COSRY TAMPIL GAUN EKSKLUSIF PENGANTIN MUSLIMAH
'Menjadi Raja Sehari' adalah impian setiap pasangan wanita mahu pun lelaki walau pun jodoh pertemuan itu sudah diatur oleh Allah kepada setiap insan yang lahir di dunia fana ini.
Hanya masa yang menentukan jodoh seseorang itu. Jika pada zaman nenek moyang kita dahulu perkahwinan berlangsung dalam usia mentah. Seorang anak gadis berusia 14 tahun sudah boleh berkahwin malah jika lanjut usia dikatakan 'anak dara tua'.
Tetapi sekarang zaman sudah pun berubah, Perkahwinan tidak lagi berlangsung awal dan seorang gadis berusia lebih 30 tahun sudah tidak dianggap 'terlambat' kesampaian jodohnya. Dan sudah tentu antara faktor yang menyebabkan perkahwinan lambat berpunca daripada keadaan sekeliling dan kerjaya wanita mahu pun lelaki berkenaan.
Pun begitu yang tidak berubah sudah tentu persiapan perkahwinan yang bakal dilangsungkan. Baik zaman dahulu mahu pun pada era milenium ini, perancangan sesebuah perkahwinan perlu difikirkan seawal mungkin.
Selepas tarikh ditetapkan perkara pertama yang perlu difikirkan adalah lokasi perkahwinan. Jika dahulu perkahwinan lazimnya dilangsungkan di rumah pengantin perempuan tetapi dengan kemodenan dan kepantasan waktu, ramai yang mengambil langkah pantas untuk mengelakkan pembaziran tenaga dan waktu dengan hanya menempah segala keperluan baik soal lokasi perkahwinan, makan, pakaian, hantaran dan sebagainya.
Namun dengan perkembangan dunia fesyen yang pantas berubah bagaikan pusingan roda, bakal-bakal pengantin tidak perlu lagi pening kepala memikirkan segalanya kerana dengan wujudnya ramai perancang perkahwinan mahu pun pereka fesyen pengantin, anda cuma perlu wang ringgit yang mencukupi untuk tema perkahwinan yang diidamkan. Murah atau mahalnya perbelanjaan bergantung kepada bajet masing-masing.
Foto kredit: FB The Wedding KL 2017 |
Di Kuala Lumpur misalnya, pelbagai majlis mahu pun pameran berkait dengan urusan perkahwinan diadakan saban tahun. Dan tahun ini, "The Wedding 2017" merupakan antara acara berkaitan perkahwinan yang menarik perhatian baka-bakal pengantin yang impikan sebuah majlis 'Raja Sehari" yang eksklusif.
Berpeluang hadir ke majlis yang merupakan kali kedua dianjurkan itu, Kak Fas dapat melihat pelbagai pameran yang disediakan oleh pihak penganjur yang mempuyai kaitan dengan sesebuah majlis persandingan.
Di Hotel Mandarin Oriental, anda bukan sahaja langkah ke sebuah dewan yang dihiasi pelbagai dekor daripada meja pengantin, fesyen pengantin mahu pun pada bab berinai, hidangan minum mahu pun sampel hantaran malah lebih menarik para tamu dihidangkan dengan pertunjukan fesyen daripada kira-kira 14 pereka fesyen ternama dan di antara mereka itu merupakan rekaan Putra Aziz dari Cosry Wise (M) Sdn Bhd.
Dalam pertemuan singkat dengan Putra Aziz, beliau memberitahu mengambil masa dalam tiga minggu bagi menghasilkan 12 rekaan yang dipertontonkan pada 'fashion runway' petang ini.
Namun cahaya kepuasan yang terpancar pada wajahnya petanda Putra Aziz berpuas hati dengan sokongan yang diberikan khalayak pada 12 rekaan eksklusif yang dikategorikan di bawah koleksi bertema 'The Queen of Modesty'.
Pada musim ini, Putra memberikan sentuhan unik pada koleksi gaun pengantin muslimah lengkap dengan rekaan tudung yang pastinya menyerlahkan lagi penampilan dan seri pada wajah bakal pengantin baru.
Menurut Pengarah Kreatif Cosry ini, beliau menggunakan fabrik Italian Duchess dan organza di mana daripada 12 rekaan yang ditampilkan, enam daripadanya berana putih gading manakala selebihnya rona 'nude'. atau pun 'champagne' yang diserikan dengan renda rona putih gading serta diperincikan pula dengan kristal Swarovski.
Kata Putra, meski pun bertudung, Cosry mahu setiap pengantin tampil anggun dan kerana itu beliau menyisipkan elemen sofistikated dan elegan pada setiap rekaannya agar terus menjadi tumpuan tetamu yang hadir.
Tepat sekali dengan tema yang dipilih iaitu 'The Queen of Modesty" , setiap 12 rekaan Cosry memang cantik dan tidak jemu Kak Fas memandangnya ... terasa kalau boleh dikembalikan waktu remaja hendak sahaja pakai rekaan seperti Cosry. Cantik dan sudah tentu sepadan dengan harganya walau pun mencecah ribuan ringgit.
Apa ada pada wang ringgit ya tak kerana hanya sekali dalam seumur hidup kita kaum wanita mahu berhias dan kelihatan cantik pada hari bersejarah berkenaan ya tak?
Sebenarnya, nama Cosry dalam dunia fesyen sudah tidak asing lagi. Dengan nilai eksklusif yang diterapkan pada setiap rekaannya tidak hairan Cosry mampu berkembang cepat dalam industri fesyen.
Khabarnya, perkembangan itu akan diteruskan ke negara Barat di mana Cosry bercadang memperagakan koleksinya di New York, Amerika Syarikat.
"Impian saya mahu melihat rekaan gaun pengantin menembusi pasaran antarabangsa hampir terlaksana apabila ada wakil dari New York mahu membawa dan memperagakan gaun pengantin muslimah di sana," tambah Putra.
Menurut Putra, Persatuan Komuniti Islam di New York amat berminat meletakkan gaun pengantin muslimah di butik mereka.
"Kami akan mengadakan majlis pelancaran dan pertunjukan fesyen di sana nanti. Doakan agar ia akan menjadi kenyataan," mohon Putra penuh harapan.
Sebaik sahaja pertunjukan fesyen Cosry selesai Kak Fas sempat meninjau aktiviti-aktiviti lain yang berlangsung sekitar 'The Wedding KL 2017" di dalam dewan.....jom layan gambar-gambar di bawah ...
Let the photo tells the story ya....