Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

BMW LANCAR DUA MOTOSIKAL BAHARU MEWAH




Pengeluar kenderaan premium melancarkan motosikal yang menawarkan keseronokan tunggangan sebenar melalui model BMW R nineT dan roadster berprestasi tinggi, BMW S 1000 R baharu.    


BMW Group Malaysia memperkenalkan BMW R nineT  baharu, sebuah roadster klasik yang dicipta untuk meraikan 90 tahun BMW Motorrad serta BMW S 1000 R baharu, model “naked” yang merupakan imaginasi semula model lagenda BMW S1000 RR dalam menyerlahkan tenaga dinamik yang sejati dan agresif.


BMW R nineT baharu sememangnya menggambarkan masa lampau syarikat yang gemilang melalui reka bentuk klasik, minimalis dan fokus terperinci terhadap aspek teknikal. Reka bentuk BMW R nineT yang tidak pernah wujud sebelum ini mencetuskan hubungan emosional di antara manusia dan mesin. Semua itu berpegang pada prinsip, selain aspek teknikalnya yang dapat berfungsi tanpa cacat-cela, sebuah motosikal mestilah mampu merangsang semua deria penunggangnya, menimbulkan emosi hebat dan menawarkan prestasi di atas jalan yang mengujakan. Dengan isyarat gayaan yang definitif dan ciri teknikal tercanggih, BMW R nineT baharu dibina untuk mereka yang gemarkan pengubahsuaian, sekali gus membolehkan ia dicipta menjadi sebuah jentera yang benar-benar unik.


“BMW R nineT baharu ialah sebuah motosikal roadster klasik yang dihasilkan oleh pihak BMW Motorrad untuk memenuhi kehendak peminat tegar motosikal yang inginkan keseronokan tunggangan yang tidak pernah dialami sebelum ini. Ketika membangunkan  BMW R nineT baharu, istilah-istilah seperti “kesederhanaan sejati” dan “emosi” sentiasa berada dalam senarai  teratas. Kami di BMW Group Malaysia bangga untuk memperkenalkan model roadster klasik ini. Ia adalah satu intisari terhadap gaya dan ekspresi yang sempurna untuk mereka yang menginginkan keterujaan tanpa henti, sama ada ketika sekadar berhenti di hadapan sebuah kafe atau menyusuri jalan-jalan kampung,” kata Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Dr. Gerhard Pils pada majlis pelancarannya di Arena Ais, Sunway Pyramid baru-baru ini. Turut hadir Ketua  Kumpulan BMW Kawasan Asia Pasifik, Timur Tengah, China dan Afrika Selatan, Encik Florian Renndorfer.


Sementara itu, dinamik tunggangan superbike yang mengagumkan, serta gayaan roadster yang penuh emosi menjadi tanda dagang kepada BMW S 1000 R baharu. Ia dibina berdasarkan konsep keseluruhan yang telah difikirkan secara teliti dan mencetuskan tarikan sebuah motosikal yang sebenar. BMW S 1000 R baharu menggabungkan reka bentuk agresif dan ergonomik sporty dengan sebuah enjin berprestasi tinggi, chasis serta teknologi suspensi yang inovatif. Di samping pengendalian jitu bersama standard kestabilan paling tinggi. Semua aspek ini akan membawa segmen sports roadster ke satu tahap yang baru.



Beliau  yakin bahawa menerusi pengenalan BMW R nineT dan BMW S 1000 R baharu yang menjangkau kelompok pelanggan lebih luas, prestasi pertumbuhan jenama premium itu di pasaran Malaysia akan terus berkembang.


Dr. Pils memberitahu, “Berdasarkan kejayaan kami pada suku pertama 2014, saya yakin BMW Group Malaysia akan mengikut kejayaan rakan-rakan kami di peringkat global. Kami berbesar hati untuk mengumumkan sebanyak 105 unit motosikal Motorrad telah diserahkan kepada pelanggan sehingga Mac 2014. Ia merupakan peningkatan sebanyak 8% berbanding 97 unit motosikal Motorrad yang dihantar kepada pelanggan dalam tempoh sama tahun lalu.” 


Dalam bentuk siluet, BMW R nineT  baharu menyerlahkan keanggunan yang kasual. Enjin Boxer, tangki minyak kompak dan gayaan ekor roadster klasik yang nipis adalah sebahagian daripada unsur yang menyempurnakan perkadaran definitifnya.  Ketika memberi fokus kepada elemen-elemen reka bentuk yang paling penting pada motosikal ini, para pereka bermula dengan memberikan badan BMW R nineT  baharu rupanya yang asal. Digabungkan dengan sejumlah kecil komponen yang dihasilkan secara teliti, BMW R nineT baharu tampil sebagai sebuah motosikal yang memiliki tema gayaan klasik dan moden bersama kemasan berkualiti tinggi jika dilihat dari mana-mana sudut pun.


Sekali pandang, kematangan dan keseimbangan BMW R nineT baharu boleh dilihat dengan jelas menerusi lampu utama berbentuk bulat yang diposisikan secara menegak. Ia menjadi fokus utama pada siluet bahagian hadapannya. Lampu itu kemudian digabungkan dengan warna kontras tiub fork terbalik yang berkuasa dan berteknologi tinggi disadur warna emas. Bentuk klasik enjin boxer  pula memberikan garis keseluruhan yang kemas pada BMW R nineT baharu. Satu kluster instrumen yang terdiri daripada dua unit speedometer klasik berbentuk bulat dan tolok kaunter rev (rev counter gauges) diintegrasikan dengan harmoni bersama reka bentuk hadapan roadster klasik ini. Rekaan ringkas tolok-tolok ini menjadi bukti kepada inspirasi klasik di sebalik kejuruteraaan BMW R nineT baharu yang menggabungkan kemudahan teknologi moden. Sebagai contoh, komputer pada BMW R nineT baharu yang menjadi ciri standard berperanan menyediakan maklumat penting kepada penunggang seperti gear yang sedang digunakan, perbatuan, kelajuan purata dan penggunaan bahan api.


BMW R nineT baharu dikuasakan oleh enjin boxer dwi silinder longitudinal yang sudah begitu sinonim dengan motosikal keluaran BMW sejak 90 tahun lalu. Sejak debut motosikal pertama BMW iaitu BMW R 32 pada tahun 1932, enjin boxer BMW Motorrad cukup dikenali dengan rekaannya yang lasak, penghantaran kuasa tork mengagumkan dan bunyi deruman yang tiada tandingan. Selaku nadi kepada BMW R nineT baharu, enjin boxer bersesaran 1,170cc dengan sistem penyejukan udara atau minyak itu mampu menawarkan kuasa sehingga 81kW (110hp) @ 7,550rpm dan tork puncak 119 Nm @ 6,000rpm dengan tahap rev maksimum ditetapkan pada 8,500rpm. Kuasa daripada enjin boxer kemudian dihantar ke roda belakang roadster klasik ini melalui aci pacu kardan dan kotak gear enam kelajuan. 


Injap pada roadster klasik ini dipasang dengan susunan radial di dalam kebuk pembakaran. Pemasaannya dikawal oleh aci sesondol overhead berkembar (COHC) yang dipacu oleh rantai untuk setiap silinder. Injap-injap ini digerakkan oleh sesondol yang ringan, sekali gus membuatkannya ideal untuk revving tinggi, manakala pemipis alur hemisfera (hemispherical shims) yang ringan digunakan untuk tujuan mengosongkan injap. Bagi menawarkan karekter dinamik kepada BMW R nineT baharu, nisbah transmisi sekunder pada gelung gear dan pinan telah dipendekkan untuk memberikan kuasa pecutan maksimum dan penukaran gear yang lancar.


Melihat ke sebelah kiri BMW R nineT baharu, anda boleh melihat satu sistem ekzos dengan dua unit penyenyap diserlahkan melalui paip tahan karat yang diletakkan di atas antara satu sama lain. Maka bunyi enjin boxer yang tidak dapat ditiru dapat dihasilkan kerana BMW R nineT baharu menggunakan injap akustik yang dioperasi menggunakan sebuah servomotor elektrik serta kabel-kabel bukaan dan tutupan. Untuk penunggang yang mahukan sentuhan lebih personal kepada roadster klasik ini, BMW Motorrad ada menawarkan pelbagai pilihan penambahbaikan ke atas sistem ekzos. Misalnya, memasang unit penyenyap titanium Akrapović dengan pelindung haba karbon yang nyata menambah aspek kehalusan teknikalnya.  Selain itu, sistem ekzos BMW R nineT baharu boleh ditinggikan and direndahkan dengan hanya memasang satu paip penyambung yang pendek atau panjang pada unit penyenyap di hadapan. Maka, ia pastinya memberi gayaan berbeza pada roadster klasik ini.


Sebagai sebuah motosikal yang dibina untuk prestasi, geometri chasis BMW R nineT baharu juga telah dikonfigurasi untuk menawarkan kualiti pengendalian dan keseronokan tunggangan yang lebih cemerlang, terutama ketika menyusuri laluan kampung.

Ini dapat dilihat pada tapak rodanya yang berukuran 1,476mm, ekor 102.5 mm dan bar hendal berada pada kedudukan 64.5 darjah. Selain itu, penunggang boleh menghasilkan gaya mereka sendiri pada chasis BMW R nineT baharu dengan konsep kerangka yang direka khas. Dibina menggunakan kerangka besi tiub yang baru dibangunkan, binaan modular itu terdiri daripada empat komponen: kerangka utama pada bahagian hadapaan, kerangka utama belakang, kerangka bahagian hujung dan kerangka untuk pembonceng yang disambung di antara satu sama lain. Dengan kerangka bahagian belakang dan penunggang yang boleh dibuka, para pelanggan BMW R nineT baharu memiliki pelbagai cara untuk mengubah suai penampilan visual roadster klasik ini menjadi sebuah roadster yang sporty.


Sebagai sebuah roadster klasik, BMW R nineT baharu dibina dengan pelana yang rendah iaitu kira-kira 785 millimeter dan tidak terlalu lebar. Ini membolehkan penunggang dan pembonceng menikmati tempat duduk yang selesa. Namun, jika mahukan tempat duduk yang lebih lebar dan empuk,  para pelanggan BMW boleh memilih untuk menaik taraf tempat duduk belakang yang hadir bersama kemasan aluminium berkilat. Lebih menarik lagi, tempat duduk pembonceng boleh dibuka dengan mudah (ada lapan skru) dan menggantikannya dengan satu penutup aluminium bagi melengkapkan gaya sebuah café racer klasik, sekiranya penunggang mahukan tunggangan solo yang bergaya.



Motosikal ini juga boleh berubah rupa dengan menanggalkan kerangka belakang bersama pemegang nombor plat dan lampu belakang bagi memberikan gaya BMW R nineT baharu yang lebih segar dan ringan.


Bukan sekadar mampu menukar BMW R nineT baharu daripada sebuah roadster untuk dua orang menjadi jentera lumba yang bergaya, pasukan jurutera di BMW Motorrad turut memastikan penunggang diberikan peluang untuk membuat modifikasi chasis dengan lebih ekstensif. Roda hadapan BMW R nineT baharu kini dilengkapi fork teleskopik terbalik baharu yang terbaik dalam kelasnya, bukannya suspensi jenis telelever yang lazimnya ada pada model boxer BMW Motorrad. Penggunaan suspensi ini menghasilkan penampilan klasik yang lebih harmoni. Roda belakang pula menggunakan lengan ayun parelever sebelah yang merupakan satu ciri klasik pada model-model berenjin boxer dengan sistem penyejukan udara. Suspensi dan peredam pada roda ini dikawal oleh sebuah topang gegelung berpusat.


Dengan roda diperbuat daripada tempaan aluminium, prabeban gegelung boleh dilaras secara hidraulik. Manakala tahap lantunan peredam juga boleh dilaras. 

Pelbagai perincian fork teleskopik terbalik itu berjaya menarik perhatian terhadap kualiti pengilangan karekter roadster klasik ini. Sebagai contoh, yok-yok (yokes) dengan boltnya tirus dan cagak peredam stereng yang juga tirus diperbuat daripada tempaan alunimium kukuh bersama satu proses semburan manik kaca serta kemasan yang disadur anod secara semula jadi. Pendakap apit untuk bar hendal juga diperbuat daripada aluminium dan mempunyai perkataan BMW Motorrad. Manakala plat model yang dipasak pada kepala stereng mengingatkan kembali reka bentuk motosikal klasik BMW. Ini menjadi bukti terhadap perincian sewaktu proses pembangunan BMW R nineT baharu. 


Untuk terus mengubah suai BMW R nineT baharu, perumah pacuan gandar belakang mempunyai tiga poin cagak yang boleh digunakan. Misalnya bagi melekatkan satu pendakap untuk meletak nombor plat di sebelah lampu. Roadster klasik ini juga mempunyai banyak ruang di antara penyenyap dan lengan ayun yang membolehkan roda standard bersaiz 17 inci dengan lebar 5.5 inci boleh ditukar dengan tayar selebar enam inci tanpa sebarang masalah. Biarpun berpenampilan tradisional, BMW R nineT baharu menggunakan roda jejari lidi berkualiti tinggi. Ia terdiri daripada rim aloi yang disadur warna hitam tanpa bebibir, hab tuang aluminium, jejari lidi besi tahan karat dan tayar dengan tiub. 


Saiz tayar untuk roda hadapan dan belakang ialah 120/70 ZR 17 dan 180/55 ZR 17. Kedua-duanya mewakili elemen penting dalam menghasilkan motosikal yang bergaya dan direka untuk tunggangan berprestasi tinggi. Sementara jejari lidi besi tahan karat, hab dan rim berwarna hitam menyerlahkan gaya masa lampau 90 tahun BMW Motorrad. Madgad hadapan merupakan satu lagi ciri menarik BMW R nineT baharu. Ia diikat oleh dua pendakap tempaan pada bahagian bawah fork dan menjadi salah satu sentuhan yang mengikuti tema gayaan motosikal klasik. Komponen ini juga disempurnakan dengan proses semburan manik kaca serta kemasan yang tersadur secara semula jadi.


Rim lidi klasik itu kemudian dikontraskan menerusi brek cakera berkembar berprestasi tinggi yang sangat sofistikated untuk dipadankan dengan prestasi dinamik  BMW R nineT baharu. Menampilkan angkup brek monoblok empat omboh radial, garis brek yang dililit dengan besi dan cakera brek terapung bersaiz 320mm, brek berprestasi ini akan memastikan kuasa membrek yang terbaik biarpun jika ditunggang dalam gaya paling sporty. Kuasa membrek roda belakang disediakan oleh brek cakera tunggal bersaiz 265mm dengan omboh berkembar angkup terapung. Sudah pasti, BMW R nineT baharu hadir dengan BMW Motorrad ABS yang dipasang sebagai ciri standard, sama seperti semua motosikal BMW.


Selain itu,  BMW R nineT baharu didatangkan dalam skim warna hitam klasik (Black Storm Metallic) dengan kontras warna perak dan metalik untuk menyerlahkan rasa motosikal klasik yang sebenar.


Reka bentuk BMW S 1000 R baharu yang dinamik terus diserlahkan dengan aspek ergonomiknya yang sempurna – satu elemen tradisional pada reka bentuk motosikal BMW. Dengan tempat duduk serendah 814mm, BMW S 1000 R baharu memang sesuai untuk semua peminat roadster. Ditambah dengan bar hendal alunimium yang panjang dan tirus bersama pendakap apit, penunggang boleh menunggang dengan postur badan yang lebih releks. Tempat letak kaki yang telah direka semula membolehkan kaki diletak dengan selesa dan sporty. Hasilnya, posisi tunggangan BMW S 1000 R baharu yang santai akan menawarkan tunggangan lebih bersemangat di laluan terbuka, selain selesa untuk perjalanan jarak jauh.


Sebagai sebuah roadster berprestasi tinggi yang baru, BMW S 1000 R baharu dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris bersesaran 999cc yang sama pada BMW S 1000 RR. Enjin ini memiliki ukuran lejang berdiameter 80mm dan  sepanjang 49.7mm, selain menggunakan satu lengan jumpelang (rocker arms) yang kecil dan ringan.  Digabungkan dengan rantai pemasaan aci sesondol yang dipacu oleh gegancu yang pendek dan bergigi, kestabilan rpm maksimum serta pemasaan injap yang tepat dapat dicapai. Bagaimanapun, enjin empat silinder sebaris pada BMW S 1000 R baharu telah dioptimumkan untuk mencapai prestasi terbaik sebuah roadster. Ia kini mampu menjana kuasa maksimum 118 kW (160 hp) @ 11,000rpm dengan tork mencecah 112Nm @ 9,250 rpm. Pada 7,500rpm, enjin versi ini mampu menghasilkan 10Nm tork lagi berbanding BMW S 1000 RR. Ini membolehkannya menawarkan maklum balas lebih baik sepanjang julat rpm yang sememangnya perlu untuk tunggangan sporty di atas jalan biasa. 



Enjin berprestasi tinggi yang direka semula untuk BMW S 1000 R baharu juga melibatkan sejumlah modifikasi. Ini termasuklah saluran kepala silinder yang telah dipertingkatkan untuk menambah baik kecekapan isipadu pada julat rendah dan sederhana. Lengkung pada julangan injap juga telah diubah suai di mana rpm maksimum kini pada 12,000 iaitu kira-kira 2,000rpm lebih rendah berbanding BMW S 1000 RR. Bukan itu sahaja, BMW S 1000 R baharu dilengkapi sistem pengurusan enjin BMS-X baharu yang menyokong sistem pendikit dengan wayar E-Gas. Peningkatan prestasi pada sports roadster baharu ini juga disumbang oleh gegelung cucuhan yang telah dimodifikasi. Ia diintegrasikan dengan pencucuh dan alat-alat pengesan baharu di atas overhead aci sesondol pada sistem elektrik dan elektronik enjin.


Satu lagi ciri penting pada sports roadster baharu ini ialah sistem ekszos tahan karat bergred tinggi. Ia terdiri daripada satu flap ekzos yang telah dikurangkan berat dan ditingkatkan kualiti akustiknya. Sistem ekzos inovatif ini juga merangkumi satu penyenyap belakang yang kecil dan cukup bergaya yang membolehkan BMW S 1000 R baharu menepati piawaian standard bunyi bising dan emisi paling ketat tanpa perlu mengorbankan output kuasanya.


Versatiliti BMW S 1000 R baharu telah dipertingkatkan dengan signifikan kerana roadster sporty ini  dilengkapi dua mode tunggangan iaitu “Rain” (hujan) dan “Road” (jalan). Selain sistem brek ABS serta Automatic Stability Control (ASC) yang diintegrasikan sebahagiannya dan didatangkan sebagai satu ciri standard.  Ciri-ciri ini membolehkan sports roadster baharu tersebut memenuhi adaptasi ideal keperluan dan kemahuan seseorang penunggang. Pada masa yang sama menawarkan keselamatan dan prestasi tambahan terutama ketika melalui kondisi jalan yang sering berubah-ubah. Ketika menggunakan mode “Rain”, sports roadster baharu ini akan menawarkan karekter tunggangan lebih lembut dan responsif untuk menyokong penunggang dalam kondisi jalan yang basah. Ketika menunggang di atas jalan yang licin, sistem Race ABS dan ASC akan bertindak lebih pantas. BMW S 1000 R baharu juga akan bergerak dengan output maksimum kuasa enjin 100kW (136 hp) dan tork 104Nm untuk keselamatan yang optimum. Dengan mode “Road” pula, sistem Race ABS dan ASC ditala untuk disesuaikan dengan kondisi jalan yang kering. Mode ini akan menawarkan respons pendikit yang optimal dan kawalan terbaik bersama janaan kuasa tork yang sewajarnya. 


Untuk prestasi yang lebih sporty di atas jalan dan trek perlumbaan, BMW S 1000 R baharu dipasang dengan mode pilihan Riding Pro yang mempunyai dua lagi mode tunggangan iaitu  “Dynamic” dan “Dynamic Pro”. Dynamic Traction Control (DTC) turut disediakan dalam pakej tambahan ini. Ia diintegrasikan dengan alat pengesan sudut tebing yang dijangka menggantikan ciri ASC standard pada jentera sports roadster. Mode “Dynamic” direka untuk operasi sporty di atas jalan kering di mana enjin ditala bagi menawarkan maklum balas pendikit secara terus dengan ambang lebih tinggi dalam Race ABS. Dalam mode ini, gaya tunggangan yang lebih dinamik dapat dicapai kerana alat pengesan pelancar pada roda belakang dinyahaktifkan dan ambang DTC juga berada lebih tinggi. Mode “Dynamic Pro” pula menawarkan pengalaman tunggangan lebih sporty apabila Race ABS beroperasi tanpa alat pengesan pelancar pada roda belakang. Mode ini juga tidak terlibat dengan brek roda belakang, sekali gus membolehkan penunggang berpengalaman melakukan drift ketika memasuki selekoh. Intervensi DTC bagaimanapun ditala untuk tunggangan lebih sporty di atas jalan yang mempunyai tahap cengkaman yang baik.


