KONSERT SATU SUARA VOL2 SITI NURHALIZA 7-8 NOV
SITI bersama Abang Jo pada sidang akhbar Konsert Satu Suara Vol 2 di Istana Budaya baru-baru ini. |
Disebabkan oleh beberapa faktor tertentu seperti kekangan kewangan, ketiadaan penaja dan sebagainya, penyanyi tersohor, Dato Siti Nurhaliza terpaksa menangguhkan Konsert Bio Muzikal yang sepatutnya dijadualkan pada bulan November ini.
"Saya bukan membatalkan konsert muzikal tersebut tetapi hanya menangguhkan ia ke tahun hadapan agar memberi lebih banyak masa untuk persiapan dari segi mendapat penaja dan sebagainya," jelas Siti pada sidang media Konsert Satu Suara Vol. 2 di Istana Budaya baru-baru ini. Hadir bersamanya ialah Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani atau lebih dikenali dengan panggilan Abang Jo.
Pun begitu agar tidak mengecewakan pihak Istana Budaya mahu pun peminat yang menantikan konsert muzikal tersebut, Siti mengambil langkah positif menggantikannya dengan konsert kesinambungan jenama Konsert Satu Suara.
Pada Konsert Satu Suara Vol 2, Siti memilih dua artis dari seberang iaitu Dato Ramli Sarip dari Singapura dan ibu Hetty Koes Endang dari Indonesia. Pada konsert Satu Suara yang pertama pada tahun 2010, Siti mengundang Aizat dan Faizal Tahir.
Konsert terbitan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd ini bakal diadakan di Istana Budaya selama dua hari bermula 7 dan 8 November depan.
"Inilah pertama kali saya akan berada di pentas untuk sebuah konsert bersama ibu Hetty dan Dato Ramli Sarip yang saya kagumi keistimewaan masing-msing yang tersendiri terutama dari segi vokal dan mampu menyampaikan lagu dari pelbagai genre muzik," ujar Siti.
Menurut Siti, sebagai artis utama beliau akan membuat persembahan solo dalam dua segmen iaitu segmen pembukaan dan segmen sebelum finale iaitu muncul berduet dan seterusnya persembahan trio dengan Hetty dan Ramli Sarip.
"Siti membesar dengan lagu-lagu ibu Hetty sejak di bangku sekolah rendah jadi Siti percaya ada audiens yang se zaman Siti mahu hadir untuk mengenang momen-momen lalu kala lagu ibu Hetty berkumandang, begitu juga semasa era Dato Ramli Sarip" tambah Siti yakin dapat memancing penonton generasi lama mahu pun muda.
Tiket untuk menonton konsert ini sudah mula dijual pada 9 Oktober dan bole didapati secara dalam talian menerusi www.AirAsiaRedtix.com dengan harga RM78, RM108, RM218, RM238, RM258, RM278, RM338 dan RM518. Dan harga tidak termasuk caj tiket dan GST.
Selain itu, tiket boleh dibeli di Rock Corner The Gardens, Bangsar Village, Subang Parade dan The Curve. Ia juga dijual di Victoria Music di Sg Wang, Amcorp Mall, Tropicana Mall dan di Box Office (Istana Budaya).
Bagi pembeian di Pulau Pinang pula, tiket boleh didapati di Artist Gallery, Gurney Plaza dan Artist Gallery, Queensbay Mall.