PROGRAM 'HIBURAN RAKYAT SENANDUNG BUDAYA' DBKL & YAVM MERIAH
PROGRAM dimulakan dengan meraikan Hari Jadi tiga ahli YAVM - Halil Chik, Suzy Wong dan Datin Kamariah. |
Sejajar dengan usia pawagam Colisuem Kuala Lumpur, yang dibina pada tahun 1920, terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman, keputusan Dewan Bandaraya KL menaik taraf kawasan ruang parkir hadapannya dengan pembinaan Laman Warisan Seni sesuatu yang tepat.
Malah dengan wujudnya program 'HIburan Rakyat Senandung Budaya' anjuran DBKL dengan kerjasama Yayasan Artis Veteran Malaysia (YAVM) melengkapi sejarah pawagam Coliseum itu sendiri yang antara lain menyimpan pelbagai peristiwa seni selain menjadi panggung wayang yang masih wujud pada era millenium ini,
KISMAH Johar |
Objektif DBKL untuk menyemarakkan kesenian dengan menyerahkan kepada Yayasan Artis Veteran Malaysia untuk mengendalikan program 'Hiburan Rakyat Senandung Budaya' bukan sahaja membantu golongan artis veteran untuk terus berkarya dan berniaga tetapi sekali gus merancakkan suasana persekitaran Jalan Tuanku Abdul Rahman pada hujung minggu Sabtu.
Program kesenian tersebut rupanya sudah masuk musim ke dua namun Kak Fas hanya berkesempatan untuk hadir bersama memeriahkan acara setelah dijemput sendiri oleh Pengerusinya, Puan Kismah Johar serta Setiausaha Agungnya, Elyza Mazlan pada malam Sabtu lalu.
Buat pertama kalinya menghadiri program tersebut dapat dirasai kemeriahannya walau pun sebahagian besar daripada ahli2 YAVM yang hadir terdiri daripada artis veteran yang berusia 50 tahun ke atas.
Menurut Pengerusinya, Kismah Johar, program kesenian ini sudah memasuki tahun ke 2 di mana ia mula diperkenalkan pada tahun lalu bermula bulan Mac hingga Disember.
"Kami berterima kasih kepada DBKL atas kesempatan yang diberikan bagi mengisi program begini dengan pelbagai aktiviti termasuk konsert mini yang berlangsung bersama artis-artis jemputan," cerita Kismah sewaktu ditemui sedang menikmati hidangan makan malam bersama Bendahari YAVM, Wong Sip .Nen.
Melihat sekeliling perkarangan khemah yang disediakan untuk para artis dan orang ramai, beberapa gerai makanan dan jualan disediakan antaranya termasuk buku komik yang dijual oleh Imuda (pix bawah).
"Antara tujuan YAVM adalah untuk membantu ahli-ahli memperoleh pendapatan sampingan melalui perniagaan di samping menghiburkan orang ramai yang sentiasa memberikan sokongan," tambah Kismah.
Program tersebut bermula jam 5 petang hingga 11 malam pada setiap minggu pertama dan ketiga Sabtu sejak bulan Mac lalu dan akan berakhir pada 12 Disember tahun ini.
Pada malam Sabtu lalu (14 November 2015) menyaksikan tiga artis undangan menghiburkan penonton terdiri daripada penyanyi angkatan lama, Ibnor Reza dan Hasnol manakala Seri, artis Kilauan emas musim ke 3 mewakili antara artis baru dan lama.
Kemeriahan malam diperhebatkan lagi dengan celoteh Maria Tunku Sabri sebagai pengacara dan ternyata Maria dapat menghidupkan suasana ceria di kalangan artis dan penonton untuk sebuah acara yang cukup 'happening'.
Selain menyaksikan persembahan artis serta tarian daripada kumpulan Remaja Tari dari DBKL, turut diadakan kuiz untuk penonton dengan hadiah sumbangan YAVM dan para artis sendiri seperti Hasnol memberikan minyak wangi kepada penonton yang interaktif bersamanya dan juga Imuda menghadiahkan buku komiknya kepada empat kanak-kanak yang berjaya menjawab soalan mudah darinya.
MARIA memperlihatkan baju T yang dipegang oleh Jem untuk jualan. |
Sambil memberikan hiburan, YAVM tidak lupa beramal di mana mereka menyediakan tabung derma untuk Rumah Anak Yatim Baitul Barokah Sepang dan tidak ketinggalan jualan baju t dengan harga RM10 bagi mengisi tabung yayasan.
Menariiknya kala artis bernyanyi, para penonton diberi peluang berjoget lambak malah Ibnor Reza sempat menyanyikan lagu 'Poco poco' untuk menghangatkan suasana agar penonton dan artis kegemaran mereka boleh menari dengan rentak lagu.
Antara artis-artis yang hadiri terdiri daripada Hail Amir, Siti Fairuz, Mak Jah, Ayati Tasrip, Halil Chik, S. Mariam, Zack Kool, Dato Wazata Zain, Marshitah, Margaret Gan,Jem dan ramai lagi.
Sebelum program mini konsert dimulakan, Yayasan Artis Veteran Malaysia turut meraikan hari jadi tiga ahlinya iaitu Halil Chik, Suzy Wong dan Datin Kamariah Ariffin dengan upacara memotong kek.
IBNOR REZA |
Pendekata, malam 'Hiburan Rakyat Senandung Budaya' mampu menarik perhatian ramai yang berada di persekitaran Jalan Tuanku Abdul Rahman di mana selepas selesai program, para peminat tidak melepaskan peluang merakamkan foto dengan artis kesayangan masiing-masing.
SERI |
Mengikut kata Kismah, program seumpama akan bersambung tahun hadapan dan untuk itu beliau berharap agar ada di kalangan ahli korporat atau individu yang sudi tampil untuk menaja agar acara dapat dilakukan dalam skala yang lebih besar dan menarik.
Barangkali, pihak DBKL boleh menyediakan gerai beroda yang lebih menarik untuk tujuan para ahli dan orang ramai berniaga agar pemandangan nampak lebih teratur kemas dan bersih.
Tidak perlulah setiap peniaga membawa kerusi meja yang pelbagai bentuk untuk barang niaga tetapi cukup dengan membawa barang jualan sahaja waima segala prasarana disediakan DBKL. Barulah nampak ada kelas dan berkualiti program berkenaan sekali gus mampu menarik pelancong dari dalam negeri mahu pun luar negara.
HASNOL |
Biarlah ruang lanai warisan seni itu sendiri nampak tersusun dan berseni pada mata masyarakat setimpal dengan warisan sejarah yang dimiliki oleh premis berhampiran. Tak begitu?
Kak Fas percaya dengan tingkatnya prasarana di laman warisan seni itu, YAVM juga akan lebih bersemangat untuk memberikan hiburan yang terbaik kepada penonton dan bukan ala kadarnya sahaja disebabkan oleh kekangan bajet yang diperutukkan.
Masa inilah peluang untuk para dermawan berbakti kepada artis-artis veteran demi membalas budi dan perjuangan mereka dalam menghiburkan khalayak melalui lakonan, nyanyian atau pun apa sahaja seni yang mereka ceburi sepanjang hayat.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh melayari laman facebook Yayasan Artis Veteran Malaysia atau menghubungi Sekretariat di talian 03-90804360.
PEMINAT merakamkan gambar bersama Kismah. |
REMAJA tari daripad kumpulan Kesenian DBLK AHLI-ahli dan para artis yang terlibat pada persembahan mini konsert malam Sabtu lalu. |
SELAMAT Hari Jadi Suzy Wong, Halil Chik dan Kamariah Ariffin sambil diperhatikan oleh Kismah dan Jem. |
PENGERUSI dan AJK Yayasan Artis Veteran Malaysia. |