Biar bagaimanapun gaya tunggangan, chasis dan suspensi BMW S 1000 R baharu adalah sepadan dengan penghantaran kuasa dinamik yang dijana oleh enjin empat silinder sebaris itu. Berdasarkan kepada kerangka aloi perimeter yang sudah terbukti bagus pada BMW S 1000 RR, sports roadster baharu ini juga dipasang dengan fork terbalik boleh laras, di samping dua lengan ayun bersama topang gegelung tengah boleh laras yang mengawal roda hadapan serta belakangnya. Dikawal oleh sistem kinematik yang ringan dan kompak, topang gegelung itu juga membolehkan ubah suai tahap mampatan redaman dibuat. Maka, perubahan kecil ke atas geometri untuk memenuhi keperluan suspensi yang spesifik boleh dilakukan. Hasilnya, titik pusat graviti yang optimum untuk karekter tunggangan yang lebih tepat. Contohnya, sudut jarak castor 65.4 darjah adalah 0.8 darjah lebih sadak (raked) berbanding pada BMW S 1000 RR, manakala bahagian belakang yang bersaiz 98.5mm kini 5mm lebih panjang. Tapak rodanya telah ditingkatkan sebanyak 22mm menjadi 1,439mm. Ia bukan sahaja meningkatkan cengkaman dan kestabilan, malah respons stereng yang lebih baik dan selesa. Semua ini dibina agar selari dengan berat badan 207kg sekali gus membuatkan new BMW S 1000 R baharu sebagai motosikal paling ringan dalam kelasnya yang menawarkan keseimbangan serta pengendalian terbaik.


Kualiti suspensi di pada BMW S 1000 R baharu ditingkatkan lagi dengan sistem Dynamic Damping Control (DDC). Tahap mampatan dan lantunan redaman dihubungkan dengan mode tunggangan yang relevan. Misalnya, jika penunggang perlu membuat penukaran arah di laluan bengkang-bengkok atau permukaan jalan yang tidak rata, sistem DCC mampu membantu roadster ini dengan mengadaptasi situasi tunggangan tersebut secara dinamik. Ia akan memberi maklum balas secara automatik terhadap penukaran arah seperti membrek, memecut, mengambil selekoh serta perubahan kondisi jalan raya. Semua ini dapat dilakukan apabila sistem DCC mengadaptasi dengan mengawal injap redaman secara elektronik. 

Sebagai contoh, apabila berfungsi secara harmoni dengan mode “Rain” dan “Road”, talaan sistem DDC akan menawarkan redaman yang selesa, sesuai untuk permukaan yang teruk atau elok.  Dalam mode “Dynamic”, peredam akan menyediakan jumlah regangan tertentu. Sementara dalam mode “Dynamic Pro” pula, talaan DDC lebih kepada memaksimumkan prestasi BMW S 1000 R baharu sama ada di atas jalan biasa mahupun di trek. Semua ini hadir sekali kerana peredam regangan menyediakan maklum balas yang jelas mengenai situasi tunggangan pada setiap masa. Sistem DDC juga menawarkan cengkaman maksimum untuk menterjemahkan kuasa enjin kepada pecutan. 


Persona dinamik BMW S 1000 R baharu terus diserlahkan melalui gayaan rodanya. Sama seperti BMW S 1000 RR, BMW S 1000 R baharu menggunakan rim aluminium tuangan terap (die cast) penuh gaya dan dinamik. Rim sepuluh jejari itu bersaiz 120/70 ZR 17 di hadapan dan 190/55 ZR 17 untuk roda belakang. Bagi mendapatkan reka bentuk yang paling ringan, brek cakera pada sports roadster baharu ini tidak dipasang secara berasingan. Sebaliknya, ia dipasang terus pada hub roda yang direka khas. 


