PROTEGE BLACK -NUZUL- GAGAL PERTAHAN KEDUDUKAN
Sudah dua kali berturut-turut, dia berada di kedudukan dua terbawah namun Nuzul terpaksa tunduk kepada rezeki yang tidak menyebelahinya apabila tersingkir dan harus meninggalkan pentas Mentor Milenia 2017.
Perjuangan Nuzul sebagai protege Black terhenti manakala rakannya Qalisya (protoge Tomok) yang juga kedudukannya tersenarai paling corot mara ke peringkat seterusnya
Berbanding Nuzul, Qalisya berjaya melontarkan vokal dengan sepenuhnya dan memberikan persembahan yang lebih baik berbanding dengan minggu lepas, namun beliau masih kelihatan gementar ketika berada di pentas.
Jadi bagi meneruskan persaingan di pentas Mentor Milenia, Qalisya harus segera memperbaiki kelemahannya untuk mengatasi pesaing-pesaingnya iaitu Along (Tomok), Syeera (Black), Anna dan Elica (Akim) serta Usop dan Balqis (Hazama).
Pertarungan konsert minggu keempat ini juga menyaksikan Along, protégé Tomok dinobatkan sebagai juara mingguan. Persembahan Along yang penuh dengan emosi ketika menyampaikan lagu Kekasih Awal Dan Akhir (Jamal Abdillah) berjaya meraih markah penuh iaitu 20 markah daripada juri awam.
Selain menampilkan Datuk Hattan sebagai juri tetap, konsert battle kedua turut diserikan lagi dengan kehadiran Jaclyn Victor sebagai juri jemputan. Keputusan persembahan para protégé terletak kepada jumlah markah daripada juri tetap dan juri jemputan sebanyak 50%, undian penonton menerusi laman web rasmi Mentor Milenia sebanyak 30% dan 20% lagi daripada juri awam di studio.
Menurut Datuk Hattan selaku juri tetap, “Setiap protégé mempunyai potensi masing-masing. Mereka harus mengatasi perasaan gementar dan yakin dengan kemampuan diri sendiri. Selain membuat pemilihan lagu yang sesuai, para protégé juga perlu belajar untuk menghayati lagu-lagu yang akan disampaikan, kerana penjiwaan terhadap sesebuah lagu itu penting ketika melakukan persembahan.”
Pembukaan konsert minggu keempat juga menampilkan persembahan pembukaan daripada juri jemputan, Jaclyn Victor, dengan rangkaian lagu “Bertalmu Di Kalbu dan Don’t Stop Believing” (Jaclyn Victor dan kumpulan Journey). Penutup persembahan pula diakhiri dengan rangkaian lagu kumpulan BPR dan “Dari Sinar Mata dan Ibukota Cinta” oleh kesemua protégé.
Suasana konsert Mentor Milenia 2017 juga dimeriahkan oleh Issey Fazlisham dan Marsha Milan London selaku hos yang mencuit hati para penonton di studio dan juga di rumah dengan telatah mereka. Bersama mereka, duta Neffos, Fazura.
Tertumpu kepada golongan muda dalam lingkungan umur antara 17 hingga 21 tahun, Mentor Milenia 2017 membariskan empat artis muda berbakat besar iaitu Akim, Hazama, Black dan Tomok selaku Mentor bagi mencari dan mengasah bakat-bakat baharu untuk menjadi penghibur yang berjaya dan berkemampuan melakar nama mereka di dunia seni.
Barisan protégé akan bertanding dalam 9 konsert mingguan yang disiarkan secara langsung dari studio Sri Pentas 2. Konsert mingguan ke-8 dan ke-9 merupakan konsert separuh akhir, di mana protégé-protégé yang masih bertahan akan berentap di pentas akhir Mentor Milenia 2017 untuk merebut wang tunai berjumlah RM 100,000.
Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Mentor Milenia 2017 yang bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2 pada setiap hari Ahad, pukul 9.00 malam – 11.00 malam dan Jurnal Mentor Milenia yang memaparkan aktiviti mentor dan protege pada setiap Ahad bermula 6.00 petang selama 30 minit.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web www.tv3.com.my/mentormilenia dan ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter, Youtube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia dengan menggunakan hashtag #MentorMilenia2017 untuk menghangatkan lagi perbualan tentang program ini di laman media sosial.
Para penonton juga boleh menyaksikan program ini melalui strim secara langsung definisi tinggi di www.tonton.com.my.