PEMENANG 'SALAM BAITULLAH' TERIMA PAKEJ UMRAH RM6,890
Sekadar ingin mencuba nasib, Norazziyati Abd Razak, seorang ibu berusia 37 tahun tidak menyangka bakal diumumkan sebagai pemenang utama kuiz Salam Baitullah 2016.
Bermula dari melayari laman facebook Serai Mas beliau terus mengikuti program tersebut setiap hari bagi mengikuti perkembangan Jemaah haji.
Norazziyati yang berasal dari Temor, Perak memenangi hadiah utama Pakej Umrah bernilai RM6,890.00 beserta produk kesihatan tajaan Serai Mas Herbs Trading bernilai RM700.00.
Pemenang kedua, Harizah Binti Hamdan, 23, dari Temoh, Perak juga membawa pulang Pakej Umrah bernilai RM6,890.00 dan hadiah produk dari Serai Mas Herbs Trading bernilai RM500.00.
Tempat ketiga pula dimenangi oleh Mohd Sharifudin Bin Musa, 23, dari Sabah dengan membawa pulang Pakej Umrah bernilai RM6,890.00 dan produk dari Serai Mas Herbs Trading bernilai RM300.00.
Salam Baitullah merupakan sebuah program majalah bual bicara dan berita yang memaparkan aktiviti Jemaah haji, pengurusan dan operasi haji, serta memberi maklumat terkini keadaan di Tanah Suci Kota Mekah.
Program ini telah bersiaran pada 31 Ogos 2016 hingga 15 September 2016, setiap hari mulai pukul 9.00 malam secara langsung menerusi saluran TV1.
Menurut penerbit program, Rohani Musa, Salam Baitullah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penonton yang meminta program ini diadakan setiap tahun. Setiap kali program ini berlangsung, penonton tidak putus bertanyakan soalan baik dari panggilan telefon mahupun di studio mengenai pengurusan Haji.
“Setiap tahun pelbagai penambahbaikan dilakukan oleh para penaja dan pihak produksi bagi menarik minat penonton dari generasi muda dan segenap lapisan masyarakat untuk menonton program ini”.
Hadiah disampaikan oleh Dato’ Adilah Shek Omar (Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran Stategik) di suatu Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Kuiz Salam Baitullah di Wisma Radio, Angkasapuri Kuala Lumpur. baru-baru ini.
Masing-masing merupakan pemenang bagi hadiah kuiz terkumpul dengan menjawab soalan, memuat naik slogan berbentuk video serta menulis slogan sepanjang siaran program Salam Baitullah setiap hari.
Program Salam Baitullah 2016 merupakan kerjasama Lembaga Tabung Haji dan tajaan utama Syarikat Serai Mas Herbs Trading dan Bank Rakyat Berhad sebagai penaja bersama.