Sama seperti BMW S 1000 RR, komponen-komponen brek yang selamat, stabil dan berkuasa ini ditawarkan oleh satu sistem brek yang terdiri daripada dua brek cakera bersama angkup dua radial 4 omboh pada roda hadapannya. Dengan hanya menggunakan tuil brek tangan yang disalut jaringan besi, tali brek tahan tekanan akan menyediakan kuasa membrek yang optimum. Dengan brek berprestasi tinggi ini, BMW S 1000 R baharu mampu mencapai poin tekanan yang jelas, tindakan membrek cemerlang, modulasi yang boleh dikawal serta suhu maksimum yang stabil.


Aspek keselamatan yang optimum juga diperoleh melalui sistem brek aktif yang diintegrasikan sebahagiannya dengan Race ABS dan hadir sebagai ciri standard. Dengan sistem ini, penunggang boleh menggunakan brek tangan untuk mengawal brek roda hadapan dan belakang. Untuk mengawal brek belakang sahaja, penunggang boleh menggunakan tuil brek kaki. Sebagai tambahan, penunggang juga boleh memilih tiga karekteristik Race ABS. Ia digabungkan untuk keselamatan maksimum dan benar-benar harmoni dengan mode-mode tunggangan. Perkara ini mampu dicapai kerana penunggang boleh menggunakan prestasi membrek BMW S 1000 R baharu dengan lebih efisien dan selamat. Bagi keperluan khas, Race ABS boleh dinyahaktifkan. Dengan hanya seberat 1.56kg untuk alat kawalan dan berat keseluruhan kurang daripada 2.5kg, sistem ini merupakan antara yang paling ringan di pasaran.


Pada bahagian dalamannya, BMW S 1000 R baharu dilengkapi satu kluster instrumen multi fungsi yang terdiri daripada satu paparan LC dan meter rev analog yang mudah dibaca. Meter ini  memaparkan gear yang sedang digunakan serta mode tunggangan yang dipilih. Suis yang diletakkan di hujung bar hendal sebelah kanan pula mudah dicapai oleh penunggang. Selain itu, pelbagai fungsi yang ada pada BMW S 1000 R baharu membolehkan penunggang menukar paparan kepada mode di trek untuk melihat maklumat terperinci seperti catatan masa terbaharu, terbaik atau masa yang diambil sewaktu pusingan terakhir. Ia boleh memaparkan masa, bagi setiap pusingan, bila brek digunakan, posisi pendikit dalam bentuk peratusan dan jumlah penukaran gear untuk setiap pusingan. Penunggang juga boleh mendapatkan ukuran masa yang tepat untuk analisis data berikutnya seperti pemasa pusingan inframerah HP - satu aksesori istimewa yang boleh dipasang bagi tujuan ubah suai. 


Bagi melengkapkan personaliti sporty dan dinamik sebuah sports roadster, tiga skim warna berbeza ditawarkan untuk BMW S 1000 R baharu. Warna merah (Racing Red) bukan metalik memberikan BMW S 1000 R baharu penampilan yang agresif dan sporty bersama logo “R” pada tangki minyak. Sekali pandang, jentera ini memang juara dalam segmen sports roadster.



 Sementara itu, warna biru gelap metalik (Frozen Dark Blue) menyerlahkan karekter BMW S 1000 R baharu yang elegan dan berteknologi tinggi. Ia menggabungkan elemen sporty dan dinamik bersama tarikan kemewahan yang menjadi bukti kepada kejuruteraan hebat motosikal ini. Akhir sekali, BMW S 1000 R baharu mengambil warna korporat BMW Motorrad sebagai inspirasinya untuk menggabungkan aspek kehalusan binaan dan sporty. Menggunakan warna putih bukan metalik (Light White), skim warna ini memberikan roadster sporty tersebut penampilan yang lincah dan ringan.


Harga runcit di atas jalan, tidak termasuk insurans untuk BMW R nineT dan BMW S 1000 R baharu ialah:          BMW R nineT    RM 115, 800.00 dan   BMW S 1000 R  -   RM 95, 800.00

Tiada ulasan:

Catat Ulasan