Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

MENTOR MILENIA 2017 : PROTEGE HAZAMA, AKIM TERJAWAB SUDAH


Mentor Milenia  2017 sudah pun bermula siarannya pada Ahad lalu.

Namun Kak Fas tidak berkesempatan untuk menontonnya waima berada di Bali, Indonesida ketika itu.

Pun begitu,  untuk pembaca yang memang mengikuti program realiti musim 2017 ini Kak Fas tetap akan siarkan 'updates' nya ya...

Minggu lalu menyaksikan Anna, Elica, Usop dan Balqis berjaya menjadi protégé kepada Akim dan Hazama  menerusi Konsert Pengenalan, sekaligus melayakkan diri mereka  untuk berjuang di pentas Mentor Milenia 2017! 

DARI kiri - Balqis, Usop, Anna, Elica.

Elica, Farhan dan Anna dari pilihan Mentor Akim dan Balqis, Serra dan Usop dari pilihan Mentor Hazama melakukan persembahan mereka buat pertama kalinya demi merebut peluang untuk bergelar protégé.

Bukan mudah bagi Akim dan Hazama untuk membuat keputusan kerana mereka telah menetapkan kriteria yang tinggi untuk musim baharu ini. Namun, keputusan tetap perlu dilakukan.


Farhan. 20,  yang menyampaikan lagu 'Gerhana' (nyanyian asal oleh M. Nasir) terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada kepada rakan-rakannya apabila Akim memilih Noor Jannah Abu Hanipah (Anna, 18 tahun) dan Angelica Paujin (Elica, 17 tahun) sebagai protégé.

Anna membawa lagu 'Jeritan Batinku' (P. Ramlee) sementara Elica memilih lagu 'Pelangi Senja' (nyanyian asal oleh Stacy).

Perjalanan Serra, 21,  yang membawa lagu 'Tiada Logika' (nyanyian asal oleh Agnes Monica)  juga terhenti setelah Hazama memilih Muhammad Saiful Naim Muhd Noor (Usop, 20 tahun) dan Nor Balqis Ahmad Tajudin (Balqis, 18 tahun) untuk menjadi anak didiknya. 

Saiful menyampaikan lagu 'Permata Cinta' (nyanyian asal oleh Aiman Tino) manakala Balqis mendendangkan lagu 'Perawan Atau Janda' (nyanyian asal oleh Cita Citata).

Pada Konsert Pengenalan pertama, para penonton telah dihiburkan dengan persembahan istimewa daripada Akim dan Hazama yang mempersembahkan lagu ‘Seragam Hitam’. 



Selepas tamatnya persembahan kesemua peserta, Qody dan Wanie, finalis Mentor Milenia 2016 melabuhkan tirai Konsert Pengenalan pertama dengan persembahan istimewa rangkaian lagu ‘Biar Aku & Takhta Teratas’.



Tertumpu kepada golongan muda dalam lingkungan umur antara 17 hingga 21 tahun, Mentor Milenia 2017 membariskan empat artis muda berbakat besar iaitu Akim, Hazama, Black dan Tomok untuk mencari dan mengasah bakat-bakat baharu menjadi penghibur yang berjaya dan berkemampuan melakar nama mereka di dunia seni.

Mentor Milenia 2017 dihoskan oleh Issey Fazlisham dan Marsha Milan Londoh. Setelah Konsert Pengenalan yang menentukan barisan protege oleh mentor – mentor, 8 protégé tersebut bakal  bertanding dalam 9 konsert mingguan bermula 26 Februari ini. 



Berbeza dengan musim yang lepas, Mentor Milenia 2017 menampilkan Datuk Hattan sebagai juri tetap dan seorang juri professional jemputan setiap minggu.

Keputusan persembahan para protégé terletak kepada jumlah markah daripada juri profesional dan juri tetap sebanyak 50%, undian penonton menerusi laman web rasmi Mentor Milenia sebanyak 30% dan 20% lagi daripada juri awam di studio. 

Protege yang gagal meraih jumlah markah tinggi akan disingkir. Pada peringkat akhir nanti, Juara Mentor Milenia bakal membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 100,000.

Mentor Milenia 2017 dibawakan khas oleh Neffos, Telefon Pintar Generasi Milenia selaku penaja utama manakala tonton sebagai Geng Digital, Harian Metro dan ZIP sebagai Geng Media dan Hot FM sebagai Geng Radio. Menariknya kali ini, Mentor Milenia 2017 akan dihangatkan lagi dengan Smule, aplikasi karaoke popular. Jangan lepaskan peluang untuk menyanyi bersama mentor pilihan anda bermula pada bulan Mac ini menerusi aplikasi Smule ini.

Krew penerbitan Mentor Milenia 2017 diketuai oleh Muhamad Sufian Isa, Pengurus Hiburan Primeworks Studios merangkap penerbit eksekutif Mentor Milenia 2017 dan Khirul Fikry Mustafa sebagai penerbit. 

Program realiti popular ini turut dibantu oleh Azmeer sebagai penasihat, Sazlan Mat Adnan sebagai koreografer dan Faizal Uzir (Lok-U) sebagai pengarah muzik.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Mentor Milenia 2017 yang bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2 pada setiap hari Ahad, pukul 9.00 malam – 11.00 malam dan Jurnal Mentor Milenia yang memaparkan aktiviti mentor dan protege juga akan bersiaran pada setiap Ahad selama 30 minit bermula dari 6.00 petang.

Nantikan episod seterusnya dimana giliran 3 bakal protégé kepada Tomok dan Black pula membuat persembahan solo di Konsert Pengenalan kedua pada 19 Februari 2017. Hanya dua orang protégé akan dipilih oleh mentor masing-masing untuk berentap di pentas Mentor Milenia 2017. 

Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web www.tv3.com.my/mentormilenia dan ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter, Youtube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia dengan menggunakan hashtag #MentorMilenia untuk menghangatkan lagi perbualan tentang program ini di laman media sosial.

Para penonton juga boleh menyaksikan program ini melalui strim secara langsung definisi tinggi di www.tonton.com.my. 


BARISAN Mentor - Tomok, Akim, Hazama dan Black.