BLACK MASIH PERTAHAN DUA PROTOGE, HAZAMA TINGGAL SEORANG
Teka teki sudah terjawab! Tahniah kepada Wanie (Black), Qody (Black) & Fareez (Hazama) kerana berjaya menewaskan Zetty (Azlan) dan Ebba (Akim) untuk melayakkan diri ke peringkat akhir yang bakal berlangsung pada 6 Mac 2016 nanti.
Satu keputusan yang pasti mengejutkan jua apatah lagi Zetty antara peserta yang ramai jangka mampu ke final berdasarkan kepada pakej yang dimilikinya. Selain pelajar jurusan muzik, Zetty mempunyai karisma seorang penyanyi berpotensi namun tewas jua akhirnya. .
Separuh akhir Mentor Milenia menyaksikan persaingan yang sangat sengit antara kelima-lima protege. Selain bernyanyi secara solo, mereka juga berduet dengan artis pilihan untuk membuktikan kemampuan masing-masing dalam usaha menempah tiket ke peringkat akhir.
Wanie yang muncul sebagai juara mingguan pada hari Ahad lepas sekali lagi berjaya mencuri tumpuan barisan juri dan juga para penonton. Prestasi Wanie sangat konsisten sejak permulaan pertandingan dan konsep persembahan yang menggunakan elemen Cabaret dengan penampilan istimewa daripada Farhan dan Achey sangat terhibur dan menerima pujian yang tinggi daripada juri.
Qody pula telah menunjukkan sisi yang berlainan apabila memilih Haiza sebagai pasangan duet serta mendendangkan lagu dangdut. Fareez juga kelihatan lebih yakin di atas pentas dengan elemen lakonan dan juga Muay Thai dalam persembahan nyanyiannya.
Selepas lima saingan yang telah berlangsung, akhirnya hanya tinggal Wanie dan Qody dari Kumpulan Black serta Fareez dari Kumpulan Hazama yang masih bertahan untuk merebut gelaran juara Mentor Milenia sekaligus membawa pulang sebuah trofi dan juga hadiah wang tunai sebanyak RM 100,000!
Tirai konsert separuh akhir Mentor Milenia dibuka dengan persembahan istimewa daripada pengacara Mentor Milenia sendiri, Marsha dan Issey dengan lagu 'Paling Comel'.
Turut memeriahkan suasana di studio ialah segmen peserta uji bakat pilihan iaitu Arif yang juga merupakan rapper busker dengan persembahan lagu medley 'Syukur & Chantek' (Altimet). Persembahan penutup diakhiri dengan rangkaian lagu popular Akim iaitu 'Bengang' dan 'Inilah Cinta' oleh kesemua protege.
Jika sebelum ini keputusan protégé hanya ditentukan oleh jumlah markah juri awam dan undian daripada penonton, bagi peringkat separuh akhir dan konsert akhir Mentor Milenia, juri profesional telah dijemput untuk membuat penilaian.
Jumlah permarkahan dibahagikan kepada juri profesional (50%), juri awam (20%) dan jumlah undian daripada penonton sebanyak 30% menerusi laman web rasmi Mentor Milenia (www.tv3.com.my/mentormilenia).
Juri profesional untuk separuh akhir Mentor Milenia ialah Ajai dan Azmeer.
Mentor Milenia dihoskan oleh Issey Fazlisham dan Marsha Milan Londoh menyaksikan empat mentor - Black, Akim, Azlan dan Hazama dengan barisan protegenya berentap untuk merebut gelaran juara Mentor Milenia.