah mencari maklumat mengenai  EDC UUM Sintok dan tentu sekali ‘ Google’ adalah pusat rujukan di hujung jari yang pantas  untuk mendapatkan gambaran mengenai hotel di Sintok, maklumlah ia agak jauh dari ibu negeri Kedah, Alor Setar tetapi berdekatan Changloon.


Disebabkan belum pernah menjejakkan kaki ke persekitaran Universiti Utara Malaysia itu, terdetik hati untuk menerima pelawaan  Anita Yusop untuk bersama menaiki kenderaan  12 tempat duduk mengharungi  lebih kurang 7 jam perjalanan dari Kuala Lumpur.

EDC UUM Sintok, Kedah.

Sungguh pun agak dua jam menunggu ketibaan team Anita menjemput Kak Fas di perkarangan Hentian Duta namun penantian terbalas dengan  program yang diaturkan serta layanan mesra  semua kakitangan EDC UUM SIntok yang diketuai oleh Pengurus Besarnya, Encik Wan Husaini Wan Rahman (gambar bawah, kiri).


Sebaik melangkah ke lobi EDC UUM Sintok yang luas, team Anita yang turut dihadiri  tiga artis popular iaitu Khaty Azian, Royce Sa’ayan dan Mamat Exist terus di bawa ke Restoran Sri Beringin  untuk menjamu selera  dengan nasi dan lauk pauk yang lazat sebelum diserahkan kunci bilik masing-masing.


Membuka pintu bilik bernombor 118 di mana Kak Fas ditempatkan bersama  Royce Sa’ayan, tidak disangka bilik jenis standard berharga RM180 ini amat luas dan selesa  dengan  pemandangan bahagian taman ‘hotel. 

Harga bilik yang menghadap bukit bukau khabarnya bernilai RM165 namun tetap  dengan keluasan yang sama serta fasilitas yang memuaskan lengkap bahan-bahan ‘toiletries’  termasuk berus gigi dan ubat gigi disediakan.


Boleh dikatakan  bilik ini mampu menempatkan sekeluarga empat orang sekiranya anda mempunyai dua orang  amak di mana selapis tilam yang tebal boleh diturunkan bagi keselesaan tidur kamak-kanak atau menempah katil tambahan.


Bilik berhawa dingin ini turut disediakan peralatan membancuh kopi/teh serta  tv kabel yang juga menyiarkan saluran Astro  khususnya  CNN dan saluran Sukan serta movie.  EDC UUM memiliki 88 buah bilik penginapan termasuk  enam bilik jenis ‘suite’ iaitu 4 buah untuk Sri Cerana berharga lebih kurang RM400 dan Sri Meranti  bernilai RM600 yang mempunyai sebuah lagi bilik dua katil. 


Dengan harga  lebih RM400 itu sudah pasti hiasan dalamannya  cukup eksklusif  dihiasi settee,  dapur kering, kamar tidur serta  kemudahan  lengkap sebuah ‘hote’l penginapan.

HIASAN dalaman suite lengkap settee eksklusif.

Barangkali anda tertanya-tanya kenapa Kak Fas tidak menyebut EDC UUM sebagai ‘hotel”.  EDC adalah singkatan bagi perkataan Executive Development Centre iaitu sebuah pusat yang pada awalnya dibina bagi menempatkan  penginapan dan sebagai pusat latihan untuk para eksekutif dan pelajar di bidang  pelancongan pengurusan dan hospitaliti.


“Kami belum  boleh meletakkan perkataan ‘hotel’ sebab pada asalnya ia adalah sebuah pusat pembangunan sahaja dan untuk mengisytiharkannya  sebagai hotel kami perlu mempertingkatkan kemudahan  sebagai sebuah hotel dan perancangan itu sedang dirancangkan,” ujar Pengurus Besar EDC UUM Sintok, Encik Wan Husaini sewaktu ditemui.

Menurut Encik Wan Husaini pihaknya sedang  merancang pembinaan sebuah kolam renang dan selepas segala syarat di penuhi  EDC UUM akan dinaikkan tarafnya sebagai sebuah hotel empat bintang.

Perancangan itu turut disuarakan Naib Cancelor UUM, Profesor Dato Wira Dr. Mohamed Mustafa Ishak dalam ucapan penutup perasmian Santai Selebriti Media  pada hari terakhir.

