FESTIVAL RAMADAN GM KLANG DI BUKA HINGGA 12 JULAI
Pembukaan rasmi Festival Ramadhan GM Klang disempurnakan malam Sabtu lalu (27 Jun) dengan Pengaah Urusan Gamuda GM Klang Sdn Bhd, Dato Lim Seng Kok sebagai pihak penganjur, melepaskan belon warna warni ke udara sambil disaksikan tetamu dan orang ramai sekeliling.
Turut memeriahkan acara bersamanya ialah Dr. Leong Khai Hin, Presiden Klang Chinee Chamber of Commerce Industry (KCCCI) serta wakil-wakil dari rakan kerjasama festival iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Projek Iqra' dan Women International Network (WIN).
Sambil meraikan peserta-peserta Projek Iqra' berbuka puasa (terdiri daripada anak-anak komuniti di bawah umur 12 tahun) yang telah memilih Pusat Pemborong Klang sebagai destinasi membeli-belah persiapan Raya, mereka turut diberikan duit raya sebagai tambahan.
Duit Raya juga dihulurkan kepada anak-anak yatim dari Persatuan Maahad Tahfiz Al-Munirah di mana mereka ini juga lah yang akan menyumbangkan alunan bacaan Al-Quran sebagai salah satu aktiviti sepanjang berlangsungnya festival sehingga 12 Julai ini. Festival dibuka dari jam 3-11 malam (Isnin hingga Jumaat) dan 11 pagi hingga 11 malam pada Sabtu dan Ahad.
"Objektif festival adalah untuk merapatkan lagi hubungan kemasyarakatan di mana pengisian acara dipenuhi dengan elemen-elemen yang dapat memupuk nilai-nilai murni di kalangan semua kaum sekali gus dapat membentuk sebuah masyarakat yang harmoni," ujar Dato Lim dalam ucapan ringkasnya.
Majlis turut menyaksikan penyerahan sejadah dilakukan antara pihak Infaq Bridger kepada pihak Pusat Pemborong GM Klang sebagai simbolik ke atas sumbangan sejadah-sejadah dari pihak Infaq Bridger ke dua buah surau di pusat membeli-belah tersebut bagi kegunaan pengunjung Islam.
Festival Ramadan Klang 2015 yang berkonsepkan 'balik kampung menyediakan lebih kurang 120 buah gerai jualan barangan persiapan raya dan juga juadah berbuka puasa. Para pengunjung bukan sahaja berpeluang membeli-belah tetapi dapat berhibur dengan beberapa program-program yang diaturkan sepanjang 17 hari ia berlangsung. Paling istemewa ialah lorong khas yang dihiasi dengan dekokari perkampungan melayu untuk para pengunjung merakamkan detik indah mereka bersama keluarga.
Selain program berunsurkan ilmiah seperti tazkirah Ramadan, Malam Selawat Rasul berama Al-Mawlid dan Habib Najmuddin, bacaan Al-Quran, sesi bermoreh dan macam-macam lagi, pengunjung berpeluang bertemu artis undangan yang dipilih.
Pada majlis pembukaan, para artis yang dibawakan oleh Anita Entertainment & Productions terdiri daripada Ayu Damit, Nassier Wahab, Yantzen, Zack Kool, Azmie Bubbles dan tidak ketinggalan pelakon veteran dan produser filem 'Bilut', Khatijah Abu Hassan.
Bersama meraikan acara nyanyian ialah Dior dan Anis Anessa yang dibawa khas oleh Altimet selaku pengurusan pentas.
Acara pentas yang dihos oleh Shira melihat para artis berkenaan mengadakan persembahan nyanyian lagu-lagu popular dan raya masing-masing seperti antaranya 'Insan' dari Yantzen, "Memori Cinta Luka' dari Nassier Wahab dan sebagainya.
Festival yang berlangsung terutamanya acara pentas menghiburkan hadirin namun malangnya kecacatan daripada pihak penganjur dalam penyediaan makanan berbuka puasa tidak teratur waima ada setengah para tetamu malah media yang hadir pulang tanpa makan.
Khabarnya, pihak katerer hanya menyediakan 200 sebagaimana pesanan makanan yang diterima tetapi tetamu yang hadir melebihi jangkaan menyebabkan makanan tidak cukup dan cepat habis.
Dalam keadaan berpuasa apatah lagi cara 'bufet' melainkan meja VIP dan tetamu kehurmat yang berhidang, sebaiknya diletakkan sepinggan kurma dan air mineral sebotol untuk memudahkan tetamu berbuka tanpa perlu berasak dan berebut makanan.
Melihat kepada jemputan dan meja yang tidak banyak pun, kan lebih baik sekiranya kesemua meja diletakkan hidangan makanan, justeru tidak perlulah golongan artis jemputan pun kena bangun untuk mengambil makanan mereka. Mana kehormatan yang diberikan pada para artis mahu pun pihak media yang sanggup datang jauh ke Klang bagi membuat liputan.
Dalam pada itu, sebaiknya juga para vip khususnya daripada pihak penganjur duduk seketika untuk menyaksikan persembahan pentas sebagai menghurmati majlis dan tidak terus bangun selepas makan. Berilah peluang para artis memperdengarkan alunan lagu mereka dan bangunlah selepas dua atau tiga orang artis telah membuat persembahan.
Barangkali, jika diadakan sekali lagi festival ini tahun hadapan, pihak penganjur eloklah membuat persiapan rapi untuk menambah baik pengurusan khususnya dalam penyediaan makanan dan keselesaan untuk berbuka puasa.