SANTAI SELEBRITI MEDIA AIDILFITRI BERSAMA ANITA ENTERTAINMENT
ROMBONGAN Santai Selebriti Media Aidilfitri 2015 ke Langkawi. |
Saban tahun apabila menjelangnya Ramadan dan Syawal, Anita
Entertainment & Productions tidak ketinggalan membawa para artis dan media
menikmati suasana Raya terlebih dahulu.
Sekiranya tahun lalu, kemeriahan dirasai di perkarangan
Hotel EDC UUM Sintok, tahun ini Santai Selebriti Media Aidilfitri ke 51 membawa rombongan 48 orang ke Aseania Resort
& Spa Langkawi.
Selama 3 hari 2 malam, Aseania Resort & Spa Langkawi
menjadi hotel penginapan rasmi rombongan santai.
Setibanya di hotel bertaraf empat bintang itu, yang terletak
di Pantai Cenang, rombongan disambut
dengan ‘welcome drink’ seraya
diperkenalkan kepada pihak pengurusan terdiri daripada Pengurus Operasi Resort,
Encik Wan Mohd Farhan serta Encik Mohd Bakri Ahmad selaku Pengurus Pemasaran
& Jualan.
Kak Fas sudah beberapa kali ulang alik ke Langkawi
sebelum ini apatah lagi ketika beberapa
tahun lalu, suami telah diberikan tanggungjawab membuka dan menguruskan Makam
Mahsuri. Jadi kepergian Kak Fas ke Langkawi sudah tidak mampu dibilang dengan
jari, boleh dikatakan Langkawi adalah rumah kedua Kak Fas selepas Kuala Lumpur.
Jadi bila berulang alik hampir setiap bulan, Kak Fas sering
lalu di hadapan Aseania Resort namun tidak
berkesempatan untuk menginap di situ walhal hotel-hotel lain bertaraf
lima bintang pun Kak Fas pernah berkunjung, antaranya seperti Datai Bay Resort,
Sheraton Langkawi, Burau Bay Resort.
Pendekata,
hampir ke semua hotel di Langkawi Kak Fas pernah menginap termasuklah
yang kini sudah roboh iaitu Delima Resort Langkawi di Pantai Cenang.
Tetapi entah kenapa
tidak pula sampai ‘jodoh’ untuk menginap di Aseania. Dan peluang itu direbut
setelah mendapatundangan daripada sahabat lama, Puan Anita Yusop untuk bersama-sama
meraikan suasana awal Aidilfitri khas untuk rakaman media. Bersama Kak Fas antaranya rakan sebilik, Shidah (pix atas) dari Anjung Seri dan SIti Dimiatri dari majalah Aroma (pix kiri) serta beberapa lagi rakan media yang lain bersama team mereka.
ASEANIA RESORT & SPA LANGKAWI
Terletak di kawasan seluas 7,519 ekar, berhampiran Pantai
Tengah dan Pantai Cenang, resort ini sudah pasti menjadi kebanggaan tanah
Mahsuri apabila ia diisytiharkan dalam ‘Malaysia Book of Records’ pada tahun
2002 sebagai hotel yang mempunyai kolam renang terpanjang di Malaysia berukuran
154.4 meter lengkap dengan taman tema air mini.
Ruangan resort yang
luas saujana mata memandang memiliki 217
kamar tidur meliputi 8 unit apartmen keluarga (2 bilik); 7 unit Suite Keluarga
(2 bilik), 4 unit Suite Keluarga (1 bilik); 64 unit Super Deluxe, 82 unit
Deluxe dan 52 unit bilik jenis Superior.
Sebagai sebuah resort yang lengkap fasilitas seperti
bertaraf lima bintang gayanya, penginapan berharga serendah RM438 semalam bagi
bilik jenis Superior hingga kepada RM1,188 bagi sebuah suite keluarga tiga
bilik.
Menurut Pengurus Besarnya, Encik Shamsol Hj Mustafa,
perancangan sedang dilakukan untuk menarik taraf resort kepada lima bintang
menjelang akhir tahun melibatkan kos kira-kira RM10 juta.
“Diharap dengan pembangunan infrastruktur di mana beberapa
bilik akan diubahsuai dan dipertingkatkan ia dapat menampung lebih ramai
pelancong untuk memilih Aseania Resort sebagai destinasi penginapan mereka
ketika bercuti di Langkawi,” ujar Shamsol ketika ditemui.
Jelas beliau, Aseania Resort mencapai jualan sehingga RM18
juta tahun lalu dan mensasarkan peningkatan sehingga RM24 juta menjelang akhir
tahun ini.
“Dari segi peratusan nisbah, pengunjung terdiri daripada 60%
rakyat tempatan dan 40% antarabangsa di mana yang paling ramai adalah dari
Negara China dan India,” tambah Shamsol.(pix kanan),.
Dengan kelengkapan bilik mesyuarat dan dewan besar yang
mampu menampung kira-kira 300 orang atau pun 150 orang bagi majlis makan
bermeja, ia sesuai untuk acara ‘team
building’, seminar atau pun sebarang majlis rasmi korporat mahu pun Kerajaan.
Malah setiap empat kali seminggu, tetamu boleh menikmati barbeku extravaganza dari menu Chef Eksekutif, Cher Bard,
di tepian kolam renang dan melakukan acara persembahan di pentas
Teratak Mahsuri.
Bagi kaum wanita seperti Kak Fas, menginap di sebuah resort
yang nyaman begini tidak sah jika tidak bermanja dengan khidmat spa yang
ditawarkan di Sari Dewi Spa yang menyediakan pelbagai rawatan seperti urut
tradisional, refleksologi kaki, facial, mandian susu dan bermacam-macam lagi.
SARI DEWI SPA
Menurut Pengurus Spa, Risnawati Ailing, Sari Dewi Spa dibuka
setiap hari dari jam 11 pagi hingga 10 malam di mana produk yang digunakan
adalah daripada bahan organik khususnya jenama Tanamera.
Kak Fas tidak melepaskan peluang mencuba rawatan spa muka di mana dalam masa sejam sahaja
dibelai dan diurut, terasa kulit muka segar dan bersih.
Bermula dari rawatan serendah RM40 bagi “Sari Foot
Reflexology” (penjagaan kaki) hingga RM365 bagi pakej rawatan penuh yang
dinamakan ‘Sari Dewi Hibiscus’, anda juga boleh membawa pasangan untuk mencuba
di mana harga bagi pasangan ialah RM740.
“Pihak kami menyediakan lebih kurang 28 jenis rawatan dan
mempunyai lapan kakitangan yang pakar dalam rawatan urut, jadi kami menjanjikan
pengalaman yang indah di sini,” ujar pengurus berasal dari Sabah ini.(pix kiri).
Menariknya, spa yang disediakan bukan sahaja sesuai bagi wanita
sahaja malah pasangan suami isteri atau pun pengantin baru, dan satu keluarga
boleh mencubanya di mana rawatan untuk kanak-kanak di bawah 12 tahun turut di
sediakan.
Kanak-kanak boleh memilih mana-mana lima jenis rawatan yang
ditawarkan seperti Mini Sari Aroma (RM70); Mini Sari Foot Reflexology (RM25);
Mini Sari Dewi Facial (RM50); Sari Nail Colouring (RM20) dan Sari Milk Body
Polish bernilai RM60.
Pendekata, berada di Aseania Resort & Spa ini, satu
keluarga boleh menikmati percutian yang diidamkan jauh dari hiruk pikuk
kebisingan kota. Anda cuma perlu membawa diri dan relaks menghirup udara dingin
dan segar sambil menikmati pemandangan gunung serta air terjun buatan yang
turut dibina berhadapan kolam renang apabila rawatan dilakukan di wakaf kayu di
bahagian luar spa.
SANTAI DI PANTAI AIR TERJUN
Pada kawasan berhadapan air terjun buatan setinggi 30 meter
inilah lokasi di mana pihak pengurusan memilih untuk suasana membakar lemang,
anyam ketupat, kacau dodol dan seterusnya suasana Aidilfitri pada sebelah malam
dengan membakar mercuna serta bunga api.
Dengan kos RM97,000 air terjun buatan manusia ini baharu
empat bulan disiapkan, menjadikan kawasan ini seolah anda berada di tepian
pantai berlatarkan gunung ganang air terjun. Cukup menarik sekali.
Di sinilah bermulanya para artis yang dibawa bersama terdiri
daripada penyanyi dari Indonesia, Thomas Arya, Zack Kool, Nas Kilauan Emas
musim ke 4, Ikka Razman, Amarin Ismail, Ken Blues Metal, Azmie Bubbles serta produser ‘Bilut” Hjh
Khatijah Abu Hassan dikumpulkan untuk bergotong royong melakukan aktiviti
sambutan Hari Raya bersama pihak pengurusan Resort (pix bawah). Turut bersama pihak penaja
iaitu My Beauty Herbs yang diwakili pengasasnya, Puan Normey Mansor termasuk
anak dan Setiausahanya.
Ketika inilah pihak media yang hadir (pix bawah) terdiri daripada Utusan, Astro Awani, Bernama tv, Anjung Seri, Malaysian Bisnes, Majalah Aroma dan Kak Fas sendiri sebagai satu-satunya wakil media online (CC Kak Fas) sibuk merakamkan gambar mengikut angle dan perspektif media masing-masing.
Rakaman awal ini dilakukan untuk siaran Hari Raya, jadi seperti yang Kak Fas sebut awal tadi, setiap tahun Anita Entertainment & Production terlebih dahulu menyambut Hari Raya sebelum puasa.
Langkah Anita ini sesungguhnya di puji dalam membantu pihak media merakamkan detik suasana Hari Raya
melibatkan para artis terlebih awal untuk dimuatkan dalam media yang diwakili
masing-masing, malah turut diaturkan acara Takbir agar pihak tv boleh membuat
rakaman untuk siaran di tv bila tiba Syawal.
SALAM AIDILFITRI
Suasana menyambut Raya tidak terhenti di tepian pantai gunung
air terjun sahaja malah pada sebelah malamnya, program diteruskan di tepian
kolam renang berhampiran pentas yang terletaknya Teratak Mahsuri. Sebelum itu, acara bermain dengan bunga api dan mercun menggegarkan suasana malam.
Di situ acara nyanyian lagu-lagu raya diteruskan oleh para artis terbabit namun sebaik Ikka Razman mengambil alih pentas daripada penyanyi Ken Blues Metal , hujan pula turun menyebabkan majlis tergendala seketika dan terpaksa dialihkan ke dewan makan Mahsuri terletak bersebelahan.
Pun begitu, hujan lebat tidak menghalang kemeriahan Salam
Aidilfitri yang diteruskan di dalam dewan sehingga ke semua artis jemputan
selesai bernyanyi setiap dua lagu seorang.
Kemeriahan terus dirasai bagaikan benar-benar sudah Raya lagaknya malah lagu-lagu Raya yang malar segar seperti lagu "Selamat Hari Raya" nyanyian asal Biduanita Negara, Saloma masih menjadi pilihan para artis untuk mengucapkan Raya.
Kemeriahan terus dirasai bagaikan benar-benar sudah Raya lagaknya malah lagu-lagu Raya yang malar segar seperti lagu "Selamat Hari Raya" nyanyian asal Biduanita Negara, Saloma masih menjadi pilihan para artis untuk mengucapkan Raya.
Waktu bagaikan mencemburi apabila masa berlalu begitu pantas.Tiga hari dua malam tidak terasa berlalu sudah, tiba-tiba dah nak pulang. Kesempatan untuk bersiar-siar di pekan Kuah pun tidak berkesempatan sekadar bersiar seketika menyusuri deretan kedai di Pantai Cenang.
MELAWAT AZIZ DESA
Namun begitu, masa yang terhad Kak Fas ambil dengan hajat untuk melawat sahabat lama yang juga bekas wartawan Berita Harian serta pengacara tv, Aziz Desa yang menghidap sakit buah pinggang serta kencing manis.
Walau pun baharu sahaja bertemu dengan Aziz Desa sewaktu ke
Langkawi pada akhir bulan Mei dan melawatnya ketika di hospital, Kak Fas telah
pun memasang niat untuk bertanya khabarnya jika sekali lagi berkunjung ke Langkawi.