“UUM sedang merancang pembinaan Tower Dua melibatkan bangunan 13 tingkat dengan  kos pelaburan  antara  RM70-100 juta   dan dijangka beroperasi pada tahun 2017,” ujar Naib Cancelor UUM itu.

NAIB Cancelor UUM

Menurut Dr. Mohamed, pembinaan akan melibatkan 220 bilik penginapan dengan dewan bankuet yang mampu memuarkan 1,000 orang dan tempat meletak kereta tiga tingkat.

“Harapan kami dengan adanya kemudahan hotel sebegini ia boleh menjadi  pusat untuk menampung keperluan sesiapa yang  bercadang mengaturkan seminar, konferens dan sebagainya. Mereka ini tidak perlu lagi berkunjung ke Kuala Lumpur kerana boleh menganjurkannya di sini, “ tambah beliau.

Majlis Santai Selebriti Media  selama 3 hari 2 malam  dimuatkan dengan aktiviti melawat kawasan persekitaran UUMseluas 1,061 hektar  yang menempatkan  30,000 pelajar termasuk lebih 2,000 adalah pelajar antarabangsa dari 50 buah Negara.

Lawatan pertama bermula di Litar Go Kart International UUM  di mana  para selebriti berpeluang mencuba memandu  go kart mengelilingi trek sepanjang 1.2 km. Pusat ini memiliki 10 kart untuk pemanduan dengan  tiga harga meliputi RM30 bagi umum, RM15 untuk 
kakitangan UUM serta RM5 untuk para pelajar UUM bagi pemanduan  5 pusingan.




Ternyata Mamat Exists antara penyanyi yang seronok memandu setelah sekian lama tidak menaiki go kart katanya,  manakala Khaty Azian, Royce Sa’ayan mahu pun Anita Yusop mencubanya  dalam pemanduan yang  cukup berhati-hati. Biar lambat asalkan selamat kata orang.

MAMAT Exists (kiri) bersama team Anita Entertainement bersedia untuk berlumba go kart.

Pun begitu, ternyata rata-rata yang mencuba memandu cukup terhibur walau pun berpeluang melakukan dua atau tiga pusingan sahaja  di dalam cuaca yang panas terik.


ROYCE diberi penerangan sebelum memandu go kart.
Seterusnya  rombongan yang diketuai oleh Pengurus Pemasaran & Jualan EDC UUM, Encik Rozaidi Yahaya ,  Pengurus Event dan F&B, Encik Zack Hassan,  Encik Akhtar Ahmad Darwis selaku Pengurus Kewangan & Pentadbiran serta Pengurus Bahagian Bilik Penginapan, Cik Junaidah Yusof , dibawa ke ladang rusa  yang terletak berhampiran.

Cuaca yang panas memperlihatkan rusa-rusa yang berkeliaran  menghampiri pagar untuk memakan daun-daun yang dihulurkan kepada mereka  waima persekitaran kandang 
mereka,  daun daun yang ada semua nya  tinggal ranting dan kering.

Khaty Azian nampak begitu teruja memetik  daun-daun hijau untuk dihulurkan kepada rusa-rusa yang menghampirinya  termasuk yang lain-lainnya.

Aktiviti seterusnya membawa  team Santai ke Pusat Ekuin UUM bagi acara menunggang kuda namun disebabkan waktu kehadiran bertembung dengan waktu kuda perlu diberikan makanan maka  aktiviti menunggang kuda dilewatkan sehingga  selepas makan tengah hari di Academia Lounge UUM dan setelah mendaki 163 anak tangga ke Puncak Vista.

ANITA tidak ketinggalan mencuba menunggang kuda,

MAMAT pertama kali berpeluang menunggang kuda di Pusat Ekuin UUM
Melalui Puncak Vista, anda berpeluang melihat panorama kawasan UUM  pada ketinggian 90 meter. Walau pun dah lama tak mendaki, Kak Fas gagahkan juga sampai ke puncak. Yang tidak menyertainya  cuma Khaty Azian yang tunggu di dalam van. Barangkali beliau mahu menyimpan tenaganya untuk mengacara  sesi santai malam  di perkarangan Bistro Mayang Sari UUM kelak.

 Beliau enggan juga menunggang kuda sekembalinya ke Pusat Ekuin  kerana fobia dengan binatang itu. Begitu juga Royce yang khabarnya pernah  cedera ditendang kuda sewaktu kanak-kanak. Jadi yang berani dan pertama kali mencuba hanyalah Mamat Exists. 

“Ini pengalaman pertama saya kerana belum pernah menunggang kuda sebelum ini,” kata Mamat meluahkan perasaan terujanya sambil Khaty yang berada di tepian gelanggang kuda sekadar mampu bertepuk dan ketawa kecil melihat gelagat Mamat.


Pun begitu, apabila tiba bab hiburan hanya Khaty yang mampu menarik tetamu ke lantai dansa untuk menceriakan suasana malam  yang dipenuhi dengan acara berhibur dengan persembahan Mamat dan Royce bersama kumpulan DWG yang dianggotai dua pemuzik  iaitu  Ken Erwan dan Nizam.



 Menurut Ken, mereka bermain secara live pada hari Jumaat dan Sabtu sahaja untuk menghiburkan tetamu yang mengunjungi Bistro Mayang Sari iaitu sebuah café terbaru dilancarkan pada 30 Mac 2014  yang menyediakan ‘cuisine fusion’ – Barat dan Oriental.

Hiasan dalamannya dalam rona merah dan hitam dihiasi gambar pelakon dan penyanyi lagenda seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Allahyarham Sudirman Hj Arshad, mendiang Elvis Presley dan mendiang Michael Jackson.

Menurut Encik Zack,  pemilihan selebriti terlibat merangkumi dua generasi iaitu yang veteran mahu pun  golongan muda sebagaimana gabungan hidangan fusion yang dihidangkan di Bistro Mayang Sari berkenaan yang mampu memuatkan kira-kira 100 pengunjung.


Team Santai berpeluang bukan sahaja merasai makanan lazat Barat dan Oriental malah dihidangkan juga menu steamboat yang cukup menyelerakan apatah lagi muzik live menjadi halwa telinga. Selain hari Jumaat dan Sabtu pengunjung boleh berhibur dengan sesi karaoke.

KUMPULAN DWG mengiringi nyanyian Royce dan Mamat sepanjang sesi berhibur di Bistro Mayang Sari.

Malam pertama menyaksikan persembahan oleh Royce dan Mamat Khalid diiringi muzik dari DWG dan para pengjunjung yang hadir tidak melepaskan peluang berpeluh di lantai tarian setelah diundang oleh Khaty Azian selaku pengacara majlis.

 Tiga pelajar luar Negara UUM yang menjamu selera  di situ, kemungkinan dari Afrika  tidak melepaskan peluang  menari dan bernyanyi setelah diundang oleh Khaty malah kakitangan EDC UUM pun cukup 'sporting' apabila diajak bersama maklumlah seseorng  harus bermula  untuk menari terlebih dahulu untuk memancing lebih  ramai lagi ke lantai dansa. Malam kedua iaitu pada sesi karaoke, team Santai turut meraikan hari jadi staf EDC UUM En Akhtar (gambar bawah).


Pendekata, selama tiga hari dua malam di EDC UUM, terasa bagaikan tidak mahu pulang memandangkan banyak lagi acara yang boleh dirancangkan namun setiap pertemuan perlu ada titik noktahnya.

Santai Selebriti Media Anita berakhir di majlis perasmian penutup bersama Dr. Mohammed Mustafa di Bistro Mayang Sari dengan pertukaran cenderamata tanda ingatan.

Selamat Tinggal EDC UUM  semoga bertemu kembali pada santai akan datang.  Ia satu pertugasan ala percutian yang  cukup nostalgik dan tidak harus dilepaskan oleh mereka yang inginkan tempat isytirehat yang damai dan tenang  di kelilingi rimba tropika menghijau yang sejuk saujana mata memandang. 

MERAKAMKAN Gambar Knangan di EDC UUM SIntok, Krdfah.

Info lanjut berhubung tempahan bolehlah menghubungi talian  04-9288888/8811 atau layari laman web www.edc.uum.edu.my

Lagi gambar- gambar "Santai Selebriti Media Anita"  ke 46 yang dianjurkan oleh Anita Entertainment & Production untuk tatapan anda. 
Barangkali melalui tatapan gambar ini menggerakkan maluri anda untuk menjadikan EDC UUM Sintok destinasi percutian kelak.

ENCIK WAN (kanan) dan En. Rozaidi.

1 ulasan:

  1. Terimakasih Kak Fas, kerana coretan yang lengkap dan menarik.

    BalasPadam