Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

'DA'I PENDAKWAH NUSANTARA' TARIK 4,2 JUTA PENONTON

JUARA Da'i  Niezal diapit  Da'i Saiful (kiri) dan Da'i Nasrul.

Semua pun sudah maklum siapa pemenang program realiti 'Da'i Pendakwah Nusantara' baru-baru ini, iaitu Da'i Niezal  pemilik nama penuh Mohd Sufwan Niezal bin Sabri, 19, tetapi tahu kah anda rancangan tersebut mendapat berapa ramai penonton?

Ini jawapan untuk persoalan tersebut...

Siaran langsung Pentas Akhir telah mencecah 4.2 juta penonton dan hashtag seperti #DaiTV3, #DaiNiezal, #DaiNasrul dan #DaiSaiful hangat diperbualkan di laman sosial sepanjang bersiaran.

Mengumumkan demikian, Cik Sherina Nordin, Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama & Rancangan TV3 dan TV9 berkata:

“Ketiga-tiga finalis iaitu Da'i Niezal, Da'i Nasrul dan Da'i Saiful sudah layak berdiri sebagai seorang pendakwah kerana matang berbicara pada usia yang muda dan bersungguh-sungguh untuk terus menuntut ilmu dalam keagamaan. Kami juga berharap 11 peserta Da’i musim ini akan meneruskan usaha berdakwah pada masa hadapan dan InsyaAllah usaha mereka bakal memberikan impak yang positif kepada masyarakat,”

Sebagai pelajar Diploma Dakwah dan Pengurusan di Kolej Universiti Islam Sultan Ahmad Shah, Pahang, Da'i Niezal telah membawa pulang sebuah trofi, hadiah wang tunai sebanyak RM 50,000 tajaan TV3, dan pakej umrah untuk 2 orang tajaan Almas Beauty & Health. 


Naib Juara ditangan Da’i Nasrul (Muhammad Nasrul Nizam bin Zamry, 20 tahun) dan Da’i Saiful (Mohamad Saiful bin Marzuki, 18 tahun) pula masing-masing membawa pulang sebuah trofi, hadiah wang tunai RM 5,000 dan sebuah iPad.  

Bertemakan ‘Selangkah Ke Syurga’, Da’i Nasrul, Da’i Niezal dan Da’i Saiful telah menyampaikan tazkirah selama 5 minit di pusingan pertama dengan gandingan bersama-sama selebriti popular seperti Khir Rahman, Mustaqim Bahadon, dan Azmi Bahron. Topik-topik tazkirah yang disampaikan ialah ‘Wahai Anakku’ oleh Da’i Niezal,  ‘Zuriat Syurga’ oleh Da’i Nasrul dan ‘Maaf Yang Tertangguh’ oleh Da’i  Saiful.  

Da’i Niezal telah menerima pujian daripada juri tetap, Ustaz Zarifi kerana dia sering mencabar diri untuk untuk mencuba elemen baharu dalam menyampaikan tazkirah di pentas Da’i. Da’i Nasrul pula mampu bercerita dengan baik tentang apakah itu zuriat syurga. Namun, juri tetap iaitu Dato’ Ustaz Dr Izhar memberikan cadangan supaya Da’i Nasrul menghuraikan tentang ganjaran yang akan diberikan dan juga menambahkan sepotong ayat daripada hadis untuk melengkapkan lagi tazkirah tersebut. 





Da’i Saiful (atas) telah diberikan soalan oleh Datin Maziah iaitu, “Apakah balasan orang yang tidak sempat meminta maaf dan mati?” Ustaz Zarifi komen bahawa persembahan Da’i Saiful penuh bertenaga tetapi Da’i Saiful harus memberikan cara-cara sebagai jawapan kepada soalan yang diberikan. 



Sebelum mara ke pusingan seterusnya, mereka bertiga menjawab 3 soalan imtihan daripada panel juri tetap. Setiap jawapan yang betul diberikan 5 markah manakala jawapan yang salah ditolak 5 markah. Da’i Niezal berjaya menjawab 2 soalan dengan betul. Da’i Nasrul dan Da’i Saiful pula menjawab 1 soalan dengan betul. Keputusan markah keseluruhan pada pusingan pertama menyaksikan Da’i Saiful tersingkir. 



Pusingan kedua mencabar intelektual Da’i Nasrul (atas) dan Da’i Niezal untuk menjawab soalan spontan dari penonton (perkahwinan dan keberkatan rezeki) dengan memberikan tazkirah ringkas selama 3 minit. Pentas akhir ini diserikan dengan persembahan  istimewa dari penyanyi Indonesia popular, Opick  (bawah(Rapuh dan Cahaya Hati) dan Qody & Fareez Mentor Milenia (penyanyi lagu tema Da’i – Lebaran Kejayaan).

Selain itu, Da’i Hazman (Mohd Hazman Yani bin Zamry) merupakan Da’i Pilihan Almas yang membawa pulang sebuah iPhone 6S dan produk Almas Beauty & Health. Da’i Syed (Syed Shah Iqmal bin Syed Mohd Shaiful Jamalullail) pula terpilih sebagai Da’i Pilihan Youtube dengan membawa pulang hadiah cenderahati eksklusif TV3 dan juga produk Almas Beauty & Health. Da’i Saiful juga menjadi Da’i Pilihan Penonton apabila dia berjaya mengungguli carta undian penonton di www.tv3.com.my/daiTV3 sebanyak 7 minggu. Da’i Saiful membawa pulang sebuah ipad mini dan produk Almas Beauty & Health. 

Panel juri awam di pentas akhir terdiri daripada pengasas Almas Beauty & Health, Datin Hajah Maziah Haji Mohamed, Ustaz Dato’ Haji Mohd Najmuddin Elias Al Hafiz, AG (penyampai radio Kool FM), Izzue Islam, Da’i Farhan (juara Da’i musim kedua), Da’i Fuad (finalis Da’i musim ketiga), Diana Amir, Da’i Adibah (juara Da’i musim pertama) Da’i Hamidah (juara Da’i musim ketiga) dan Puan Hartati Hassan (pengarang hiburan Metro Ahad). 


Musim baharu ini menampilkan Datuk Rosyam Nor sebagai hos, Tuan Haji Zainal Ariffin Ismail sebagai hos bersama dan Datuk Ustaz Kazim Elias sebagai Mursyid (ketua mentor) yang memantau secara keseluruhan prestasi para peserta sambil dibantu oleh dua orang Murabbi (mentor) iaitu Ustaz Zul Ramli Mohamad Razali dan Dr. Robiah K. Hamzah. 



Persembahan mereka dinilai oleh dua juri tetap profesional iaitu Dato’ Ustaz Dr Izhar Ariff dan Ustaz Zarifi. Pemarkahan peserta terbahagi kepada 70% (juri profesional), 20% (murabbi – Ustaz Zul Ramli & Dr. Robiah K. Hamzah) dan 10%  daripada juri awam.

11 peserta yang berentap dalam musim baharu ini ialah Da’i Niezal (Mohd Sufwan Niezal bin Sabri, 19 tahun, Terengganu), Da’i Saiful (Mohamad Saiful bin Marzuki, 18 tahun, Pulau Pinang), Da’i Nasrul (Muhammad Nasrul Nizam bin Zamry, 20 tahun, Kelantan), Da’i Syed (Syed Shah Iqmal bin Syed Mohd Shaiful Jamalullail, 21 tahun, Perlis), Da’i Hazman (Mohd Hazman Yani bin Ahmad, 29 tahun, Kedah), Da’i Irfan (Mohd Nourul Irfan bin Niamat, 25 tahun, Kedah), Da’i Azrin (Azrin bin Md Isa, 20 tahun, Perak), Da’i Ahmed (Ahmed Ibrahim bin Ahmad, 23 tahun, Selangor), Da’i Aini (Wan Nuraini binti Wan Rosdi, 21 tahun, Johor), Da’i Aishah (Siti Nor Aishah binti Che Hassan, 21 tahun, Kelantan) dan Da’i Daeng (Muhammad Amiruddin bin Junaidi, 25 tahun, Johor). 



Sidang produksi Da’i Pendakwah Nusantara diketuai oleh Tuan Haji Zainal Ariffin Ismail selaku penerbit eksekutif dan Shukri Ibrahim sebagai penerbit. Siaran ulangan Pentas Akhir Da’i Pendakwah Nusantara musim ke-4 dapat disaksikan pada 14 Oktober 2016, pukul 10 pagi. Da’i Pendakwah Nusantara dimeriahkan lagi dengan rakan ukhwah iaitu stesen radio Kool FM dan portal video tonton

QODY & Fareez Mentor Milenia (penyanyi lagu tema Da’i – Lebaran Kejayaan) bersama barisan 11 peserta Da'i.4 pada persembahan pembukaan.