'SELUDUP' KARYA TERBAHARU JEHAN MISKIN DI ASTRO
Mastermind Group Sdn Bhd di bawah teraju Penerbit Eksekutifnya, Jehan Miskin bakal menjalani penggambaran pada pertengahan bulan Ramadan ini di Melaka untuk drama bersiri 13 episod berjudul "Seludup' yang dijangka ditayangkan di Astro Prima 105 serta tayangan serentak di Maya HD 135 menjelang hujung tahun ini.
Drama penuh aksi berkenaan mendalami isu perdagangan haram barangan seludup di negara ini di mana siri ini adalah hasil idea Jehan sendiri yang turut bertindak sebagai pengarahnya.
"Walau pun cerita ini berdasarkan kepada realiti namun ia sebuah rekaan memandangkan kepada syarat yang ditetapkan oleh LPF yang tidak membenarkan kami menunjuk ajar bagaimana hendak seludup, jadi sebab itu saya katakan ia sebuah cerita rekaan," ujar Jehan Miskin pada majlis pra pelancaran drama tersebut di Serai baru-baru ini.
Menurut Jehan selanjutnya, Seludup diilhamkan daripada kesedaran yang semakin meningkat di kalangan masyarakat mengenai perdagangan haram barangan seludup, tiruan dan cetak rompak yang telah menjadi isu sosio ekonomi di negara ini, malah menjejaskan pendapatan, keselamatan dan kualiti hidup masyarakat.
JEHAN Miskin |
Produksi yang dibarisi pelakon handalan seperti Pekin Ibrahim,Tiz Zaqyah, Namron, Raja Ilya dan Shafie Naswip malah Jehan sendiri turut berlakon watak pelakon pembantu,
Berlatar belakangkan situasi ekonomi semasa di mana naratifnya menceritakan tentang kesungguhan seorang lelaki biasa dalam mencegah jenayah daripada mengancam keamanan kampungnya.
Skripnya berkisar tentang protagonis iaitu Amran yang dilakonkan oleh Pekin, seorang lelaki muda daripada sebuah perkampungan nelayan kecil dan usahanya menentang sindiket penyeludupan yang menggunakan nelayan di kampung tersebut untuk menyeludup barangan melalui perairannya.
"Saya berterima kasih kepada Astro kerana bersetuju membawakan konsep baharu ini ke dalam produksi tv temparan,' tambah Jehan.
Dalam usaha mendekatkan rasa teruja di kalangan penonton bagi siri drama akan datang ini, Mastermind Production turut mengumumkan pelancaran peraduan #masukdramaseludup bagi memberi peluang sekali seumur hidup kepada seorang pemenang lelaki dan wanita untuk tampil di dalam sebuah drama,di samping beberapa hadiah menarik lain bernilai hingga RM6.000 setiap satu.
Peraduan ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia dari 18 hingga 35 tahun. Peraduan berkehendakkan peserta menekan 'like' pada laman Facebook dan memuat naik video terbaik mereka membaca skrip pendek. Kongsi video tersebut bersama rakan-rakan mereka untuk mengumpul 'like'.
"Lebih banyak 'like' yang mereka dapatkan, lebih tinggi peluang mereka untuk memenangi pengalaman ini," jelas Jehan.
Makllumat lanjut mengenai peraduan #masukdramaseludup,sila layari dan daftar penyertaan di laman FB Seludup www.facebook.com/seludup.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan