PVRTM BAWA IBU KEMBARA KE IPOH DENGAN TREN
Setiap kali hadirnya bulan Mei , rata-rata pihak memikirkan pelbagai aktiviti menarik untuk menyambut Hari Ibu, satu hari yang khas meraikan ibu-ibu yang telah banyak berkorban jiwa raga untuk kebahagian dan kejayaan anak-anak.
Tidak hairan timbulnya pepatah ‘syurga di bawah telapak kaki
ibu’ kerana doa seorang ibu itu makbul
dan ia terbukti daripada cerita-cerita lagenda Melayu seperti Si Tanggang contohnya.
Atas usaha memberikan satu kelainan dalam menyambut Hari
Ibu, Persatuan Veteran Radio Televisyen Malaysia atau ringkasnya PVRTM seharusnya dipuji atas langkahnya menganjurkan program istimewa
yang dinamakan “Kembara Ibu 2014’ dengan kerjasama KTMB dan Tourism Malaysia serta Kerajaan
Negeri Perak.
Ketika menerima
undangan daripada Bendahari PVRTM
iaitu Zohara Gany Batusha yang lebih dikenali dengan panggilan Lola, untuk mengikuti rombongan berkenaan, penulis
tidak berfikir panjang lagi malah terus menyatakan hasrat untuk membuat liputan
berhubung program menarik tersebut.
Selalunya program yang dihadiri meraikan golongan ibu sekadar menikmati
jamuan tengah hari di hotel-hotel ternama namun kali ini ia agak berlainan dan
atas hakikat itulah juga menarik perhatian penulis untuk menyertainya walau pun
program berlangsung sehari suntuk.
Bermula seawal 7 pagi, para peserta rombongan mula berkumpul
di KL Sentral untuk mendaftarkan diri. Keseluruhannya kira-kira 358 orang tidak
termasuk 17 orang di kalanga ahli jawatankuasa PVRTM menyertai Kembara Ibu 2014 berkenaan.
Bayangkan apabila melibatkan jumlah yang ramai sudah tentu
bahagian pendaftaran agak kelam kabut
apatah lagi hanya sebuah meja panjang dengan kira-kira tiga orang petugas
menguruskan ‘check list’ nama untuk meneyerahkan tiket serta tag program.
Mereka yang hadir
terdiri daripada kalangan NGO, Badan
Amal Kebajikan, orang perseorangan termasuk
bapa dan anak yang mengiringi ibu atau isteri masing-masing.
Kala meja
pendaftaran tidak menang tangan menguruskan nama-nama peserta, kalangan yang
sudah mendaftar seperti daripada Persatuan
U3A yang rata-rata berpakaian
baju t rona unggu pula mengambil
kesempatan bersenam ringan dengan
melakukan taichi (gambar atas).
Setengahnya pula mengambil kesempatan menikmati sarapan
pagi manakala hos rancangan ‘Apa Kata
Wanita”, Zamzarina yang ikut serta sempat
di ‘blow’ rambutnya oleh
jurumekap RTM yang penulis kenali sebagai K.
Pada sudut lain pula,
para peserta tidak melepaskan peluang bergambar
berlatarkan papan iklan yang
tertera nama program sebagai kenangan. Pendekata, pastinya KL Sentral yang
lazimnya lengang pada waktu pagi penuh sesak dengan pelbagai ragam manusia.
Sebelum memasuki ruang platform untuk berlepas dengan
keretapi ERL menuju Ipoh, kesemua peserta dihulurkan sebuah bag kertas berisi meehoon dan karipap
untuk sarapan pagi tajaan Restoren Rebung di mana pemiliknya, Chef Dato Ismail turut hadir melaksanakan
pemberian.
Tepat jam 9 pagi, keretapi ERL bertolak dengan ‘flag off’ disempurnakan oleh
Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato Noriah Kasron yang
turut serta dalam kembara ke Ipoh.
Yang lebih ‘happening’ kata orang berlaku di gerabak C memandangkan di situlah para media termasuk
RTM dan selebriti di tempatkan antaranya
Dato Yusni Hamid, Datin Paduka Julie Sudiro, A. Razak Ismail malah sepanjang
perjalanan para peserta dihiburkan dengan nyanyian muzik daripada kumpulan
buskers.
A.Razak yang terkenal dalam tahun 90an sempat mendendangkan serangkap lagu popularnya “Bintang
Malam” manakala temuramah turut
dilangsungkan oleh Zamzarina dengan Presiden Persatuan Veteran Radio Televisyen
Malaysia , Hjh Latipah Sidek.
Sementara itu, Lola yang mengetuai gerabak C kelihatan sebuk memungut nombor hadiah
bertuah malah sempat mencabut tiga nombor sehinggalah diperbetulkan oleh Ketua
Rombongan, Datin Nazliah Hamid yang menjelaskan
cabutan bertuah harus dikendalikan semasa majlis makan tengah hari di
Café Polo.
Terpaksalah nombor yang dicabut dikembalikan sekiranya ingin
memenangi seutas rantai mutiara Rafflesia bernilai RM5 ribu ringgit yang dibawa
khas oleh Bill Bora mewakili Rafflesia. Setiap seorang daripada enam gerabak
berpeluang memenangi rantai mutiara berkenaan
di mana hadiah disampaikan ketika majlis makan tengah hari di Café Polo.
DATO Noriah (tengah), Fee Lin Chew (kiri) dan Latipah Sidek sebaik tiba di stesen Ipoh, |
Kira-kira hampir 11.30 pagi, keretapi yang dinaiki tiba di stesen Ipoh di mana lapan buah bas persiaran sedia menanti untuk dibawa ke persinggahan pertama iaitu jamuan tengah hari tajan Keraaan Negeri Perak di Kafe Polo. Di sini juga, Zamzarina mengambil kesempatan menemuramah Pemangku Pengurus Besar KTMB merangkap Pengurus Pemasaran, Encik Noordin Kimi.
Selain acara cabutan bertuah, para ibu yang menyambut hari
jadi pada bulan Mei dijemput ke pentas
bersama Dato Noriah Kasnon yang juga berbintang Taurus untuk bersama
berkongsi memotong kek kelahiran.
Memandangkan Kafe Polo menjadi persinggahan pertama ramai
pula yang terpaksa ke tandas tetapi yang menyedihkan bagi sebuah kafe yang
besar hanya sebuah tandas berpintu kayu yang
ada waima terpaksa lah beratur panjang.
Dengar rungutan seperti ‘ish teruknya tandas ini, dah la
rosak, tidak bersih pula tu’ malah ada yang dalam nada gurau menyifatkan pintu
tandas seperti tandas dalam filem P.
Ramlee.
Jadi terpaksalah tutup mata sahaja asalkan masing-masing
dapat melepaskan hajat. Sebaiknya pihak
pengurusan Kafe Polo memperbaiki kemudahan berkenaan memandangkan ia tidak mencerminkan
imej kafe yang besar dan luas.
Selesai jamuan, rombongan dibawa terus melawat Perak FM bertempat di Auditorium RTM Ipoh di mana di
sini para ibu yang hadir disambut dengan
pemberian sekuntum bunga setiap seorang.
Dalam ucapan aluannya, Pengarah Penyiaran Negeri Perak, Fee
Lin Chew memberikan penerangan secara
ringkas mengenai Perak FM (dulu Radio 3 Ipoh) sambil memberitahu Auditorium berhawa dingin yang menempatkan rombongan
telah beroperasi sejak 2011 dengan perbelanjaan kos RM 42 juta.
Selama dua jam para ibu bapa dihiburkan dengan acara bacaan
puisi oleh bekas penyampai radio, Mariamah Tejo serta sesi berbalas pantun manakala halwa telinga
pula disegarkan dengan nyanyian dua buah
lagu, “Oh Ibu” dan “Gelora di Dalam Jiwa” oleh Datuk Yusni Hamid diikuti lagu
‘Rindu Lukisan’ dari Datin Paduka Julie Sudiro diakhiri dengan nyanyian
daripada penyanyi veteran , A. Razak Ismail yang menyampaikan lagu hitnya
“Bintang Malam’ serta “Dendang Perantau”
versi rakamannya pada tahun 1978. Khabarnya, majlis petang itu
dirakamkan untuk siaran Hari Raya kelak.
Di pentas Auditorim Perak FM juga, beberapa lagi cabutan
bertuah dilaksanakan bagi hadiah-hadiah sampingan tajaan Zarra Sinar Puteri,
Jakel dan butik Kartini. Nazliah Hamid sebagai AJK yang turut memenangi salah
satu daripada hadiah Jakel menyerahkan
kembali untuk dicabut dan memberikannya kepada
pemenang lain. Satu langkah yang patut dipuji dari seorang ahli jawatankuasa.
Hujan lebat di luar auditorium tidak menghalang program
lawatan seterusnya ke Lost World of Tambun, sebuah taman tema air yang terkenal
di bandaraya Ipoh. Sebaik hujan renyai,
semua peserta kembali ke bas untuk ke taman tema berkenaan di mana setibanya di
situ peluang diambil oleh sebahagian peserta untuk bermandi manda sebelum
menikmati jamuan yang disediakan.
Rata-rata yang hadir tidak melepaskan peluang menaiki tren
yang disediakan mengelilingi kawasan Lost World of Tambun yang mempunyai sektor-sektor tarikan seperti Tiger Valley,
Tin Valley, Hot Spring, Petting Zoo, Swan Lake,
Taman Permainan dan sebagainya.
Bagi yang ingin menikmati pemandangan sekeliling banjaran
menghijau boleh sahaja berehat di deretan kedai warisan yang dipanggil “Ipoh
Street” sambil minum kopi atau pun sekadar mengunyak kacang putih mahu pun kacang
kuda yang dijual di situ.
Kira-kira jam 7 petang, peserta diminta kembali ke bas
pesiaran untuk menuju ke Masjid Negeri
bagi mengerjakan solat Maghrib
sebelum menaiki keretapi pulang ke Kuala Lumpur jam 9 malam.
Walau pun penulis tidak pulang bersama tetapi menuju ke
destinasi lain, khabarnya sepanjang perjalanan pulang aktiviti di dalam gerabak
diteruskan dengan beberapa lagi cabutan bertuah.
Pendekata, kembara ibu sehari suntuk itu meninggalkan satu
kenangan manis malah penat lelah yang dirasai setibanya di KL Sentral kira-kira
jam 11.30 malam itu tidak terasa bahkan rata-rata berharap PVRTM akan terus
melaksanakan program-program seumpamanya.
Bak kata Dato Noriah, “sudah 36 tahun saya tidak menaiki
keretapi dan perjalanan yang singkat ini ternyata satu pengalaman yang cukup
berharga buat saya,”
“Ini satu kelainan bagi menyambut Hari Ibu dan langkah yang
diambil oleh PVRTM harus dipuji, Saya sendiri membawa 25 orang daripada
ahli-ahli sukarelawan di kawasan Parlimen saya di Sungai Besar dan mereka
ternyata nampak gembira dengan perjanalan in,” ujar Dato Noriah sewaktu
ditemubual.
Beliau berharap usaha seperti kembara ini dapat diteruskan
ke destinasi-destinasi lain agar pelancongan tempatan dapat berkembang apatah
lagi sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 ini.
“Negara kita tidak kurang mempunyai tempat-tempat menarik
untuk melancong dan dengan adanya pakej-pakej pelancongan seperti kembara ini
bolehlah khalayak melancong dengan selesa, murah dan mudah,” tambah Ahli Parlimen
Sg Besar ini yang cukup mesra dengan senyuman.
Walau pun baru pertama kenal, YB cukup senang didampingi dan yang paling istimewa sentiasa kelihatan ceria.
Walau pun baru pertama kenal, YB cukup senang didampingi dan yang paling istimewa sentiasa kelihatan ceria.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan