FELLERA BEAUTY BAKAL LAHIRKAN PRODUK MELAYU WAJAH KOREA-JEPUN
Sudah lapan tahun produk kecantikan dan kesihatan, Fellera Beauty berada di pasaran namun sejujurnya ini baharu pertama kali Kak Fas mengenali dengan lebih dekat jenama ini serta pengasasnya, Puan Syarifah Khyra Muhsin.
Maklumlah Kak Fas ini bukan jenis suka bertukar produk apatah lagi apabila sudah serasi dengan sesuatu jenama tu jarang Kak Fas nak bertukar brand atau pun mengambil tahu sangat mengenai beberapa produk tempatan lain di pasaran.
Pun begitu, tidak bermakna Kak Fas terus menolak produk yang wujud cuma tidak menggunakannya, termasuklah Fellera yang dikatakan antara jenama yang mendapat sambutan ramai.
Jadi apabila bertemu dengan Syarifah Khyra, 27, atau lebih mesra dengan sapaan ‘Khyra’ baru-baru ini, Kak Fas terpegun mendengar kisah disebalik jatuh bangunnya perniagaan yang dikendalikan di bawah syarikat Fellera Beauty Malaysia miliknya ini.
Menariknya, isteri muda ini merupakan ‘junior’ Kak Fas dalam bidang Sebaran Am (Penyiaran) dari UiTM. Dan persamaannya lagi, kami berdua tidak meneruskan kerjaya dalam bidang penyiaran walau pun Khyra telah muncul beberapa kali dalam beberapa program tv namun itu disebabkan perniagaannya.
Kak Fas hanya berpeluang menjalani latihan amali dan bekerja sampingan seketika sahaja di RTM sebelum beralih menjadi wartawan di Kumpulan Utusan Melayu dan kini terus mengabadikan sisa-sisa kerjaya melalui penulisan dalam blog ini.
Dan bezanya lagi, Khyra membelokkan pengajarannya ke tahap menjadi seorang usahawan di mana itulah satu-satunya bidang yang Kak Fas tidak berani terjun sebab Kak Fas tidak pandai berniaga hihi...
Ya lah! Nak minta duit dari orang memang tersangatlah segan apatah lagi nak menjaja produk yang memerlukan kita petah berbicara. Bab penulisan dan bertanya soalan bolehlah tapi jika disuruh bercakap atau memberi ucapan ke apa memang Kak Fas darah gemuruh, hilang habis perkataaan nanti haha….
Apa pun Kak Fas tabik dengan impian Khyra yang menggabungkan apa yang dipelajarinya dalam bidang penyiaran dengan perniagaan yang dibina sekali gus meletakkan angan-angannya untuk menjadi terkenal terlaksana.
“Segalanya bermula dengan angan-angan. Berangan nak masuk paper, tv dan sebagainya, maklumlah budak mass comm,” akui Khyra jujur sewaktu ditemui santai dalam temuramah eksklusif bersama beberapa teman media lain di restoran Ryindu Hot & Grill, Wangsa Maju baru-baru ini.
Pun begitu apabila segala angan-angannya itu menjadi realiti apatah lagi bisnes tengah melonjak hingga berjaya mencapai RM11 juta jualan tahunan, lain pula cabaran yang diterima.
Kegembiraan hanya mampu bertahan dalam 8 tahun berniaga apabila Allah turunkan ujian kecil yang mengakibatkan jualan merudum dan Khyra mengalami kerugian berganda daripada penjualan tertingginya.
“Selepas memperoleh RM11juta tiba-tiba tahun berikutnya jualan merudum pada angka lebih kurang RM2 juta sahaja,” kenang Khyra sedih.
Penerunan angka jualan itu memberikan kejutan ibarat ‘wake up call’ pada Khyra untuk mencari di mana silapnya.
“Saya tidak dapat jawapan kenapa tiba-tiba produk Fellera yang begitu laris di pasaran tiba-tiba jatuh sedangkan promosi melalui program tv dan radio masih diteruskan. Di mana silapnya,” cerita Khyra kebingungan.
Merudumnya empire yang dibina dengan pengeluaran 15 jenis produk kecantikan dan kesihatan Fellera akhirnya membuatkan Khyra mengambil keputusan untuk tarik ‘hand break’.
“Selepas dua bulan berfikir panjang sekembali umrah, saya terus berhentikan pengeluaran produk-produk Fellera di pasaran bermula Mac lalu,” katanya.
Pun begitu, semangat juangnya yang tinggi ditambah dengan jiwanya yang cenderung pada perniagaan produk kecantikan menggerakkan hatinya untuk terus bangun dan menyambung semula jenama Fellera.
“Dahulu saya mempunyai 200 ejen termasuk stokis tetapi sekarang tinggal cuma 100 lebih sahaja yang masih setia dan memohon agar saya dapat menyambungkannya semula. Kerana itulah saya bertekad untuk meneruskan perjuangan demi membantu mereka jua,” tambah Khyra waima bersyukur mempunyai dua pengedar tunggal dari Terengganu dan Selangor seperti Nurul Akma dan Rosniwati.
Ibu kepada dua orang anak berusia 7 dan 3 tahun ini merangka pelan dengan pengeluaran produk baharu menjelang Raya termasuk tiga produk edisi terhad khas.
“Selalunya Fellera akan mengeluarkan edisi terhad khas untuk Raya dan saya akan teruskan legasi itu untuk memperkenalkan dua produk sempena musim perayaan ini di samping sebuah produk terbaharu yang mampu membuat wajah Melayu berkulit Korea Jepun,” harapan Khyra.
Bagaimana wajah Melayu kulit Korea Jepun tu? Apa maksud Khyra?
“Saya merancang melantik 5 orang artis keseluruhannya sebagai duta kempen untuk produk terbaharu ini, " tambah Khyra sambil mengesahkan pelakon Ruhainies telah bersetuju sebagai duta kempen produk Qurus Coco.
Namun sebelum itu, Khyra akan mengeluarkan tiga produk edisi terhad sempena Raya meliputi Qu Glow (jeli kurus) , Vely Fink (lip balm) dan parfum Duchess.
Dan hanya selepas Raya, Qurus Coco dan produk yang belum bernama tetapi mampu membuatkan wajah Melayu berkulit Korea-Jepun itu akan diperkenalkan.
“Yang pasti siapa menggunakan produk itu akan kelihatan seperti Melayu kulit Korea/Jepun,” ujar Khyra sambil memberitahu segala bahan semula jadi produk berkenaan diimpot dari Korea serta Jepun yang menjadi trend generasi masa kini.
Wow! Fenomena Korea/Jepun bukan sahaja melanda industri hiburan tetapi turut tempias ke produk kosmetik dan kecantikan tempatan gitu!
“Dulu produk saya banyak diformulasikan mengikut cara tradisional yang diguna pakai nenek moyang kita dahulu tetapi sekarang saya menggabungkan kedua-dua elemen itu dengan bahah-bahan Korea/Jepun untuk menjadikan ia lebih berkualiti tetapi tetap selamat dan halal,” jelas Khyra mengenai inovasinya dalam mencipta produk terbaharu Fellera.
Pun begitu, katanya beliau akan tetap mengekalkan tiga atau empat produk lama yang masih popular dan dikehendaki ramai.
Di samping pencarian 5 artis duta kempen, Khyra dijangka memilih seorang yang terbaik di kalangan mereka sebagai duta produk Fellera.
“Buat masa ini hanya Ruhanies yang akan menandatangani kontrak selama enam bulan dalam satu majlis yang akan diadakan pada bulan Ramadan nanti,” tambah Khyra.
Akui Khyra, kejatuhannya dalam perniagaan yang dibina selama 8 tahun bermodalkan wang sendiri sebanyak RM1,400 hasil pinjaman RM1,000 daripada suami tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang walau pun rugi ratusan ribu ringgit.
Khyra bermula dengan menciptakan sabun skrub beras mengikut formula herba tradisional dan sudah tentu produk pertamanya itu 'boom' untuk beliau terus bersemanga menghasilkan lagi 14 produk lain.
BERSAMA suami, Syed Azri Syed Mohamad. |
“Mungkin ada unsur sabotaj dan ada yang tidak suka saya berjaya namun saya tidak mahu salahkan sesiapa dan menjadikan ia alasan untuk berundur. Mungkin silap saya juga. Tetapi alhamdullilah berkat nasihat suami dan rakan-rakan rapat saya dapat bangkit kembali,” sambung Khyra yang mengambil keputusan untuk tidak menonjolkan diri lagi melainkan berada di belakang tabir.
Mengakiri perbualan, usahawan muda berjiwa kental ini memberitahu, mahu mensasarkan sekurang-kurangnya antara RM5 hingga RM10 juta menjelang tahun ini selepas memperkenalkan produk baharunya kelak.
Dengan tagline lama,”tergoda ke?' disamping tagline baharu ‘Melayu Kulit Korea/Jepun” serta hashtag #aurakhyra, Kak Fas yakin sekembalinya Syarifah Khyra Muhsin dalam industri kesihatan dan kecantikan akan memberikan sinar baharu bukan sahaja pada dirinya bahkan ejen-ejen yang bergantung pendapatan kepada Fellera Beauty.
Malah Khyra membuka peluang kepada mana-mana individu yang berminat menjadi ejen baharu untuk menghubunginya melalui laman facebooknya.
Sila KLIK SINI untuk info lanjut.
Sila KLIK SINI untuk info lanjut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan