Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

'TOMBIRUO: PENUNGGU RIMBA' TAMPILKAN ZUL ARIFFIN TANPA BAJU, FILEM 'COMEBACK' NASIR JANI


Ketika mendapat undangan untuk ke sidang media  filem ‘Tombiruo’, Kak Fas tertanya-tanya apa maksud ‘Tombiruo’ ini? Tak pernah pula dengar perkataan itu.

Kerana itu juga yang menyebabkan Kak Fas meluangkan masa untuk hadir ke sidang akhbar yang diadakan baru-baru ini.

Bila hadir barulah Kak Fas mendapat tahu  perkataan ‘Tombiruo’ itu berasal dari Keningau Sabah yang bermaksud ‘hantu’ namun dalam filem adaptasi karya novelis thriller terkenal,  Ramlee Awang Murshid ini ia lebih kepada ‘penunggu rimba’.



Tetapi yang membuat Kak Fas lebih puas dapat bersama sidang akhbar itu adalah kesempatan bertemu dengan pengarahnya, Nasir Jani, teman sekuliah ketika bersama menimba pendidikan di ITM. Sudah lebih 30 tahun tidak bertemu.

Bila ditanya ‘kenal tak’? Nasir Jani merenung tajam ke arah Kak Fas sambil menyebut ‘Fariza ya’… Ternyata beliau masih mengenali Kak Fas. Nasir dahulu dan kini tidak banyak berubah. Masih ceria walau pun badannya lebih berisi daripada fisikalnya yang tinggi lampai dahulu.

Dan bila bertemu Nasir tentu sekali Kak Fas bertanya khabar akan isterinya, Rohana, yang juga  mengambil jurusan Sebaran Am bersama.Kiranya, mereka satu-satunya rakan sekelas yang persahabatan sampai ke jinjang pelamin.

Di situ juga Nasir tidak melepaskan kesempatan memperkenalkan dua orang anaknya, seorang lelaki dan seorang perempuan yang mengikutinya. ‘Rohana di Melaka’, katanya.
Oops meleret pulak Kak Fas bercerita tentang pertemuan dengan Nasir. Maklumlah dah bertahunp-tahun tidak bertemu…..

Okey kembali pada kisah ‘Tombiruo: Penunggu Rimba’…


Selepas hampir dua tahun pelancarannya, karya Ramli Awang Murshid ini menyaksikan buiat pertama kalinya  gabungan empat syarikat iaitu Astro Shaw, Ideate Media, Grup Buku Karangkraf dan Layar Sunan selaku penerbit.

Menurut Naib Presiden dan Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar, selaku agensi pengedar dan pemasaran bagi filem itu, pihaknya berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan tiga lagi syarikat untuk menjayakan filem berkenaan.

“Tombiruo menyaksikan sebuah filem yang sarat dengan aksi, elemen kekeluargaan serta memaparkan flora dan fauna yang terdapat di Malaysia yang jarang dipaparkan di dalam filem tempatan.

“Selain itu, filem ini juga disokong oleh tenaga produksi yang berpengalaman luas dalam pembikinan filem dari dalam dan luar negara serta barisan pelakon handalan tanah air,” katanya.

Barisan pelakon yang diperkenalkan terdiri daripada Zul Ariffin sebagai Tombiruo atau Ejim, Farid Kamil sebagai Amiruddin, Nabila Huda sebagai Wan Suraya, Faizal Hussein sebagai Pondoluo, Dato' M Nasir sebagai Tan Sri Berham, Datin Marlia Musa sebagai Bonda, Faye Kusairi sebagai Salina dan Dynas Mokhtar sebagai Baizura. 




Turut membantu Farah Ahmad, Hasnul Rahmat, Micheal Chen, Artu, R Azmi Ismail dan Muhammad Al-Rayyan.

Tombiruo yang berlatarbelakangkan Negeri Di Bawah Bayu telah memulakan penggambaran pada 31 Julai lalu dan dijangka selesai sepenuhnya pada September depan melibatkan beberapa kawasan hutan di Lembah Klang dan Sabah.

Lebih menarik, filem itu juga menyaksikan gandingan dua pengarah iaitu Nasir Jani yang suatu ketika dahulu cukup terkenal dengan filem Kembara Seniman Jalanan dan Rozana Cinta 87, bersama Seth Larney yang pernah terlibat dalam penghasilan filem Hollywood seperti The Matrix Reloaded, The Matrix Revolutions, Star Wars: Revenge of the Sith, X-Men Origins: Wolverine, Superman Returns dan The Chronicles of Narnia: Voyage of the Dawn Treader.

Kenapa dua pengarah?




Nasir akan memberi sentuhan teliti pada elemen drama dan penataan seni sementara Larney akan memberi tumpuan pada sudut teknikal, babak aksi dan kesan khas.
Barangkali anda tertanya-tanya kenapa sudah dua tahun pelancarannya tetapi baharu kini mampu dilaksanakan penggambarannya?

Ketua Pegawai Eksekutif Ideate Media, Zainir Aminullah berkata, “filem berkenaan mengambil masa yang lama menerusi proses praproduksi kerana mahu memastikan segala perancangan diatur dengan teliti.

Jelasnya, pihak penulisan skrip sangat teliti melalui proses perbincangan untuk memilih babak penting bagi diadaptasi ke layar perak.

“Bukan mudah untuk memilih babak penting daripada novel setebal 600 muka surat dan ia penting untuk memastikan bukan sahaja Ramli Awang Murshid yang berpuas hati, tetapi juga pembaca.

“Selain itu kita juga turut berdepan dengan soal bajet dan sebagainya sebelum memulakan proses penggambaran. Malah, kesemua pelakon juga mengikut kelas lakonan dan latihan sebelum memasuki set,” katanya.

Tambah Zainir, pihaknya amat mementingkan kualiti dan turut bermatlamat membawa filem itu menembusi pasaran antarabangsa.




Dalam pada itu, Penerbit Eksekutif Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin menyifatkan penghasilan Tombiruo ke layar perak sebagai salah satu medium menguatkan lagi jenama syarikat tersebut.

Di samping itu, pemilihan Tombiruo untuk diadaptasi juga adalah kerana ingin memberikan kelainan dalam karya adaptasi novel yang pernah dilakukan sebelum ini.

“Sebelum ini, banyak novel cinta yang diadaptasi dan saya rasa sudah tiba masanya kita mencuba sesuatu yang baharu, apatah lagi, novel Tombiruo ini merupakan salah sebuah novel terlaris di Malaysia,” katanya.


Novel-novel hasil nukilan Ramlee Awang Murshid yang telah diterbitkan semenjak tahun 1998 sehingga kini telah terjual melebihi 2.2 juta naskah dan masih dicetak.

Ramlee yang juga bertindak selaku wakil produksi Layar Sunan dalam kata-kata aluannya berkata, hatinya terbuka untuk membenarkan karyanya kali ini diangkat ke layar perak kerana adanya kerjasama bersama Karangkraf.

“Sebelum ini memang ada lamaran mahu novel saya difilemkan, tetapi saya tolak kerana saya cerewet dalam membenarkan karya saya diolah.

"Apabila ada tawaran begini, dalam masa yang sama Karangkraf turut bertindak sebagai penerbit filem. Saya terima kerana bekerja dengan Karangkraf lebih bebas dan lebih bertolak ansur,” katanya yang sudah menghasilkan 24 novel di bawah terbitan Karangkraf.
Beliau berkata, sebanyak 85% daripada isi filem ini mengikut karyanya dan selebihnya sebagai pengisian komersial.

“Janji olahan yang dibuat tidak merosakkan mesej dan intipati nobel,” tambahnya.
Sementara itu, Nasir yang sudah hamper tiga dekad tidak mengarahkan filem cereka memberitahu, minatnya terhadap hasil karya Ramlee membuatkan dirinya tertarik untuk menerima tawaran mengarah.

Sebagai pengarah beliau akui, tanggungjawab yang digalas amat berat terutama dalam memvisualkan sebuah novel popular.  

Dalam pada itu, pelakon utamanya, Zul Ariffin memberitahu terpaksa mengurangkan berat badannya sebanyak 11 kilogram daripada 92 kilogram, bagi menjayakan watak sebagai Tombiruo.

Dalam filem ini, Zul banyak melakonkan adegan yang memerlukan dia tampil tanpa baju dan hanya mengenakan aksesori badan seiring dengan gambaran peranan tersebut.

"Persoalan mengenai tubuh badan saya dieksploitasi kerana saya tidak berbaju rasanya ia tidak perlu timbul kerana naskah itu sendiri sudah cukup kuat untuk menarik penonton ke pawagam. Apa yang saya lakukan adalah untuk menzahirkan watak sebagai Ejim," tambahnya walau pun akui merasa kekok pada awal penggambaran.

“Tombiruo: Penunggu RImba’ kini sudah menjalani penggambaran selama  tiga minggu dan bakal menemui penonton pada 2017.

Untuk sinopsis filem ini sila lihat ruangan SINEMA dalam blog ini....