Dan kesempatan itu diambil kala bersama rombongan Santai Selebriti dan Media ke 51 ini.
Dengan bantuan Anita, Kak Fas
bersama empat teman media lain serta Khatijah Abu Hassan mendapat kesudian
Encik Bakri untuk memandu kami menggunakan kereta Resort melawat Aziz Desa di rumahnya di Kuah.
Alhamdullillah, lega dapat melawat
teman seperjuangan itu sekali lagi. Aziz masih duduk di atas kerusi rodanya
yang kini menjadi teman setianya malah tidak lepas dengan telefon bimbit untuk
beliau aktif memuat naik statusnya dalam laman social facebook.
“Saya nak buat program mengumpulkan 58 orang yang bernama Mahadir sempena menyambut Hari Kemerdekaan Negara tahun ini di Langkawi,” harapan Aziz.
Itulah Aziz Desa, walau pun sakit beliau tetap dengan idea bernasnya dan tidak berhenti memikirkan pelbagai aktiviti untuk dijayakannya.
Khabarnya, Aziz akan dijempat sebagai pengacara khas pada program yang pernah diacarakannya di tv 9 iaitu ‘Nasi Lemak Kopi O’ pada Hari Raya di Kuala Lumpur nanti. Katanya, untuk tahun ini beliau dan keluarga akan berhari Raya di Kuala Lumpur bersama mertuanya.
SELAMAT TINGGAL LANGKAWI
Selamat tinggal Pulau Mahsuri dan terima kasih tidak terhingga kepada Aseania Resort & Spa atas layanan istemewa yang diberikan. Semoga dapat kembali in sha Allah!
Rombongan Santai yang pulang ke Kuala Lumpur dari jeti Kuala Perlis, menaiki bas khas milik JHT dengan pemanduan yang cukup baik tidak habis di Langkawi sahaja malah seperti mana persinggahan hari pertama di restoran ‘Tuu…. Dia Pak Tam’, kepulangan sekali lagi berhenti di kawasan rehat Tapah untuk menikmati sekali lagi jamuan tengah malam tajaan ‘Tuu…Dia Pak Tam”.
RESTORAN ‘TUU… DIA PAK TAM’
Pertama kali menjejak kaki ke restoran milik Hj Ruslin hj Ibrahim di Bandar Baru Selayang sebagai hentian pertama sebelum rombongan bertolak ke Langkawi dari Pandan Indah, Kuala Lumpur, Kak Fas agak tertarik dengan namanya yang berunsur humor.
“Saya suka satu nama yang kelihatan ceria, mudah dan lucu. Mudah untuk orang ingat dan paling penting ia lain daripada yang lain,” borak Ruslin. Turut hadir isterinya, Noraini Baharum.
Rupanya restoran ini sudah lama
dibuka cuma Kak Fas sahaja yang tidak sedar kewujudannya maklumlah jarang
sangat ke Selayang.
Ketibaan rombongan disediakan dengan makanan istemewa Pak Tam iaitu roti bakar sekaya serta kopi dan mee goreng.
Menurut Ruslin yang lebih terkenal dengan panggilan Pak Tam, beliau kini mempunyai 12 cawangan restorannya yang diusahakan sejak 13 tahun lalu.
“Saya bermula niaga dengan sebuah gerai sahaja bermodalkan RM25 dengan menjual mee rebus serta rojak pasembor kemudian meningkat ke warong dikuti kedai ala koboi dan seterusnya berjaya membuka restoran,” cerita Pak Tam.
Katanya, sepanjang perjalanan menuju kejayaan itu, pelbagai rintangan yang dilaluinya namun pengalaman menjual di pasar Ramadan lebih lima tahun dengan pendapatan sehingga RM34,000 sebulan serta peluang menjadi tukang masak Tabung Haji untuk Jemaah Haji di Malaysia di Mekah pada tahun 2000 merupakan suntikan semangatnya untuk terus memilih bidang perniagaan restoran.
Menghidangkan pelbagai menu
daripada masakan Melayu, Cina mahu pun Arab dan Barat, dengan 380 pekerja
daripada 8 bangsa, Restoran di Selayang merupakan cawangan pertama ‘Tuu…Dia Pak
Tam’ sebelum ia dibuka di beberapa tempat lain seperti di Kuala Lumpur,
Putrajaya dan di kawasan Rehat dan Rawat di Tapah.
Rombongan Santai Anita sempat juga singgah seketika di Tapah walau pun pada waktu itu sudah pun melebihi jam 12 malam. Tetapi disebabkan janji harus ditepati, rombongan gagah juga turun waima mata masing-masing dah layu keletihan.
Pun begitu, kopi segar yang dihidangkan bersama roti kaya dan mee goreng mampu membeliakkan kembali mata masing-masing kembali segar.
Khabarnya, Pak Tam merancang untuk
meluaskan perniagaannya di tanah Mekah melibatkan perbelanjaan modal sehingga
RM5 juta.
“Perancangan dijangka bermula awal
tahun depan dan apabila siap kelak projek kami, orang ramai yang berhajat ke
Mekah boleh mengambil pakej kami yang lebih murah daripada harga biasa iaitu RM8,900 kepada RM7,500
sahaja,” tambah Pak Tam yakin.
Dengan slogannya ‘sedap bagitau kawan, tak sedap bagitau Pak Tam’, restoran ‘Tuu… Dia Pak Tam’ ini yang diusahakan di bawah syarikat Juara Saji Sdn Bhd di mana Pak Tam bertindak sebagai Pengarah Urusannya, turut menyediakan khidmat catering malah dengan dewan berhawa dingin yang disediakan di tingkat atas mampu memuatkan seramai 300 orang sekali gus bagi majlis makan berhidang atau 600 orang untuk majlis berbentuk bufet.
MY BEAUTY HERBS
Selain berpeluang bertemu dengan
Pak Tam, pihak media turut diperkenalkan kepada penaja kedua iaitu Puan Normey
Mansor, 32, yang hadir dengan produk di
bawah jenama My Beauty Herbs.
“Sebenarnya sudah lama saya ingin
mengikuti santai Anita tetapi tidak berpeluang kerana kesibukan. Hanya kali ini
kesempatan itu ada dan saya sendiri turun padang,” jelas Normey yang memiliki
perwatakan serta imej seorang model gayanya.
Dengan bentuk badan langsing serta
tinggi lampai, tidak hairan jika dikatakan penampilannya bersesuaian dengan
produk- produk kecantikan yang ditawarkan khususnya seperti Glanz White
Candylicious, fenomena baru dalam pemutihan kulit.
Menurut Normey, semangat untuk
berniaga produk kecantikan bermula apabila beliau sendiri mengalami masalah
kulit berjerawat dan kusam sejak remaja. Pelbagai produk dicuba namun tiada
kesan.
“Saya mula mencari ahli kimia dan
formula untuk mendapatkan produk berseuaian dan sebelum memasarkan My Beauty
Herbs, saya menjadi testimoninya. Dan bila dah puas hati waima kulit kembali
sihat, cerah, awet muda baharu lah saya buka bisnes ini sejak 2012,” cerita
ibu kepada seorang anak perempuan ini.
My Beauty Herbs kini mempunyai tiga produk utama Slim Fast Diet (RM45); Glanz Whte Candylicious (RM69) dan MBH Whitening Intensive Booster (RM69.90).
Barangkali yang mempunyai masalah kulit atau pun mahu ramping boleh lah mencuba atau terus menjadi pengedar dengan hanya tempahan produk minima tidak kurang dari RM550.
Info lanjut hubungi My Beauty
Herbs yang berpejabat di Bandar Mahkota Cheras di talian 03-89339607 atau
hotline 011 28090446 dan ujilah produk ini. Mana tahu selepas ini akan akan ‘sihat
dan hot’ sebagaimana slogan yang dicipta pengasasnya.
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI ...MAAF ZAHIR & BATIN
Kak Fas serta team Santai Selebriti Media ke 51 mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf dzahir dan batin kepada semua pembaca setia dan seluruh umat Islam khususnya.