'ROMBONGAN CIK KIAH KE KELANA JAYA' MENCUIT HATI
Mungkin anda berasal dari Perak tetapi dah lama meninggalkan
loghat Perak waima telah berhijrah dan tinggal lama ke tempat lain meninggalkan negeri Darul
Ridzwan itu.
Sejujurnya Kak Fas antara orang Perak yang sudah lama tidak mendengar dan lupa dengan
beberapa perkataan Perak yang jarang digunakan kecuali mereka yang tinggal di
Perak khususnya yang pekat berbicara loghat Perak.
Perkataan-perkataan seperti ‘ tak semiak’, ‘bengkeng’ atau pun yang lazim di sebut seperti ‘bangkit’
(bangun) dan seumpamanya sudah jarang
disebut apatah lagi bila sudah berada di KL.
Dan apabila menonton
filem televisyen komedi ‘Rombongan Cik Kiah ke Kelana Jaya’ dalam satu majlis pra tonton kepada media baru-baru
ini, baharulah Kak Fas dapat mengenangkan kembali sebutannya dan maksud disebaliknya. Kak Fas
yakin orang-orang Perak tentu rindukan gaya percakapan Perak yang pekat itu.
Inilah yang dapat anda dengar melalui filem karya dan arahan
Mamat Khalid yang bakal ditayangkan di Astro First Eksklusif (saluran 480) bermula pada 23 Oktober ini
dalam tempoh sebulan.
Cerita mengisahkan
rombongan yang ikelolakan oleh Cik Kiah (Delimawati) untuk menghantar Encik
Isnin (Man Kadir) ke Kelana Jaya bagi mengerjakan fardhu Haji.
Sepanjang perjalanan itu berlakunya berbagai
peristiwa yang mampu mengeletek jiwa anda kala menonton.
Sub plot cerita ini berkisar juga kepada karakter Encik Leman (Imuda) yang mengikut agensi pakej swasta yang murah untuk menunaikan fardhu Haji
berbanding Encik Isnin yang mengikuti pakej Tabung Haji.
Tetapi akibat daripada mengambil pakej Haji yang murah dan
tidak berwibawa, Encik Leman mendapati visanya tidak lulus ketika hendak
berangkat ke Kelana Jaya. Dalam pada itu, Majid (Hazwan Skool of Lawak) , anak
kepada Encik Leman ingin berkahwin dengan Nur Ain (Caca Maembong), anak kepada
Cik Kiah. Tetapi Majid tidak berani menyuarakan hasrat mereka kerana orang tua
mereka selalu bertengkar.
Turut memberikan lakonan yang berkesan dengan dialog yang
mencuit adalah watak Sharwani NS, Syuk SYJ, Azwan Annuar malah sepanjang 1 jam 40 minit,
penonton akan terhibur dengan percakapan dan setiap gelagat rombongan Cik Kiah.
Penggambaran filem yang berlaku di Chemor, Perak dan Kelana
Jaya, Selangor ini merupakan filem kedua selepas kejayaan ‘Rombongan Cik Kiah
ke Sukan Komanwel’ yang turut diarahkan
oleh Mamat Khalid 16 tahun lalu.
BARISAN pelakon 'Rombongan Cik Kiah ke Kelana Jaya'........gabungan pelakon baru dan lama. |
Benar seperti kata Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu
Astro, Khairul Anwar Salleh (gambar bawah, kiri) dalam ucapan aluannya, “Mamat Khalid seorang
karyawan yang lain daripada yang lain, pembikin filem yang sentiasa
memperjuangkan keunikan dalam hasil kerjayanya dengan komedi serta satira yang
penuh dengan mesej tersirat.”
Itulah mesej yang dapat anda terima daripada menonton ‘Rombongan
Cik Kiah ke Kelana Jaya’ ini. Malah kata Mamat Khalid, apa yang ditonjolkan adalah situasi sebenar
yang berlaku di kalangan masyarakat hari ini.
“Bebeapa watak yang ditonjolkan berlaku di kalangan kita contohnya watak pemuda yang
kurang upaya, Kuntum (lakonan Azwan Annuar) yang dibawa bersama untuk menunaikan fardhu
Haji adalah satu perkara yang tidak salah. Semua lapisan masyarakat tidak kira
normal atau tidak sekali pun, mereka berhak menunaikan fardhu Haji. Tidak
salah.” jelas Mamat (gambar bawah, kanan) mengenai karya
terbitan di bawah naungan syarikat Enjit
Semut Sdn. Bhd. Ini.
Bagi menonton filem menarik ini, pelanggan cuma perlu
membayar caj RM15 utnuk tempahan menerusi Astro First dan mempunyai pilihan
masa untuk menonton telefilm ini mengikut keselesaaan masing-masing dalam
tempoh 48 jam dari masa pembelian.
Selain Astro First Eksklusif, ia juga boleh disaksikan
melalui Asro on the Go pada kadar yang sama RM15. Maklumat lanjut layari www.astro.com.my/astrofirst.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan