Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

ALAHAI BALQIS...PATUTKAH DIA TERSINGKIR?


Alahai Balqis... rezekinya setekat di pentas separuh akhir sahaja.

Kak Fas agak terkejut juga apabila nama Balqis diumumkan walaupun semacam dah agak dia akan tersingkir maklumlah hanya Balqis dan Usop sahaja yang merupakan dua protege Hazama manakala Tomok,Black dan Akim hanya mempunyai seorang sahaja untuk dipertaruhkan.

Anggapan Kak Fas ini turut dikongsi oleh teman-teman Kak Fas yang berbincang mengenai keputusan Mentor Milenia yang menyingkirkan Balqis waima  Along, Elica, Syeera dan Usop mara ke final.

Nasiblah Usop jadi juara mingguan dan secara automatis masuk ke final. Jika tidak mustahil nak singkirkan Usop yang sekarang ni tengah 'hot' dan 'viral' di media sosial.

Jika ikutkan keputusan Kak Fas yang sepatutnya tersingkir adalah Along tetapi rezeki Along memang murah.... beberapa kali berada di 'bottom two' tetapi berjaya juga mara ke peringkat akhir.

Tetapi jika itu terjadi, bukan sahaja Along yang harus pergi tetapi juga mentornya Tomok kena meninggalkan pentas Mentor Milenia... jadi nak tak hendak Balqis lah mangsanya...

Inilah anggapan orang ramai mengenai keputusan namun betul atau tidak Kak Fas tak berani nak komen. Apa yang pasti... walaupun  tersingkir Kak Fas percaya Balqis akan menjadi seperti Ayda Jebat (pelajar AF) yang popular sebagai penyanyi.

Dilihat pada penampilan Balqis yang mempunya pakej lengkap tidak mustahil dia akan disambar produser syarikat rakaman mahu pun dijadikan pelakon. Maklumlah orangnya cantik...



Bak kata orang... ada hikmah di setiap kegagalan dan Kak Fas anggap Balqis kalah dalam menang sepertu judul lagu Syamsul Yusof dan Mawi lah.... hihi...

Tak apa Balqis atau pemilik nama penuh Nor Balqis Ahmad Tajudin 19, perjuangan anda masih belum selesai walau pun sudah selesai mengGalas tanggungjawab sebagai protege Hazama.

Kini Konsert Akhir Mentor Milenia 2017 akan diteruskan dengan empat finalis untuk
untuk merebut gelaran juara sekaligus membawa pulang sebuah trofi dan hadiah wang tunai sebanyak RM100,000. 



Tahniah kepada Usop (Muhammad Saiful Naim Muhd Noor, 20 tahun), Along (Mohamad Rozaimi Rosli, 20 tahun), Syeera (Nur Syaheera Abd Aziz, 19 tahun) dan Elica (Angelica Paujin, 17 tahun) kerana berjaya melangkah ke peringkat akhir yang bakal berlangsung pada 7 Mei ini!

Pertarungan separuh akhir Mentor Milenia 2017 menyaksikan dua persembahan oleh setiap protégé, dimana mereka telah menyanyi secara solo dan juga duet bersama mentor untuk membuktikan kebolehan masing-masing lantas melayakkan diri ke peringkat akhir.

Protégé yang paling menyerlah pada hari Ahad lepas ialah Usop (Hazama) yang muncul sebagai juara mingguan selama dua minggu berturut-turut. Selain berjaya mencuri hati panel juri dan para penonton, Usop turut dipuji oleh Misha Omar selaku juri jemputan di konsert minggu lalu kerana berjaya memberikan persembahan yang memukau. 


“Usop, saya tidak tahu magis apa yang ada pada diri anda itu tetapi apabila anda mula menyanyi, anda berjaya menarik perhatian semua orang untuk terus melihat persembahan anda. Saya doakan Usop berjaya mara ke peringkat akhir, Insya Allah.” ujar Misha Omar mengenai persembahan duet Usop bersama mentornya Hazama, yang menyampaikan lagu berjudul “Kasihnya Laila” (nyanyian asal Jinbara). Selain itu, Usop juga membawa lagu “Hati Mati” (nyanyian asal Ezad Lazim) secara solo.

Namun, Hazama dan Usop terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada seorang lagi protégé dari kumpulan mereka iaitu Balqis yang tersingkir pada malam itu. Balqis telah menyampaikan lagu berjudul “Kau Atau Aku” (nyanyian asal Elyana) untuk persembahan solo dan “Jangan Pikirin Abang” (nyanyian asal Firman) ketika berduet dengan mentornya. 

Menurut Datuk Hattan, juri tetap Mentor Milenia 2017, “Bagi saya, sekiranya Balqis melakukan persembahan ini di pertandingan nyanyian lagu Rock, awak berjaya melepasi ujian saya. Cuma, persembahan Balqis malam ini kelihatan terganggu sedikit apabila awak mencari “chord” yang betul ketika bermain gitar sambil menyanyi.”

Terdahulu, konsert separuh akhir ini telah dimulakan oleh Syeera yang mewakili Black dengan persembahan solo rangkaian lagu “Penasaran & Raja Gelek” (nyanyian asal Emilia Contessa & One Nation Emcees). 


Sungguhpun Syeera dipuji kerana berjaya memberi impak persembahan pembukaan yang bagus, dia dinasihati oleh panel juri untuk memastikan kemerduan nyanyiannya tidak hilang. Syeera turut menyampaikan lagu nyanyian mentornya sendiri iaitu “Aku Rindu Sayang Kamu” bersama Black untuk persembahan berduet.

Sementara itu, persembahan lagu “Aku Penghibur” (nyanyian asal Jamal Abdillah) oleh satu-satunya protégé Tomok iaitu Along pula dikatakan semakin matang berbanding dengan sebelum ini.

Misha turut komen bahawa walaupun ada beberapa perkara yang boleh dibaiki untuk mencantikkan lagi persembahannya, penonton dapat melihat kesungguhan Along pada malam itu. 

Untuk persembahan duet, Along dan Tomok telah menyanyikan lagu “Kau Yang Satu” (nyanyian asal Ramli Sarip) dan diingatkan untuk tingkatkan pemahamannya terhadap sesebuah lagu.
Suasana di studio Sri Pentas 2 dihangatkan lagi oleh protégé Akim iaitu Elica, yang membawa lagu “Bertamu Di Kalbu” (nyanyian asal Jaclyn Victor). Prestasi Elica sangat konsisten dari minggu ke minggu tetapi Misha Omar telah memberi beberapa petua kepadanya ketika menyanyikan lagu-lagu balada. Elica juga telah mendendangkan lagu “Secret Love Song” (nyanyian asal Little Mix) ketika duet bersama Akim.

Lebih menarik lagi, para penonton juga telah dihiburkan dengan persembahan istimewa rangkaian lagu nyanyian asal keempat-empat mentor iaitu “Di Amaran Mama”, “Bengang”, “Norkia” dan “Anugerah Terindah” oleh juri jemputan iaitu Misha Omar.  

Selepas selesainya persembahan oleh setiap protégé, konsert separuh akhir Mentor Milenia 2017 telah berakhir dengan persembahan rangkaian lagu “Laksamana Raja Di Laut” (nyanyian asal Iyeth Bustami) dan “Puncak Gapura” (nyanyian asal Ihab & Noraniza Idris) oleh kesemua protégé. 

Seperti konsert mingguan sebelum ini, keputusan persembahan para protégé terletak kepada jumlah markah daripada juri tetap dan juri jemputan sebanyak 50%, undian penonton menerusi laman web rasmi Mentor Milenia sebanyak 30% dan 20% daripada juri awam di studio.