Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

3.6 JUTA SAKSI HAKIM JUARAI DA'I PENDAKWAH NUSANTARA MUSIM KE 5


Da’i Pendakwah Nusantara Musim Ke-5 telah melabuhkan tirainya setelah Pentas Akhir bersiaran langsung selama dua jam dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, baru-baru ini.

Seramai 3.6 juta penonton telah menyaksikan upacara penobatan Da’i Hakim sebagai Juara Da’i Penakwah Nusantara Musim Ke-5, diikuti dengan Da’i Afiqah dan Da’i Fahmi yang telah merangkul tempat kedua dan ketiga. Selain itu, Da’i Aiman telah dipilih oleh penaja utama, Almas Beauty and Health sebagai Da’i Pilihan Almas.



Sebagai Juara  Da’i Hakim  membawa pulang Trofi Juara Da’i 5, wang tunai berjumlah RM50,000 daripada TV3, serta sebuah pakej umrah untuk dua orang sumbangan daripada Almas Beauty and Health Sdn Bhd. 



Da’i Afiqah dan Da’i Fahmi pula  memenangi wang tunai berjumlah RM5,000, trofi Da’i 5, serta sebuah pakej Pelayaran Penyucian Jiwa juga merupakan sumbangan daripada penaja utama, Almas Beauty & Helath Sdn Bhd. Sebahagian lain daripada sumbangan penaja utama adalah anugerah Da’i Pilihan Almas yang telah dimenangi oleh Da’i Aiman, turut mendapat sebuah pakej Pelayaran Penyucian Jiwa.

Tirai Pentas Akhir Da’i ini telah dibuka dengan persembahan lagu tema Da’i “Lebaran Kejayaan” oleh Azmi Saat (Caliph Busker) dan peserta-peserta Da’i musim ke-5, diikuti dengan pengenalan tetamu nusantara, Ustaz Irwan Hadi iaitu Naib Pengarah Pejabat Mufti Majlis Ugama Islam, Singapura. 





Persembahan finalis pula menyusul sehingga waktu pengumuman pemenang Da’I Pendakwah Nusantara musim kelima di penghujung rancangan. Namun, sebelum pengumuman pemenang itu, Rabbani dan Black telah membuat persembahan selingan dengan lagu “Dalam Aku”.

Persembahan finalis Da’i pada malam akhir amat berbeza berbanding minggu-minggu sebelum ini kerana merangkumi dua tema persembahan. Setiap peserta telah diberikan masa selama 5 minit untuk tema pertama persembahan tazkirah mereka iaitu “Masyarakat Kini” dan 3 minit untuk persembahan di pusingan kedua dimana tazkirah mereka berkisar daripada soalan-soalan yang diajukan oleh juri tetap, Ustaz Zarifi Daud dan Prof. Madya Dr. Sharifah Haayati Syed Ismail.

Seperti musim-musim sebelum ini, finalis perlu mengharungi dua pusingan persembahan dan satu sesi penyingkiran setelah selesai pusingan pertama. Pada malam itu, Da’i Fahmi telah diumumkan tersingkir kerana mempunyai markah tercorot pada pusingan pertama, namun diselamatkan oleh ‘Kuasa Imuniti’ Mursyid Datuk Ustaz Kazim Elias dan mara ke pusingan kedua.

Menurut Penerbit Da’i Pendakwah Nusantara Musim Ke-5, Encik Shukri Hj Ibrahim,Sejujurnya para peserta Da’i kali ini adalah berwarna warni kerana latar belakang mereka yang pelbagai. Lingkungan umur tetap sama dengan musim-musim yang lalu iaitu 18 - 30 tahun, tetapi latar belakang mereka terdiri daripada pelbagai bidang seperti Syariah, Dakwah, Kaunseling, Tahfiz Al-Quran, Bahasa Arab, malah ada juga yang hanya lepasan SPM amat mewarnai pertandingan ini. Kesemua peserta mempunyai kreativiti masing-masing yang membuatkan persembahan mereka menarik di pentas Da’i ini. Namun, mereka masih perlu banyak lagi belajar untuk kekal dalam industri dakwah, di luar sana.”

Apa kata Juara Da’i Pendakwah Nusantara Musim Ke-5, Da’i Hakim:


“Kemenangan malam ini memang saya tidak jangka kerana saya sentiasa rasakan Afiqah yang akan mendapat gelaran Juara ini. Lebih-lebih lagi kerana saya merupakan antara peserta yang tercorot pada awal musim ini dan diperakui oleh pihak produksi. Namun, atas dorongan dan bimbingan Mursyid dan Murabbi, saya telah pelajari dari kesilapan dan bangkit. Kemenangan ini adalah untuk mereka, ibu bapa saya, dan semua penyokong saya.”

“Buat wang tunai RM50,000 ini, saya belum ada perancangan kerana saya tidak menyangka akan mendapatkannya. Oleh itu, mungkin saya akan simpan wang ini di dalam tabung haji terlebih dahulu untuk kegunaan di masa akan datang. Hadiah Umrah ini pula In Shaa Allah akan saya gunakan untuk menghantar ibu bapa saya ke tanah suci.” ujarnya lagi

Da’i Pendakwah Nusantara Musim Ke-5 ini masih mengekalkan Datuk Ustaz Kazim Elias sebagai Mursyid. Di mana tugasnya adalah untuk menasihati para Da’i juga merangkap sebagai ketua tenaga pengajar. Murabbi yang terdiri daripada Ustaz Roslan Mohamed dan Ustazah Asni Abu Mansor Al-Hafizah pula, merupakan tenaga pengajar utama peserta Da’i yang akan meluangkan masa bersama mereka sepanjang program ini berlangsung.

Di samping itu, peserta Da’i juga turut menimba ilmu daripada juri-juri tetap pada setiap siaran langsung program. Juri-juri tetap yang bersama mereka adalah Ustaz Mohamad Zarifi bin Mohamad Daud dan Prof. Madya Dr. Sharifah Haayati Syed Ismail.

Sistem pemarkahan untuk musim ini adalah 70% dari juri tetap, iaitu daripada Ustaz Zarifi Daud dan Prof. Madya Dr. Sharifah Haayati Syed Ismail masing-masing  mengadili dari sudut isi dan hafazan sebanyak (35%), manakala (35%) lagi adalah melalui personaliti serta gaya persembahan. 20% diberikan oleh Murabbi iaitu Ustaz Roslan Mohamed dan Ustazah Asni Al-Hafizah. Akhir sekali, 10% dari juri awam yang diundang pada setiap episod.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan