32 PESERTA ASTRO KEM BOLA SAMBUNG SESI LATIHAN DI BARCELONA
Pada tahun ini, Astro Kem Bola telah memilih seramai 32 peserta terbaik yang terdiri daripada 16 kanak-kanak perempuan dan 16 kanak-kanak lelaki untuk menimba pengalaman berlatih bola sepak selama 10 hari di Barcelona, Sepanyol bermula 8 hingga 19 Disember 2016.
Para peserta yang terpilih merupakan kanak-kanak berumur di antara 10 – 12 tahun yang berasal dari Malaysia, Filipina dan Singapura.
Kata salah seorang peserta Astro Kem Bola yang terpilih untuk menjalani sesi latihan di Barcelona, Muhammad Azzroul Hyzami, 12 tahun yang berasal dari Sarawak, “Saya berasa sangat teruja kerana mendapat peluang pergi ke Barcelona. Dengan adanya peluang sebegini, saya berharap agar suatu hari nanti saya akan menjadi seorang pemain bola sepak bertaraf dunia. Saya sememangnya tidak sabar untuk memulakan sesi latihan di sana dan menimba pengalaman baru.”
Nur Najwa Irdina, 10 tahun yang berasal dari Kuala Lumpur pula berkata, “Cita-cita saya adalah untuk menjadi seorang pemain bola sepak wanita yang dikenali di peringkat antarabangsa. Ibu bapa, guru-guru serta rakan-rakan sentiasa memberi dorongan kepada saya supaya tidak berputus asa untuk menggapai cita-cita saya ini. Saya berasa amat bertuah kerana telah dipilih sebagai salah seorang peserta yang mendapat peluang untuk berlatih dengan jurulatih-jurulatih di Barcelona.”
Selain menjalani sesi latihan bersama jurulatih professional dari FC Barcelona, para peserta juga turut mempunyai peluang untuk menonton perlawanan bola sepak La Liga - FC Barcelona lawan RCD Espanyol secara langsung pada 18 Disember 2016 di Camp Nou.
Jika tahun-tahun sebelum ini, Astro Kem Bola telah membawa para peserta Kem Bola terpilih menjalani sesi latihan keperingkat antarabangsa telah dikendalikan oleh jurulatih profesional dari kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris seperti Cardiff City Football Club pada tahun 2013 dan 2014, dan 2 sesi bersama West Ham United Foundation pada tahun 2015.
Bertuah anak-anak ini kan? Moga mereka akan mencipta nama satu hari nanti dan menjadi kebanggaan Malaysia dalam bidang sukan bolasepak.