HONDA HR-V DILANCARKAN DARI HARGA RM99,800
Apakah anda seorang penggemar kereta Honda? Malah jika ada cadangan untuk bertukar kereta menjelang musim perayaan masing-masing tahun ini barangkali pelancaran kereta terbaharu dari Honda ini dinanti-nantikan.
Anda hanya perlu berkunjung ke kedai jualan Honda untuk membuat tempahan memandangkan selepas menempah anda perlu tunggu sekurang-kurangnya 2 bulan untuk menikmati perjalanan dalam kereta baharu Honda HR-V anda itu.
"Dalam masa sebulan sahaja sebelum pelancaran kami telah pun menerima 1,500 unit tempahan dan angka ini semakin meningkat selepas pelancaran hari ini di mana kami sasarkan kira-kira 85,000 unit penjualan HR-V menjelang akhir tahun ini," ujar Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia, Encik Roslan Abdullah (gambar bawah kanan), pada majlis pelancaran Honda model HR-V di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Honda Malaysia dilihat bakal menetapkan penanda aras baru dalam segmen SUV Kompak menerusi pelancaran HR-V serba baharu. HR-V yang bermaksud “Hip & Smart Runabout Vehicle” akan mengubah landskap SUV dengan membuka satu segmen baru – SUV Kompak.
Konsep keseluruhan HR-V serba baharu hadir selepas menerima maklum balas daripada para pelanggan yang mahukan sebuah SUV mampu milik yang menawarkan aspek keselamatan dan status serta pada masa yang sama memiliki tahap kegunaan yang tinggi. Model ini mampu menyediakan kesemua elemen ini dengan menggabungkan aspek kelasakan seperti sebuah SUV, membawa citarasa seperti sebuah Coupe dan mempunyai utiliti seperti sebuah Minivan.
HR-V serba baharu nyata telah mencipta gelombang populariti di setiap negara ia dilancarkan malah menjadi SUV Kompak paling laris di Jepun waima Thailand dan Indonesia, HR-V serba baharu turut menerima maklum balas serta tempahan yang begitu memberangsangkan.
“Di Malaysia, segmen SUV menunjukkan pertumbuhan yang ketara sejak beberapa tahun ini. Pada tahun 2010, segmen SUV hanya mencatatkan jualan sekitar 18,000 unit. Dalam tempoh lima tahun, segmen ini telah berkembang sebanyak 74% kepada 31,000 unit dengan perkongsian pasaran sebanyak 4.7%. Di sebalik pertumbuhan yang pesat ini, segmen SUV masih didominasi oleh SUV yang lebih besar. Ini bermakna, tiada SUV yang sesuai atau mampu milik untuk mereka yang ingin menaik taraf daripada kenderaan segmen asas. Segmen SUV tidak mempunyai model kompak yang mampu merapatkan jurang di antara SUV lebih besar dengan sedan asas,” tambah Roslan.
Menyedari peluang yang besar ini, Honda Malaysia terus komited untuk mengujakan pasaran dengan produk-produk bernilai dan menarik yang ditawarkan pada harga berpatutan. Demi memenuhi keperluan pasaran, HR-V didatangkan dalam tiga varian iaitu S, E dan V yang ditawarkan pada harga RM99,800, RM108,800 dan RM118,800 seunit.
SUV Kompak Dinamik, sebuah kenderaan yang sesuai buat golongan Gen-Y yang masih bujang, berpasangan serta keluarga muda yang menghargai gaya hidup masing-masing. Mereka ini adalah kelompok yang bekerja keras, meluangkan lebih banyak masa untuk bersosial dan menggemari aktiviti sukan atau riadah pada hujung minggu.
Rekaan luarannya berdasarkan kepada konsep ‘Dynamic Cross Solid’ yang menyerlahkan kabin-aero seperti sebuah coupe, bahagian bawah kenderaan yang kukuh serta penampilan penuh kuasa. Pembuka pintu belakang diintegrasikan dengan cermin tingkap demi meningkatkan lagi penampilannya yang kelihatan seperti sebuah coupe. HR-V serba baharu juga menampilkan Konsep Exciting H Design!!! di mana “H” bermaksud “Human Center” (tumpuan terhadap manusia) yang memberi fokus kepada pemandu dan para penumpangnya manakala rekaan muka sayap yang mantap serta gril dan lampu yang disatukan nyata menghasilkan penampilan luaran yang bergaya dan lasak.
Menyentuh tentang prestasi pula, HR-V serba baharu dijana oleh enjin 1.8L i-VTEC SOHC dipadankan dengan transmisi Continuous Variable Transmission (CVT) terkini yang dibangunkan di bawah ‘Earth Dreams Technology’ Honda. Kombinasi ini nyata meningkatkan keseronokan dan prestasi untuk menawarkan pengalaman pemanduan yang lancar sama ada sewaktu memandu di lebuh raya atau berada dalam kesesakan lalu lintas.
Menjengah ke bahagian kabin, HR-V serba baharu menggunakan rekaan tangki Honda yang diletakkan di bahagian tengah kenderaan demi menawarkan ruang kargo yang mendahului kelasnya serta keluasan yang hampir sama seperti SUV yang lebih besar daripadanya. Konsol tengah yang tinggi dengan perehat tangan direka untuk memberikan satu ruang tersendiri dan tahap kegunaan yang terbaik. Dengan Ruang Kargo Pelbagai-Kegunaan (Multi-Utility Cargo Space), pelbagai konfigurasi tempat duduk belakang yang versatil seperti Mode Utiliti (Utility Mode), Mode Tinggi (Tall Mode) dan Mode Memanjang (Long Mode) boleh diubah suai untuk memenuhi apa jua keperluan gaya hidup serta kegunaan.
Ciri-ciri pintar termasuk Paparan Audio bersaiz 7 inci, isyarat membelok dengan satu sentuhan (One Touch Turn Signal), Sistem Kemasukan Pintar dengan Butang Penghidup Enjin, Kawalan Jelajah dan Mode ECON sememangnya menawarkan operasi yang lancar di hujung jari anda. Sementara speedometer pula menampilkan satu gegelung iluminasi yang boleh bertukar warna berdasarkan kepada mode pemanduan untuk menunjukkan gaya memandu yang ekonomikal. Material-material berkualiti seperti pad fabrik yang lembut pula digunakan pada kebanyakan titik sentuhan penumpang.
HR-V serba baharu menawarkan rangkaian ciri keselamatan aktif dan pasif yang komprehensif seperti 6 beg udara (Varian V; dua beg udara SRS pada bahagian hadapan, beg udara langsir dan beg udara sisi), kamera pandang belakang pelbagai sudut (Varian V), Emergency Stop Signal (ESS), LED Daytime Running Light (DRL) (Varian V), Hill Start Assist (HSA), Vehicle Stability Assist (VSA) dan ISOFIX. Teknologi-teknologi maju seperti ‘Automatic Brake Hold’ dan ‘Electric Parking Brake’ yang baru ditawarkan pada semua varian. Ciri-ciri ini boleh diaktifkan dengan mudah melalui satu suis dan tuil sahaja. Bagi meningkatkan lagi aspek keselamatan ketika berlaku kemalangan, kerangka yang diperbuat daripada besi regangan tinggi telah ditambah pada bahagian tengah badan kenderaan untuk menambahbaik tahap penyerapan daya pelanggaran.
HR-V serba baharu ditawarkan dalam lima warna iaitu Kelabu Metalik (Modern Steel Metallic), Putih (Taffeta White), Perak Metalik (Alabaster Silver Metallic), Hitam Mutiara (Crystal Black Pearl) dan Hitam Metalik (Ruse Black Metallic).
Honda Malaysia turut menawarkan jaminan selama lima tahun dengan jarak perbatuan tanpa had serta selang servis 10,000km untuk HR-V serba baharu di semua 78 pengedar Honda di seluruh negara.
Bagi pemilik yang mahukan penampilan lebih sporty dan individualistik untuk HR-V serba baharu masing-masing, Honda Malaysia menawarkan dua pakej Utiliti dan Modulo pada harga bermula RM1,550.
HR-V serba baharu ialah tawaran terkini untuk satu segmen kenderaan yang baru, maka Honda Malaysia telah menetapkan sasaran jualan yang mencabar iaitu sebanyak 700 unit setiap bulan.
Untuk maklumat lanjut mengenai HR-V serba baharu, sila kunjungi bilik pameran Honda atau hubungi nombor Tol Percuma Honda di talian 1-800-88-2020 atau layari laman web: www.honda.com.my.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan