Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

OPICK KEPINGIN BERDUET DENGAN SITI NURHALIZA



Bertepatan dengan maraikan sambutan Maulidur Rasul pada bulan Disember ini, Istana Budaya menutup tirai dengan 'Malam Kalimah Cinta' bersama penyanyi serumpun yang terkenal dari Indonesia,Opick dan Hafiz Hamidun.

Anjuran Mask Team & Indigital dengan kerjasama Istana Budaya ini akan berlangsung selama tiga hari berturut-turut dengan Opick mendahului persembahan pada 23 Disember diikuti Hafiz Hamidun selama dua malam berikutnya.- 24 & 25 Disember 2015.


Mengumumkan demikian pada sidang media yang berlangsung baru-baru ini, Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed  Juhari Shaarani ketika menjawab kenapa tidak digabungkan sahaja kedua-dua penyanyi tersebut dalam satu pentas berkata:

"Istana Budaya ingin memberi peluang kepada penyanyi untuk melakukan persembahan secara solo agar mereka dapat merasakam kepuasan dalam menghibur peminat masing-masing," ujar Juhari yang lebih terkenal dengan panggilan Abang Jo.

Kedua-dua penyanyi ini akan memberikan persembahan dalam kompisisi muzikal penuh yang turut diselang selikan dengan alunan zikir dan selawat.

"Saya akan membawa kumpulan muzik saya sendiri dari Indonesia dan akan menyampaikan kira-kira 25 buah lagu bergenre ketuhanan," ujar penyanyi yang terkenal dengan lagu popularnya 'Dealova' ini,


Bercerita lanjut, Opick meluahkan perasaan kepinginnya untuk mengundang Datuk Siti Nurhaliza  sebagai tetamu namun hasrat itu belum dapat dipastikan memandangkan permintaan itu hanya dapat disampaikan melalui anaknya, Ashraf yang turut berada di sidang akhbar, Ashraf mewakili kumpulan NGO, Generasi 1 Malaysia yang turut memberikan kerjasama pada 'Malam Kalimah Cinta' ini.

Pun begitu, tambahnya, beliau amat berbangga dapat diterima membuat konsert di atas pentas berprestij Istana Budaya dan akan memberikan persembahan terbaik buat penonton yang hadir.

"Saya tidak bimbang mengenai jumlah kehadiran penonton. Ada atau tidaknya penonton saya tetap rasa bahagia sebab melalui lagu saya rasa diri saya dekat dengan Allah kerana saya juga sedang berbicara dengan Tuhan," jawab Opick tenang berhubung penerimaan penonton pada konsertnya kali ini.

Menurutnya setiap persembahan nyanyiannya,  ia seolah memberi nasihat pada dirinya sendiri supaya menjadi baik kerana "Saya jauh dari sempurna. Hanya Allah dan saya sahaja tahu baik atau sebaliknya."

Tutur katanya yang lembut membayangkan sifat rendah dirinya, jauh sekali daripada berbangga atas kejayaan dan populariti yang diraih selama ini.

Sementara itu,' Malam Kalimah Cinta' Hafiz Hamidun pula akan menyaksikan penyanyi itu menyampaikan 18 buah  diiringi  kumpulan pemuzik handalan di bawah susunan komposisi Lok U.


"Saya juga akan mengundang Lah Ahmad sebagai tetamu jemputan," jelas Hafiz yang bersyukur impiannya untuk mengadakan konsert di pentas Istana Budaya sejak 2012 tercapai pada tahun ini.

Pun begitu, Hafiz masih belum dapat merasakan kepuasan sepenuhnya kerana tidak berpeluang untuk berada di pentas dengan orkestra sepenuhnya.

"Inilah pertama kali saya akan menyampaikan 18 buah lagu dalam satu malam dan berharap dapat menghiburkan penonton menerusi gabungan nyanyian, zikir dan selawat yang diiringi teknik multimedia serta efek khas dalam durasi 120 minti," tambah Hafiz.

Pada pertemuan dengan media, Hafiz tidak menafikan akan menamatkan zaman bujangnya dengan seorang gadis berusia 25 tahun pada 2016.

"Rasanya saya telah pun bertemu dengan gadis yang memahami kerjaya saya dan kami salng menyukai. In sha Allah perancangan ke arah perkahwinan sedang dirancang namun belum ada tarikh tertentu tetapi  sebelum bulan Ramadan,"  cerita Hafiz jujur walaupun belum mahu mendedahkan identiti gadis yang dimaksudkan.

"Saya hanya dapat memberitahu bahawa dia juga terlibat dalam kerjaya seni tetapi bukanlah seorang pelakon atau penyanyi," Hafiz memberi bayangan gerangan si dia.

Konsert 'Malam Kalimah Cinta' yang terbahagi pada tiga malam menawarkan harga tiket bermula dari RM85, RM105, RM155, RM185, RM205, dan RM255 dengan bilangan 1,300 jumlah tempat duduk keseluruhan setiap malam.

Tiket-tiket boleh didapati menerusi tempahan awal di AirAsia RedTix menerusi laman atas talian www.airasiaredtix.com atau di kaunter Box Office, Istana Budaya.