Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

'TEMASYA SUKAN KE LAUT' DI ASTRO WARNA 14 JULAI


Tak lama lagi kita akan menyambut temasya sukan berprestij di Asia Tenggara iaitu Sukan SEA 2017 bermula pada 19 Ogos hingga 30 Ogos kan?

Jadi sudah tentulah kita sebagai rakyat Malaysia memberikan komitmen dan sokongan penuh kepada  kira-kira 4,888 atlet Malaysia yang bertanding.

Dan langkah yang diambil stesen televisyen berbayar Astro untuk menyemarak dan meraikannya lebih awal melalui program terbaharu mereka, "Temasya Sukan Ke Laut' sesuatu yang bijak.

Ya melalui Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124), ‘Temasya Sukan ke Laut' menggabungkan elemen sukan, komedi dan hiburan ini bakal menggeletek hati penonton selama lapan minggu pada setiap Jumaat mulai 14 Julai 2017, jam 10.00 malam. Ia juga akan turut disiarkan di platform Astro GO dan on demand untuk tontonan semua.

Buat julung kalinya, ‘Temasya Sukan Ke Laut’ bakal menyaksikan atlet-atlet terkemuka negara berkumpul menjayakan sebuah program komedi dan bersaing dengan barisan pelawak serta selebriti popular tanah air menerusi pelbagai jenis acara sukan utama. 

Sebagai simbolik kepada Sukan SEA 2017, acara-acara sukan yang akan dipertandingkan dalam program ini kelak merupakan di antara acara sukan yang tersenarai di temasya sukan tersebut seperti badminton, bola sepak, acara renang, berbasikal, balapan, hoki dan banyak lagi. 

Menariknya, corak atau kaedah permainan bagi setiap acara sukan telah diolah secara kreatif dan melucukan bagi menyuntik elemen hiburan agar ia sesuai untuk tontonan seisi keluarga.

Dalam pada itu, peraturan asal sesebuah acara sukan itu masih tetap dikekalkan di segenap aspek bagi memastikan program ini berada di kelasnya yang tersendiri dan tidak disamakan dengan sesebuah program sukaneka.

Astro Warna turut bekerjasama dengan Astro Arena, saluran sukan tempatan yang bersiaran selama 24 jam sehari, 7 hari seminggu untuk menjayakan program ini. Seperti ramai sedia maklum, pelbagai kejayaan dan sejarah yang telah ditempa oleh Astro Arena dengan membawakan liputan menyeluruh dalam kejohanan-kejohanan tempatan, serantau dan antarabangsa dan terbaharu, temasya sukan terbesar dunia, Sukan Olimpik Rio 2016 yang turut disiarkan di dalam saluran definisi tinggi (HD).

Bagi menghidupkan suasana seperti perjalanan temasya sukan sebenar, program ini turut menampilkan dua orang figura hebat di bidang masing-masing yang bakal menggalas tugas sebagai pengacara dan pengulas sukan, dan mereka ialah bekas jaguh bina badan negara, Datuk Malek Nor yang akan bergandingan bersama pelawak popular, Abam Bocey.

Berkongsi mengenai program terbaharu di Astro Warna ini, Ketua Saluran Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata:

Program ‘Temasya Sukan Ke Laut’ ini merupakan program pertama di Astro Warna yang mengetengahkan tiga elemen utama secara sekali gus, iaitu sukan, komedi dan juga hiburan. Ianya lebih signifikan apabila program ini dihasilkan untuk kami berkongsi keterujaan bersama penonton Astro Warna di mana selepas 16 tahun, kita akan dapat sekali lagi menyaksikan obor Sukan SEA dinyalakan di bumi Malaysia ini sendiri. Semangat kesukanan tersebut kami nyalakan menerusi pendekatan yang paling sesuai iaitu melalui naskhah khas yang dizahirkan dalam bentuk program TV, dalam suasana yang cukup santai, penuh dengan humor dan menghiburkan.


"Tambah menarik lagi apabila kami mendapat sokongan dari barisan atlet yang pernah mengharumkan nama negara dalam acara sukan masing-masing untuk turut sama menyerikan program ‘Temasya Sukan Ke Laut’ ini. Nama-nama mereka tidak asing lagi terutamanya di kalangan peminat sukan, seperti Mirnawan Nawawi (bekas Ketua Pasukan Hoki Negara), Keifli Othman (bekas Juara Formula Asia), adik beradik Hafiz dan Roslin Hashim (bekas Jaguh Badminton Negara), Watson Nyambek (bekas Juara Pecut Dunia), Azman Adnan (bekas Pemain Bolasepak Negara) Niena Azman (bekas Penjaga Gol Kebangsaan) dan ramai lagi. Program ini secara tidak langsung boleh dijadikan platform untuk wira-wira negara kita ini berkumpul dan membuat kemunculan semula di mata peminat yang ada di luar sana. Dalam pada itu, kami juga teruja apabila Jaguh Berbasikal Malaysia yang baru-baru ini telah dinobatkan sebagai Juara Dunia Acara Keirin, Azizulhasni "Pocket Rocketman" Awang turut terlibat sebagai peserta untuk program ini. Penglibatan mereka menjadikan program ini lebih bermakna dan mereka dilihat cukup sporting menjayakannya. Penonton dapat menyaksikan sisi berbeza atlet kebanggaan rakyat Malaysia ini.

"Selain dari para atlet, kami turut mengalu-alukan kedatangan Legenda Rock Negara, Amy Search sebagai sebahagian dari ahli keluarga ‘Temasya Sukan Ke Laut’ dan beliau bakal digandingkan dengan pelawak hebat seperti Joey, Achey, Shuib, Dzawin, Sharifah Shahirah, Kumpulan Zero, Jiggy dan ramai lagi.

Bersesuaian dengan imej Astro Warna selaku saluran komedi, ke-semua jenis sukan yang dimainkan dalam program ini telah diolah secara kreatif namun begitu pada masa yang sama, kami turut menjadikan peraturan asal sesebuah acara itu sebagai panduan. Sebagai contoh, ‘Acara Badminton 7 kali 7’ yang mana kami menampilkan 7 pemain untuk setiap kumpulan dan mereka diperlukan berdiri dalam setiap gelung bulatan individual dan perlu berdiri di dalam bulatan sepanjang berlangsungnya pertandingan. Namun begitu, mata penamat masih 21 – 21 dan memiliki seorang pengadil. Contoh lain adalah ‘Lompat Berpagar Binocular’, bermain bola sepak sambil menggunakan set alat realiti maya (virtual reality box – VR box), acara renang di kolam bersaiz Olimpik, acara keirin menggunakan basikal beroda tiga, acara larian 400 meter dengan berlari ke arah belakang (reverse running) dan sebagainya. Saya yakin, anda semua pasti akan terhibur.”

Selain dari nama-nama yang dinyatakan di atas, setiap episod akan turut menampilkan pemain jemputan yang terdiri dari barisan pelawak dan atlet seperti Mat Redho @ Mohd Redha Rozlan (Pemenang Fear Factor 2014 dan ‘Ninja Warrior’), Zulfahmi Khairuddin (Naib Juara ‘FIM Superbike World Championship 2016’ - WSBK), Khairulnizam Afendy (pelayar terbaik Asia), Amer Raja Lawak dan ramai lagi. 

Peserta akan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan ‘Cendawan Gagah’ yang akan mewakili barisan atlet dan kumpulan ‘Kembang Semangkuk’ yang bakal disertai oleh para atlet, pelawak dan selebriti.

Raqim menambah lagi, “Gelagat pelawak yang sememangnya diketahui umum cukup bersahaja memudahkan cetusan keserasian sesama mereka dan para atlet, seterusnya membentuk semangat kerjasama secara semulajadi. Mungkin kerana sudah sebati dalam diri, semangat kesukanan turut terserlah apabila mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangi setiap acara yang dipertandingkan. Kami amat berbesar hati dengan kesudian mereka bekerjasama dengan kami. Sudah tentu, komitmen yang diberikan oleh setiap daripada mereka baik atlet mahupun pelawak serta selebriti merupakan kunci utama kejayaan penghasilan program ‘Temasya Sukan Ke Laut’ ini.”



Jadi peminat sukan dan hiburan jangan lepaskan peluang menonton aksi lucu para atlet dan pelawak dalam ‘Temasya Sukan Ke Laut’ ini ya.. tandakan kalendar anda cepat!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan