EKSPO PAKISTAN DI MIDVALLEY 12-15 FEBRUARI
DUTA Pakistan, Syed Hassan dan Mir Salman memperlihatkan poster PEXPO 2016. |
Sebanyak 63 pengeksport dan pempamer utama Pakistan meliputi 19 sektor produk termasuk peralatan pembedahan/perubatan, tekstil, fesyen dan pelbagai lagi akan mengambil bahagian dalam Ekspo Pakistan yang dijangka brlangsung selama empat hari bermula Jumaat ini (12hb Februari) sehingga 15 Februari 2016.
Ekspo Pakistan atau ringkasnya, PEXPO 2016, anjuran syarikat pengurusan EVECON dari Karachi, Pakistan akan diadakan di Dewan 3, Pusat Pameran Mid Valley dengan sasaran menarik 150,000 pengunjung. Penganjurannya turut mendapat kerjasama daripada rakan kongsi EVECON di Kuala Lumpur, Hock Choon Holdings Sdn Bhd dengan sokongan Kedutaan Pakistan di Malaysia.
"Dengan penganjuran ekspo ini diharap ia menjadi satu platform atau langkah awal bagi ahli perniagaan Pakistan mencari peluang dan meningkatkan perniagaan mereka di Malaysia, " ujar Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia Syed Hassan Raza pada taklimat berkaitan PEXPO 2016 yang berlangsung di Kedutaan Pakistan, Kuala Lumpur, Rabu lalu.
Menurut beliau, hubungan baik antara Malaysia dan Pakistan yang telah dijalinkan selama hampir 59 tahun menyaksikan perdagangan dua hala antara negara pada tahun lepas adalah berjumlah hampir US$1 bilion, di mana 80 peratus merupakan hasil daripada sektor komoditi.
Turut hadir bersamanya ialah Ketua Pegawai Eksekutif, EVECON, Encik Mir Salman Ali yang bercakap lanjut mengenai pengisian ekspo.
Kata Salman, melalui PEXPO 2016, pengunjung bukan sahaja berpeluang melihat pelbagai pameran dalam 19 sektor produk daripada kraftangan, fabrik hinggalah kepada peralatan dan komoditi yang dihasilkan Pakistan tetapi boleh berinteraksi dengan para peniaga Pakistan secara lebih dekat.
"Dengan adanya pelbagai sektor produk, kami berharap dapat menjalinkan satu ikatan perniagaan di antara Pakistan dan Malaysia lantas memenuhi kekosongan yang masih belum diterokai dalam beberapa sektor tertentu," tambah Mir Salman sambil memberitahu ekspo Pakistan akan dijadikan acara tahunan.
KAK Fas sempat bergambar dengan Syed Hassan,Salman serta pegawai EVECON. |
Pun begitu katanya, pihaknya juga sedang merancang untuk mengadakan seminar perdagangan dua hala bagi menjemput para peniaga dari Malaysia ke Pakistan agar mereka dapat melihat sendiri potensi perniagaan baharu yang boleh dijalinkan antara kedua negara.
"Peniaga-peniaga Pakistan mempunyai pandangan yang tinggi terhadap ahli perniagaan di Malaysia," ujar Syed Hassan pada awal taklimatnya.
Pada ekspo berkenaan,pengunjung boleh merasai makanan Pakistan yang disediakan di beberapa gerai malah berpeluang memenangi hadiah menarik seperti percutian untuk dua orang ke Bangkok, Apple ipad mahu pun telefon bimbit Samsung daripada cabutan bertuah.
Untuk peluang keemasan itu anda cuma perlu melayari www.facebook.com/gopexpo atau melawat ke booth IQI pada atau sebelum cabutan dibuat berakhir 14 Februari.
Majlis perasmian PEXPO 2016 dijangka dihadiri tetamu kehurmat, Dato Dzulkifli Mahmud selaku Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE pada Jumaat ini bermula jam 4 petang. Ekspo dibuka untuk umum dari jam 10 pagi hingga 10 malam dan kemasukan adalah percuma.