Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

MENTOR MILENIA: QALISYA AKHIRNYA TERSINGKIR


Seringkali berada di 'bottom two' malah tiga kali hampir tersingkir, Nur Qhalysa Syazreena Zainuddin, atau lebih dikenali sebagai Qalisya, akhirnya terpaksa meninggalkan pentas Mentor Milenia 2017 meninggalkan lima lagi rakan-rakan seperjuangannya bertanding.

Sebelum ini, Qalisya pernah dinobat sebagai juara mingguan dalam  konsert battle  battle kelima. Sayangnya kejayaan Qalisya tidak kekal lama apabila beliau diumumkan tersingkir dan peserta dari Sabah ini terpaksa mengucapkan selamat tinggal jua.


“Saya rasa kamu perlu mencari ‘key’ yang sesuai ketika menyanyi supaya nyanyian kamu dapat sampai ke jiwa para penonton,” komen Ronnie Hussein selaku juri jemputan di konsert Ahad lepas tentang persembahan Qalisya yang telah membawakan lagu berjudul “Awan Yang Terpilu” (nyanyian asal oleh Ning Baizura). 

Juri tetap Mentor Milenia 2017, Datuk Hattan turut menasihati Qalisya untuk belajar cara-cara mengawal not rendahnya (low note) dan memperbaiki teknik nyanyiannya kerana Qalisya mempunyai potensi untuk menjadi penyanyi yang hebat. 

Menurut Datuk Hattan, “Kalau boleh, saya ingin merayu kepada pihak produksi supaya tidak melakukan penyingkiran. Namun, minggu lepas tiada seseiapa yang tersingkir dan tidak mungkin akan berlaku sekali lagi pada malam ini. Salah seorang daripada mereka yang berada di tangga tercorot harus meninggalkan Mentor Milenia 2017 kerana ini adalah adat pertandingan. Ini tidak bermaksud perjalanan anda sudah berakhir tetapi ia adalah permulaan untuk berdepan dengan cabaran yang sebenar di luar sana.” 



Penyingkiran Qalisya telah memberi peluang kepada Syeera (Black) yang turut berada di tempat paling corot untuk meneruskan persaingan di pentas Mentor Milenia 2017 bersama-sama Balqis & Usop (Hazama), Elica (Akim) dan Along (Tomok).

Muncul sebagai peserta pertama untuk membuat persembahan, Syeera telah medapat 18 markah daripada juri awam dengan lagu berjudul “Let It Go” (nyanyian asal Demi Lovato). Walaupun Syeera melakukan beberapa kesilapan kecil ketika persembahan, Syeera tetap mendapat pujian daripada Datuk Hattan bahawa vokalnya seakan-akan seorang penyanyi yang sudah berpengalaman lama.



Pertarungan konsert battle keenam ini juga menyaksikan Balqis, protégé Hazama, dinobatkan sebagai juara mingguan buat pertama kali. Anak gadis kelahiran Terengganu ini telah menyampaikan lagu “Hatinya Tak Tahan” oleh Noraniza Idris dan berjaya meraih markah penuh iaitu 20 markah daripada juri awam. Kebolehan beliau untuk menari sambil menyanyi telah menambat hati Datuk Hattan malahan persembahan Balqis pada setiap minggu tidak pernah mengecewakan. 

“Saya rasa, selepas tamatnya program Mentor Milenia 2017, Balqis harus kekalkan ‘package’ seperti ini kerana Balqis mempunyai kelebihan untuk menari sambil menyanyi, dan bukan semua orang mampu berbuat demikian,” tambah Datuk Hattan lagi.



Para penonton di studio Sri Pentas 2 telah dihiburkan dengan persembahan khas daripada juri jemputan, Ronnie Hussein dengan lagu yang berjudul Menanti Janji. Penutup persembahan pula dilengkapkan dengan rangkaian lagu “Amboi-Amboi & Jomblo Happy” oleh kesemua protégé.

Seperti minggu-minggu sebelum ini, keputusan persembahan para protégé terletak kepada jumlah markah daripada juri tetap dan juri jemputan sebanyak 50%, undian penonton menerusi laman web rasmi Mentor Milenia sebanyak 30% dan 20% daripada juri awam di studio. 

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Mentor Milenia 2017 yang bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2 pada setiap hari Ahad, pukul 9.00 malam – 11.00 malam dan Jurnal Mentor Milenia yang memaparkan aktiviti mentor dan protege pada setiap Ahad bermula 6.00 petang selama 30 minit.

UCOP berjaya membuat persembahan 'out of the box' ketika menyampaikan sebuah lagu Inggeris 'Baby"