KONSERT ROCK ERA TARIK 25,000 PENONTON SARAWAK
Kehadiran artis-artis rock popular tanahair di pentas Konsert ERA Rock Sarawak (KERS) ternyata menggegarkan bumi kenyalang Sabtu lalu, dengan lebih 25 ribu peminat-peminat muik tempatan membanjiri Padang Merdeka, Kuching Sarawak.
Konsert yang bermula jam 8 malam dan tamat pada lewat malam menampilkan barisan artis rock popular tanahair yang sangat hebat seperti Hyper Act, Akim & The Majistret, Projector Band, Kristal , Mus May dan Sonar Instinct .
Kata Pengurus Besar Astro Radio Sabah dan Sarawak, Hafizuddin Nizamuddin , “Tahun ini merupakan tahun ke-2, ERA fm Sarawak menganjurkan konsert besar seperti Konsert ERA Rock Sarawak di Padang Merdeka. Tenaga kerja ERA fm Sarawak turut rasa bangga kerana dengan jayanya dapat menarik ribuan penonton pada malam tersebut. Pada tahun ini, kami bawakan konsep rock kerana fenomena muzik rock kini sememangnya memberikan impak besar terhadap peminat- peminat muzik tempatan."
“Jika kita saksikan konsert pada malam itu, muzik rock yang dihidangkan oleh bakat-bakat tempatan ini menjadi permintaan paling tinggi terutamanya di corong stesen ERA fm. Lagu-lagu bergenre rock yang dinyanyikan oleh artis-artis seperti Hyper Act, Akim & The Majistret, Projector Band dan Kristal merupakan antara lagu-lagu yang tinggi permintaannya," tambah Hafizuddin.
Para penyampai ERA fm Sarawak Osha, Syazz, Fir, Afick dan Chopie menjadi tunjang utama KERS, di mana mereka memain peranan sebagai pengacara majlis pada malam itu.
Pembukaan KERS menyaksikan persembahan mereka sendiri yang menyanyikan lagu tema KERS 2016 berjudul, Rock ERA.
Kehadiran para penyampai ini turut menjadikan pentas rock pada malam tersebut lebih meriah dengan persembahan bertenaga mereka. Seterusnya, seluruh bandar Kuching digegarkan dengan kehadiran kumpulan-kumpulan rock negara dengan persembahan yang penuh bertenaga.
Pentas KERS dipanaskan dengan persembahakan pertama oleh artis rock tempatan Sarawak iaitu, Sonar Instinct dengan lagunya Don't Look Back In Anger dan Kopi Malam.
Penonton yang hadir pastinya masih dahagakan muzik rock, mereka seterusnya disajikan dengan persembahan kumpulan Kristal yang menyampaikan empat buah lagu buat pendengar antaranya Delaila, Yang Ku Cinta, Memburu Impian, dan Seragam Hitam.
Mengambil alih pentas, Projector Band yang pertama kali membuat persembahan di Sarawak, turut mempersembahkan lagu-lagu seperti Opera Hidup, Bahagia Deritamu, Sudah Ku Tahu dan lagu single terbaharu mereka secara eksklusif berjudul Pasti Ada Kamu.
Suasana Padang Merdeka kelihatan semakin gamat, pentas diteruskan lagi dengan persembahan daripada kumpulan Hyper Act dengan nyanyian lagunya Drag Me Down (1D), Hanya Aku,Gerimis Mengundang (Slam) dan Takkan Pergi.
Bagi mengimbau kembali arena rock lalu, KERS 2016 turut menampilkan lagenda otai rock Mus May dengan menyanyikan dua buah lagu berjudul Dari Kacamata dan Cintamu Mekar Di Hati.
Persembahan penyanyi otai, Mus May penuh bertenaga dan semangat turut mendapat sorakan tanpa henti daripada orang ramai. Pentas akhir KERS 2016 semakin gamat apabila para penonton menyaksikan Akim & Majistret keluar untuk membuat persembahan.
Antara lagu-lagu yang disampaikan adalah Terlalu Mudah, Lygophobia, Mewangi, Potret, Obses, dan lagu duet bersama Mus May berjudul Gadis Bertudung Putih.
Kelihatan penonton yang hadir tanpa mengira lapisan umur langsung tidak berganjak sehingga penghujung KERS.
Lagu-lagu berhantu yang dinyanyikan oleh Akim & Majistret turut dinyanyikan bersama-sama dengan penonton dengan penuh perasaan. Secara eksklusif, Akim & Majistret turut mempersembahkan lagu baharu mereka yang berjudul Lygophobia buat pertama kali dinyanyikan di pentas KERS 2016.
Ternyata, peminat muzik Sarawak sememangnya dahagakan acar-acara hiburan sebegini. Setiap kali anjuran konsert anjuran ERA fm, mereka sentiasa menyokong dan membanjiri lokasi acara.
Konsert ERA Rock Sarawak ini di anjurkan oleh ERA fm Sarawak dan diserlahkan oleh Emeron.