Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

DATO SERI VIDA MAHU FORMAT MENTOR MILENIA DIUBAH?

WANIE, Qody, Nuri dan Zetty yang berjaya dipilih oleh  Black dan Azlan,

Kak Fas tabik hormat pada keberanian pengasas Vida Beauty, Dato Seri Dr.Hjh  Hasmiza Othman atau lebih popular dengan panggilan Dato Seri Vida yang mahukan pengurusan penerbitan Mentor Milenia mengubah format siaran realiti popular itu.

Dato Seri bersama Kak Fas.


"Sebagai penaja saya mahu pihak tv3 fikirkan cara mana untuk ubah format Mentor Milenia agar kesemua ketiga-tiga protege diserapkan dan tiada penyingkiran berlaku," tegas Dato Seri Vida sebagai penaja utama Mentor Milenia.

"Kesemua protege Azlan bagus-bagus, Ain ada pakej tau Lan," Vida meluahkan isi hatinya pada Azlan dalam pertemuan dengan media sebaik sahaja tirai  Konsert Mentor Milenia Pengenalan yang pertama berlabuh.




Pada malam minggu lalu, Mentor Milenia yang menampilkan protege Azlan dan Black menyaksikan Ain dan Haq tersingkir manakala Nuri, Zetty, Qody dan Wanie meneruskan perjuangan bersama mentor masing-masing Azlan dan Black.

Nak buat macam mana Dato Seri, sudah menjadi adat pertandingan, Ada menang ada kalah, Segunung duit sekali pun, rasanya tidak mampu mengubah format sesebuah program realiti seperti Mentor Milenia kerana pada akhirnya hanya seorang yang layak bergelar  juara 'Mentor Milenia'.

Barangkali, jika Dato Seri Vida buka syarikat rakaman bolehlah ambil protoge-protege yang tersingkir berkenaan sebagai artis beliau. Tak gitu?

Apa pun, Mentor Milenia yang berlangsung Ahad lalu bersiaran langsung di tv3 selama dua jam bermula jam 9 malam menyaksikan persaingan sengit antara enam protege Azlan dan Black.

Walau pun ada sedikit masalah teknikal pada persembahan pembukaan nyanyian Azlan dan Black ketika menyampaikan rangkain lagu 'Sampai Mati' dan 'Potret' namun ia tetap mampu menhangatkan studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral sebaik sahaja Akim  dibawa naiki ke pentas oleh Black bernyanyi bersama.

Mentor  Milenia, program realiti terbaharu TV3 bertujuan mengasah bakat-bakat muda dalam lingkungan umur 17 hingga 21 tahun untuk menjadi penghibur yang berjaya. 

Episod kedua Mentor Milenia merupakan konsert pengenalan pertama telah menyaksikan Azlan dan Black memilih protege mereka. Ternyata bukan senang untuk melakukan keputusan tersebut kerana Nuri, Zetty dan Ain (gambar atas, kiri)  dari kumpulan Azlan serta Haq, Qody dan Wanie dari kumpulan Black telah memberikan persembahan yang penuh bertenaga dalam usaha memikat hati mentor masing-masing. 

Namun, teka teki sudah terjawab selepas Azlan memilih Sharifah Nurilmuhayati binti Syed Hussein (Nuri, 17 tahun) dan Nur Izzati binti Mohd Rashid (Zetty, 22 tahun), Black pula memilih Nurul Syazwanie binti Mohd Basri (Wanie, 21 tahun) dan Rossaidi bin Abdul Rani (Qody, 21 tahun) sebagai protege mereka. 


Pada 17 Januari nanti, giliran Akim dan Hazama pula untuk menentukan siapakah yang layak bergelar protege mereka. 

Bagi kumpulan Black, Qody menaruhkan lagu Cinta Melankolia (nyanyian asal oleh Aan), Wanie memilih lagu Jacyln Victor iaitu Jagalah Diri manakala Haq (gambar kiri) pula beraksi dengan lagu Bukan Dia Tapi Aku (nyanyian asal oleh Judika). 

Bagi kumpulan Azlan pula, Zetty (gambar bawah) telah memilih lagu Romantika (nyanyian asal oleh Mojo), Ain mendendangkan lagu popular Dayang Nurfaizah iaitu Di Pintu Syurga dan Nuri pula mempertaruhkan lagu Jacyln Victor iaitu Sebelah Jiwaku

Sejak diperkenalkan pada tahun 2005, program Mentor kini dianggap nadi utama program realiti di TV3 khususnya dan tempatan pada amnya. Lebih membanggakan, Mentor Legend telah dinobatkan sebagai Rancangan Realiti Terbaik di Anugerah Skrin 2015. Selepas tujuh musim, Mentor kembali dengan konsep dan format baharu iaitu Mentor Milenia yang membariskan Akim, Azlan, Black dan Hazama sebagai barisan mentor. 




Berlainan dengan musim-musim sebelum ini, Mentor Milenia menampilkan empat artis popular yang merupakan idola golongan muda untuk memberikan tunjuk ajar berkaitan bidang nyanyian, seni persembahan dan memperlengkapkan diri sebagai penghibur. Terkenal dengan kekuatan vokal dan sentiasa memukau penonton ketika beraksi di pentas, mereka jelas mempunyai kualiti untuk menyandang tanggungjawab sebagai mentor. 

Malahan, mereka juga bukanlah nama asing dalam industri hiburan dan pernah melayakkan diri bertanding di anugerah berprestij seperti Anugerah Juara Lagu (AJL). Pengalaman mereka dalam mengharungi pelbagai rintangan dan cabaran dalam industri hiburan sehingga berjaya dalam usia muda boleh dijadikan sumber inspirasi kepada anak muda yang berazam untuk berjaya seperti mereka. 

Mentor Milenia akan bersiaran sebanyak sembilan episod dan dikendalikan oleh Issey Fazlisham dari kumpulan Titan dan Marsha Milan Londoh sebagai pengacara. 

Mentor Milenia memaparkan kelainan daripada musim-musim sebelumnya apabila keempat-empat mentor milenia tahun ini  menjadi pengkritik tetap di setiap konsert mingguan. 


Program ini tidak akan mempunyai panel juri profesional kerana keputusan persembahan para protege terletak kepada jumlah undian daripada juri awam di studio iaitu sebanyak 30% dan 70% menerusi laman web rasmi Mentor Milenia. Protege yang gagal meraih jumlah undian tinggi akan disingkirkan. Di peringkat akhir nanti, Juara Mentor Milenia bakal membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 100,000. 

Sidang produksi Mentor Milenia diketuai oleh Muhamad Sufian Isa sebagai Pengurus Hiburan Primeworks Studios merangkap penerbit eksekutif Mentor Milenia dan Ahmad Shaifullizam Arshad (Gbam) sebagai penerbit. Mentor Milenia ini turut menampilkan Faizal Uzir atau lebih dikenali sebagai Lok-U sebagai pengarah muzik.

Mentor Milenia bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2 pada setiap hari Ahad, pukul 9.00 – 11.00 malam (siaran ulangan pada setiap hari Jumaat berikutnya pada pukul 9.30 pagi). Jurnal Mentor Milenia yang memaparkan aktiviti mentor dan protege disiarkan pada setiap hari Ahad, pukul  6.02 petang.