GELORA' SEAN GHAZI & IDA MARIANA MENYAMANKAN JIWA
'Gelora' rasa jiwa Kak Fas mendengar lagu nyanyian duet Sean Ghazi dan Ida Mariana ini. Bukan gelora membara kerana sesuatu yang hangat tau tetapi gelora yang cukup nyaman halwa tellinga mendengarnya.
Ya. .siapa tak pernah mendengar lagu 'Gelora" yang hampir 56 tahun lalu dirakamkan oleh ikon negara Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee & Seniwati Agung Allahyarham Puan Sri Saloma untuk filem ‘Seniman Bujang Lapok’ (1961), senikata oleh Allahyarham S. Sudarmaji.
Filem ini sering kali diputarkan dalam tv sehingga budak-budak pun rasanya dah pernah dengar lagu ini.
Dan kemerduan lagu inilah juga yang membawa Kak Fas hadir pada majlis pelancaran semula "Gelora" nyanyian Sean Ghazi bersama Ida Mariana dengan menampilkan video baharu arahan Tate Mario Ghazi.
‘Gelora’ merupakan lagu pertama Sean Ghazi di luar album sulung beliau — SEAN GHAZI
‘SEMALAM’. Rakaman muziknya dibuat di Amerika Syarikat, manakala rakaman vokal
dilakukan di AS dan Kuala Lumpur. Lagu ini menonjolkan ciri gubahan ala ‘fever’ oleh ‘Stylo
Mylos’, kugiran Sean Ghazi semasa berada di AS.
“Ilham susunan muzik ini datang semasa saya memegang watak utama dalam pementasan
MUZIKAL P. RAMLEE pada tahun 2007,” jelas Sean.
“Saya sering menyanyikan lagu ini dengan beberapa pasangan duet tetapi hanya betul-betul berani mengusahakan karya ini semasa tinggal di AS," tambah beliau.
Mungkin ko orang akan bertanya kenapa Sean memilih 'Gelora".
Jawab Sean, dia sudah lama mahu merakamkan lagu berkenaan bersama Ida Mariana, seorang kawan lama dan pasangan kolaborasi yang amat dikenali dengan imej Kebaya Jazz.
Ida telah menyusul untuk bertemu Sean di Portland Oregon untuk terlibat dalam sebuah konsert di Washington Park pada tahun 2015, dan mereka mengambil peluang bekerja rapat dengan pemuzik-pemuzik di sana untuk menghasilkan versi ‘Gelora’ yang lebih menawan..
Memang betul... melodi baharu yang dialunkan mereka berdua membuat Kak Fas rasa nyaman dan indah mendengarnya... rasa memang tak rugi hadir ke majlis berkenaan yang turut dihadiri dan disokong oleh artis dan teman lama Kak Fas, Puan Sri Tiara Jacquelina... teringat semasa di majalah WANITA dulu dulu,
Tiara sering menjadi 'model' Kak Fas untuk memperagakan fesyen mahu pun Kak Fas mengambil model-model baharu daripada talent agensinya.. Tiara masih jelita dan 'maintain' gitu... dah tentulah Kak Fas nak 'selfie' dengannya..... hihi...
Oops terkeluar kisah lama pulak.... ok kembali pada 'story' ini.... huhu
Sejurus selepas pra tonton video serta nyanyian secara 'live' beberapa buah lagu, Sean & Ida turut mengumumkan bakal mengadakan persembahan selama tiga malam di The Gardens Theater, Mid Valley City, pada 6 hingga 8 September nanti. Di bawah ini detailnya ya:
Gelora - The Tarakucha Big Band Extravaganza!
Tarikh: 6,7 & 8 September 2017
Masa: 8.30pm
Tempat: The Gardens Theater at Mid Valley City
Tiket: www.tix.my
RM170 / RM125 / RM100 / RM70
‘
Gelora - The Tarakucha Big Band Extravaganza!’ bakal dipentaskan sebagai sebahagian
daripada program Kuala Lumpur International Arts Festival (KLIAF) anjuran DiverseCity.
Ia mengetengahkan TARAKUCHA! - sebuah big band dengan sentuhan vintaj Malaysia - yang ideanya dicetuskan sendiri oleh Sean, dan meraikan khazanah muzik Malaysia termasuk karya seniman unggul seperti P. Ramlee, Sudirman dan Jimmy Boyle.
‘TARAKUCHA’ mempersembahkan lagu klasik dengan humor, penuh bertenaga dan dalam kelas tersendiri sambil turut mengambil inspirasi muzik global, malah membawakan lagu ciptaan baharu dalam gaya vintaj dan retro.
Dengan Sean dan Ida sebagai teraju vokal utama, TARAKUCHA! dibarisi 10 pemuzik hebat
tempatan pimpinan pengarah muzik, Nish Tham, serta menampilkan The Kuchettes - Izlyn
Ramli, Maya Tan, Ruzana Ibrahim, Suhaili Micheline & Sabrina Hassan.
Sean berharap pencinta seni muzik dan budaya datang menyaksikan ‘Gelora - The Tarakucha Big Band Extravaganza!’ dan turut menyokong usaha beliau membawa irama vintaj Malaysia ke peringkat global, menyedari perlu ada usaha bagi memastikan agar khazanah muzik negara terus hidup.
"Pada pendapat saya, ada antara karya klasik kita yang seharusnya menjadi sebahagian
daripada repertoir antarabangsa - dan jika saya dapat memainkan peranan untuk menempatkan lagu klasik P. Ramlee sebaris dengan lagu-lagu seperti ‘My Way’, ‘Sway’ dan ‘Unforgettable’, ia akan mengangkat legasi muzik kita agar terus hidup di persada dunia.”
Tiket ‘Gelora - The Tarakucha Big Band Extravaganza!’ telah pun mula dijual di www.tix.my
Khabarya video ‘Gelora’ telah pun mencecah 80,000 tontonan hanya seminggu selepas dilancarkan di laman Facebook @tarakuchaband. Ia dirakam berlatarkan hamparan warna putih, sekaligus memberi ilusi filem hitam putih. Kontras hitam dan putih tersebut boleh dikatakan meninjau kembali video muzik pertama Sean iaitu ‘SEMALAM’, walaupun ia sebenarnya berlaku lantaran bajet yang terhad.Namun, hasilnya bertepatan dengan keinginan Sean yang mahukan segalanya tentang ‘Gelora’ serba ringkas dan sederhana.
“Keseluruhan estetik video ini tidak terikat hanya untuk menjelmakan kembali gaya retro, tetapi mewujudkan stilistik yang samar-samar. Ia mempunyai sentuhan retro, mengimbas era masa lalu, namun tetap kontemporari”.
‘Gelora’ boleh dimuat turun secara percuma menerusi laman Bandcamp di
http://mhs.io/gelora2017 dalam dua versi; iaitu versi utama dan dance remix yang dihasilkan
jurutera bunyi Reuben Samuel, juga dikenali sebagai Bastique, dari Mile High Sounds.
Video ‘Gelora’ pula dapat ditonton di laman Facebook @tarakuchaband .
Runut audio dan video ‘Gelora’ diterbitkan oleh Baby Grand Productions Sdn Bhd, dengan
ihsan sokongan daripada EMI Music Malaysia Sdn Bhd.
BIla ditanya dengan kos penerbitan yang tinggi kenapa diberikan muat turun secara percuma?
"Inilah sumbangan saya. Saya ingin memberikan kembali kepada pendengar atas sokongan mereka selama ini," ringkas jawab Sean.
Kak Fas puji intiatif dan usaha Sean itu.. sudah sampai masanya lagu-lagu vintaj kita didengar pada peringkat antarabangsa kerana itulah warisan lagu kita yang malar segar dan tidak lapok ditelan zaman.
Syabas Sean! Kak Fas pun tak sabar nak bersama tonton konsert extravaganza tu...
Sebelum itu meh... Kak Fas bagi ko orang dengar lagunya di bawah ini... layann.....!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan