Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

ASTRO TAWAR SALURAN PERCUMA, HADIAH LUMAYAN





Bayangkan Astro sudah pun 20 tahun!

Wah.. sungguh pantas masa berlalu, 

Bagi pelanggan setia Astro yang tidak putus-putus menyokong stesen satelit berbayar Astro sentiasa memberikan program-program menarik memenuhi selera pelbagai lapisan masyarakat.

Kak Fas masih ingat, program realiti Akademi Fantasia  atau ringkasnya 'AF' yang mula-mula disiarkan pada 3 June 2003 telah sebenarnya menarik perhatian Kak Fas untuk melanggan Astro.

"AF" musim pertama yang disiarkan melalui saluran Astro Ria benar-benar mencetuskan fenomena pada industri hiburan tempatan sehingga lagu temanya 'Menuju Puncak' benar-benar mampu meresapi ke jiwa setiap penonton.

Ia benar-benar memuncakkan kesedaran khalayak untuk melanggan Astro walau pun diakui format program tersebut  diambil daripada program 'La Academia' daripada Mexico. Tetapi yang pasti demam AF melanda satu 'Malaya' ketika itu.

Di mana-mana sahaja, di kota mahu pun di kampung pedalaman, siaran "AF" antara yang menjadikan Astro begitu popular. Boleh dikatakan setiap rumah tidak ketinggalan dipasang cakera satelit Astro. 



Kini,  dalam tempoh 20 tahun, Astro terus menuju puncak tanpa menoleh lagi ke belakang malah yakin mampu memperoleh  90 peratus capaian pelanggan iaitu sekitar tujuh juta isi rumah dalam tempoh lima tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Datuk Rohana Rozhan berkata, ia sekali gus membolehkan Astro menyediakan akses kepada 30 juta individu di rumah serta menerusi Astro On The Go.

Menurut Rohana, selepas 20 tahun menyediakan khidmat kepada pelanggan, Astro berhasrat untuk terus menyediakan pelbagai kandungan bagi menarik lebih ramai pengguna.


"Melangkah ke dekad ketiga, kita akui bahawa daya saing untuk memenangi masa dan wang pengguna akan dilihat lebih sengit dengan kehadiran aspek digital dalam industri media yang serba berubah," tambah Rohana pada majlis  sambutan ulang tahun ke-20 Astro di Pusat Penyiaran Astro Bukit Jalil baru-baru ini.




Dan sebagai penghargaan Astro kepada para pelanggannya, bermula 10 Oktober lalu sehingga 31 Disember 2016 ini, Astro memberi  akses percuma untuk menonton  saluran Astro Fiesta (996 dan 988 HD) .

Malah, pelanggan menerusi kotak sambungan internet juga boleh menonton OD Fiesta secara percuma serta dapat menonton Astro Awani, Astro Arena, Go Shop 1, Go Shop 2, dan saluran eGG selain beberapa kandungan On Demand terpilih secara percuma.

Menurut  Rohana,, melalui saluran Astro Fiesta, penonton disajikan dengan  pelbagai konsert tempatan dan antarabangsa secara eksklusif bagi menghargai jasa dan sokongan pelanggan terhadap Astro sepanjang 20 tahun.

"Saluran percuma sehingga hujung tahun ini adalah sebagai tanda terima kasih kami kepada pelanggan yang terus setia dan menyokong Astro sehingga hari ini," umum Rohana.

Astro Fiesta akan membawakan konsert antarabangsa dan tempatan seperti Katy Perry, Konsert Mega Gegar Vaganza, Mayday Nowhere Concert, International Superstar 2015, 5 secounds of Summer, Billboard's Women in Music dan MTV World Stage specials.

Rohana  menambah kata,  pelanggan dengan sambungan internet juga boleh menikmati OD Fiesta iaitu saluran khas menampilkan siri TV pilihan seluruh dunia secara percuma.

"Menerusi OD Fiesta mereka hanya perlu sambungan Personal Video Recorder (PVR) kepada wi-fi rumah untuk menonton," ujarnya.

Dengan cara itu, pelanggan boleh menonton pelbagai program menarik termasuk siri TV Scarlet Heart, The Hiddens, Brother's Keeper, My Sister, The Walking Dead, Outcast, Suri Hati Mr. Pilot, semua filem A-List, 150 pilihan filem Tamil, Celestial dan Citra.




Pada majlis meraikan ulang tahun dengan pemotongan kek 20 tahun, Astro mengundang pelakon popular Korea Selatan, Kim Rae Won untuk tampil seketika berhadapan para tamu yang hadir.

Rae Won yang popular menerusi drama bersiri Doctors di ONE HD (393) sempat meluangkan masa kira-kira 15 minit sebelum berangkat ke Pavilion Kuala Lumpur untuk sesi bertemu peminat.

Beliau tetap berbicara dalam bahasa Korea walau pun ditemu ramah dalam bahasa Inggeris di mana ia kemudian  dialih bahasa oleh seorang penterjemah di sampingnya.

Antara selebriti yang turut memeriahkan majlis adalah Lisa Surihani, Datuk Aznil Nawawi, Adira, Johan, Zizan Razak, Nabil Ahmad, Hafiz Suip, Harith Iskander, Vince dan Hisyam Hamid.

Selain itu, semua pelanggan Astro boleh mengambil bahagian untuk memenangi salah satu daripada 20 pengalaman eksklusif 'Sekali Seumur Hidup' yang dianjurkan.

Nak tahu apa antara 20 pengalaman itu  dan senarai penuh hadiah-hadiah eksklusif yang disediakan?



Ni dia  Kak Fas catatkan secara ringkasnya apa yang anda boleh menang ya:

●  Lawatan ke Ireland Utara untuk merasai pengalaman ‘Game of Thrones’, ataupun kelas membuat kek di Buddy Valastro Cooking School, New Jersey seperti ‘Cake Boss!’
●  Lawatan ke acara sukan gemilang seperti perlawanan Barcelona vs Real Madrid di Sepanyol mahupun WWE Wrestlemania 33 di Florida ataupun perlawanan Liga Perdana Inggeris di England.
●  Lawatan ke Korea Selatan untuk menghadiri ‘2016 MBC Entertainment and Drama Awards’, ‘2016 KBS Awards’ atau ‘2016 SBS Awards’.
●  Lawatan ke Hong Kong untuk menghadiri ‘TVB Gala 2016 Show’ atau ‘Movie Studio Gala Dinner Celestial’.
●  Lawatan ke Chennai, syurga kepada hiburan berbahasa Tamil untuk melawat studio AVM yang popular dan juga menjadi sebahagian daripada penonton rancangan terbaik seperti Sun TV dan Vijay TV.
●  Sehari bersama selebriti terkenal, Zizan atau Johan serta berpeluang membuat penampilan istimewa dalam rancangan mereka..


Ha... menarik tak? 

Ada lagi tau...

Pelanggan Astro boleh bersuka ria di ‘Karnival Astro Fest’ yang bakal diadakan di Taman Tema Sunway Lagoon pada hari Ahad, 20 November 2016. Astro Fest menawarkan hari gembira penuh aktiviti menarik daripada Fox, Discovery, Food Network, Disney dan Astro Ceria, konsert LIVE, kehadiran selebriti terkenal serta peluang untuk menangi pelbagai hadiah menarik.

Keterangan lanjut bagaimana nak mendapatkan empat tiket bagi setiap satu akaun Astro untuk menghadiri  Karnival mahu pun nak mengambil bahagian dalam  acara 'Sekali Seumur Hidup' boleh lah layari www.astro.com.my/celebrating-you.