KONSERT 'QASIDAH NIGHT' TAMPILKAN QARIAH SHARIFAH KHASIF, RAIHAN & JAMAL
Siapa tidak mengenali atau mendengar nama Sharifah Khasif atau nama penuhnya Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd Badiuzzaman Al Yahya kan?
Ya… Johan Tilawah Al-Quran Antarabangsa 2009 ini terkenal dengan kelunakan suara dan bacaan ayat-ayat Al-Quran malah mampu berqasidah serta bertaranum dengan baik.
Tidak hairanlah video qariah ternama ini pernah tular ketika mengalunkan qasidah di Sarajevo, Bosnia Herzegovina pada hujung tahun 2017 lalu.
Video berdurasi 6 minit 25 saat itu memperlihatkan Sharifah Khasif mengalunkan Selawat Rasulullah di hadapan lebih 10,000 orang serta diringi dua penari Sufi dari Turki serta sekumpulan penyanyi latar dan pemuzik iringan.
Rata-rata netizen menyatakan kekaguman mereka terhadap qariah Malaysia itu.
Jadi, jika anda ingin mendengar keasyikan dan kelunakan Sharifah Khasif mengalunkan qasidah secara 'live', barangkali menghadirkan diri pada majlis makan malam konsert ‘Qasidah Night’ boleh mengubati rindu halwa telinga anda itu.
Lebih menarik lagi, konsert yang akan berlangsung pukul 8 malam pada 27 April depan di Pusat Konvensyen Sime Darby Kuala Lumpur bakal disertai bersama dua lagi nama besar dalam industri seni hiburan.
Kumpulan nasyid popular, Raihan bersama Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah akan bersama Sharifah Khasif meraikan kira-kira 8,000 tetamu pada konsert malam itu nanti.
Mensasarkan kutipan mencapai RM1.5 juta dengan tujuan melahirkan aplikasi e-terannum, Sharifah Khasif selaku penganjur di bawah syarikatnya, Sharifah Khasif Production Sdn Bhd dan DVA Event & Management memberitahu, penjualan tiket hanya ditetapkan pada kadar mampu beli iaitu RM300 sahaja.
“Tidak mahal bukan… untuk makan malam dan berhibur dengan lagu-lagu berunsur ketuhanan,” ujar Sharifah Khasif pada majlis sidang media di restoran Rebung, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Konsert yang bakal berlangsung selama satu jam 30 minit dari keseluruhan program selama dua jam setengah termasuk makan malam akan diringi dengan acara cabutan bertuah.
Lebih kurang tujuh atau lapan pemuzik profesional akan mengiringi persembahan Sharifah Khasif dan Raihan sementara Jamal Abdillah dijangka akan menyampaikan lima buah lagu.
“Konsert ini bakal mencipta sejarah tersendiri kerana ‘Qasidah Night’ julung kali diadakan malah penganjurannya bertujuan menunjukkan Islam sangat indah di mana keseniannya belum pernah diteroka seperti tarannum dan qasidah waima menjadikannya satu produk yang diiktiraf dan dihargai,” jelas Aznil Zulkifli selaku wakil penganjur dari DVA Event.
Sehubungan itu, perancangan turut dibuat untuk mengadakan sesi persembahan bergerak ‘Qashidah Night’ di dalam negara iaitu di Johor Bahru, Ipoh, Alor Setar ataupun negeri Pantai Timur termasuk Sabah dan Sarawak.
Sebagai langkah awal, ‘Qasidah Night’ akan bermula di pentas berprestij, Istana Budaya selama tiga hari antara 5 hingga 9 September depan sempena sambutan Awal Muharram.
“Kami mahu jadikan nasyid dan qasidah sebagai produk Malaysia dan menjadi satu ‘spark’ sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 malah bercadang untuk memperluaskan malam qasidah ini ke luar negara,” tambah Aznil.
Persembahan di IB akan dibahagikan kepada dua segmen di mana segmen pertama akan menampilkan persembahan kebudayaan sebelum para artis tampil di pentas.
“Mungkin orang nampak nasyid seperti tiada kelas tetapi sebenarnya ia mampu memperkenalkan nama negara kepada dunia luar. Tidak kisahlah apa jenis muziknya kerana muzik ini universal bentuknya,” akhiri Aznil.
Untuk mendapatkan tiket, boleh dibeli menerusi talian 03-41441104 astau 012-2747918 dan 012-3126254.
Untuk mendapatkan tiket, boleh dibeli menerusi talian 03-41441104 astau 012-2747918 dan 012-3126254.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan