Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

'AUTOZONE' PROGRAM BUAL BICARA KERETA MULAI FEBRUARI


Di dalam dunia yang pantas bergerak ini memiliki sebuah kenderaan bukan lagi satu kemewahan yang boleh digahkan bahkan sudah menjadi satu keperluan hidup seharian.

Mana tidaknya dengan harga kenderaan buatan Malaysia yang mampu milik membuatkan seorang pekerja bergaji rendah sekali pun berkemampuan untuk memiliki sekurang-kurangnya sebuah kereta.

Pun begitu, menjadi pemilik kereta sahaja tidak mencukupi andanya tidak langsung ada sedikit ilmu pengetahuan dalam bidang automatif. terutamanya kaum wanita. Tidak dinafikan sebahagian besar daripada kaum wanita hanya pandai memandu sahaja waima tidak tahu menukar tayar jika menghadapi masalah tayar pancit.

Lain pula bagi segelintir masyarakat yang mahu memiliki kereta tetapi disebabkan nama telah disenaraihitam maka impian membeli kereta hancur berderai. Malah pelbagai lagi persoalan mengenai industri automatif masih mentah dan tidak diketahui umum.

'Sebenarnya seoang yang namanya telah disenaraihitam pun mempunyai peluang untuk membeli kereta kerana ada institusi kewangan yang mampu membantu mereka," jelas Encik Mohd Khaidir Hassan, Pengarah Urusan, Destiny Auto Sdn Bhd pada majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Destiny Auto  dengan Bernama tv dalam penerbitan program bual bicara baharu berjudul "Autozone".




Majlis yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di ibu kota baru-baru ini menyaksikan dokumen persefahaman ditandatangani oleh Mohd Khaidir (gambar atas, tiga dari kanan) dan Datuk Zulkefli Salleh (tiga dari kiri)  selaku Pengurus Besar Bernama. Turut bersama Datuk Zakaria Abdul Wahab selaku Ketua Pengarang Bernama.(dua dari kiri).

Program lintas langsung bual bicara secara santai "Autozone' yang dijangka bersiaran pada bulan Februari  2016 mengetengahkan konsep seperti program "Tunggu Sekejap" di mana beberapa segmen termasuk peluang untuk penonton berinteraksi dan bertanya sebarang soalan berkaitan industri automatif dibuka melalui panggilan telefon.

Merupakan kesinambungan kepada program seumpama yang telah enam tahun ke udara melalui Bernama Radio24 setiap hari Jumaat pukul 5.15 petang hingga 6 petang, "Autozone' mengorak langkah dengan membuka dimensi baru dalam dunia penerbitan program bual bicara santai secara lintas langsung di Bernama TV saluran Astro 502.

"Atas sambutan hangat yang telah diterima melalui siaran radio, kami meluaskan program ini ke siaran tv dengan mengetengahkan pelbagai isu berkaitan dengan kenderaan terpakai dan baru," jelas Khaidir yang lebih dikenali dengan panggilan Che Din.

Menurut beliau lagi, melalui program tersebut juga penonton berpeluang bertanya sebarang persoalan termasuk penyelesaian dari segi pembelian dan penjualan kereta terbaharu dan terpakai. Selain itu terdapat tip-tip kenderaan daripada pakar jemputan.

"Contohnya, ramai yang tidak tahu nama yang disenaraihitamkan juga ada peluang membeli kereta apa tah lagi pesara dan warga emas yang belum mencapai usia 65 tahun. Kami boleh membantu anda menyelesaikan masalah itu," ujar Che Din.

Sebagai langkah mewarnai dan menceriakan suasana, program berkenaan turut menyediakan segmen bersama artis membuat persembahan nyanyian di mana antara yang telah dikenal pasti ialah Uji Rashid, Reena Nicky, Rahmat Ekamatra dan Naseer Wahab.

Mengiringi persembahan mereka adalah kumpulan yang dinamakan 'Mekanik', yang khabarnya terdiri daripada kakitangan Bernama. 

Dihoskan oleh Zulkifli Bujang, program yang dijangka berlarutan untuk 12 episod setiap musim selama tiga musim ini merupakan yang pertama seumpamanya di rangkaian tv Malaysia mahu pun Astro dan dijangka menarik penonton sebagaimana sambutan hangat yang diberikan pada program seumpamanya di Bernama Radio24.

Lebih menarik, bagi menggambarkan konsep program automotif, set di studio mengetengahkan elemen-elemen bengkel dan aksesori kenderaan terutama dari segi penggunaan kerusi tetamu dan hos menggunakan kerusi kereta Sport jenama Recaro sebagai contoh. Manakala meja tetamu pula daripada Sport Rim dan sekeping kaca yang diletakkan di atas Sport Rim berkenaan.

"Konsep dan set begini akan digunapakai selama satu musim dan ia tertakluk kepada pindaan," jelas Che Din mengakhiri keterangannya terhadap "Autozone", program jalinan kerjasama antara Destiny dan Bernama tv ini.

Barangkali anda sudah pun ada beberapa persoalan yang mahu dikemukakan, jadi jangan lupa nantikan program bual bicara santai "Autozone' yang bakal ke udara selepas Tahun Baru Cina tahun hadapan.





UJI Rashid (4 dari kiri), Reena Nicky (6 dari kiri) dan Rahmat Ekamatra (kanan) antara artis yang hadir baru2 ini.