JUALAN KEK ABSOLUT CHOCOLAT LARIS BAGAIKAN GORENG PISANG PANAS
Wow! 13,000 kotak kek terjual dalam tempoh tiga hari. Pasti sedap kek tu kan?
Kak Fas belum rasainya tetapi disebabkan jualan hangat bagaikan goreng pisang panas tu Kak Fas pasti kek berkenaan 'absolutely' sedap haha.... sesuailah dengan jenamanya 'Absolut Chocolat' keluaran Absolut Brands Sdn Bhd.
Penangan kek tersebut 'sold out' ketika pasangan suami isteri yang mengusahakannya itu, Ben Ali dan Nadiyah Shahab membuka gerai jualan sempena festival Mood Republik yang berlangsung di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MiTEC) selama tiga hari baru-baru ini.
Penangan kek jenama Absolut Chocolat ini khabarnya bukan ‘bhiase-bhiase’.
Sejak diperkenalkan Februari tahun lalu, kek itu terus mencipta sensasi dan pengaruh tersendiri. Hanya dipromosikan di Instagram selain menggunakan populariti rakan artis mempromosikannya, kek itu pantas mencuri tumpuan ramai.
“Habis licin... 13,000 kotak dalam masa tiga hari memang sesuatu yang cukup mengejutkan dan pada masa sama menjadi pencapaian serta kebanggaan peribadi kami. Ikutkan mahu buat lebih lagi kek ketika itu tapi pihak operasi tidak mampu memenuhi permintaan.
“Untuk acara tiga hari itu juga kita berjaya memecah rekod peribadi jenama ini dengan mencatat keuntungan jualan kasar mencecah enam angka," cerita Ben Ali.
Malah tambahnya, untuk menyuntik kelainan pihaknya turut melancarkan minuman Teh Susu Boba di bawah cabang Absolut Brew sebagai memberi variasi kepada produk yang tersedia.
"Kami tidak boleh terus berada di zon selesa dengan produk yang sedia ada. Beberapa jenis produk makanan dan minuman dijangka dipasarkan pada masa mendatang,” kata Pengarah Urusan Absolut Brands Sdn Bhd, Ben Ali dalam pertemuan dengannya baru-baru ini.
Bermula dengan kek coklat, pilihan kini juga dikembangkan untuk jenis Boba Milk Tea dan Milk Lava.
“Kita mahu jadi lebih eksklusif dalam memberikan pilihan kek kepada penggemar. Kek coklat mula dikeluarkan Februari tahun lalu. Kira-kira bulan September lalu, kita keluar pula kek Milk Lava. Kami percaya orang cepat bosan dengan jenis kek yang dijual. Jangka hayat satu kek itu boleh bertahan dalam tempoh enam bulan.
“Kita percaya variasi ini perlu dalam memberi pilihan kepada peminat kek. Orang cepat bosan dengan kek dan kehangatannya akan mula turun. Sebab itu juga kita keluarkan produk minuman pula," sambungnya.
Sungguh pun jualan memberangsangkan sehingga ada ketikanya tidak mampu menampung permintaan tinggi namun Ben Ali tidak mahu berada dalam zon selesa.
Bermula dengan operasi kecil-kecilan di gerai jualan hinggalah ke tahap menyewa premis kedai dua tingkat di Cheras, Ben dan rakan kongsi yang juga isterinya, Nadiyah Shahab boleh tersenyum bangga kerana usaha mereka membuahkan hasil hingga menjadi terkenal.
“Bisnes ini semuanya bermula sebab kami nak cari duit lebih untuk berkahwin (November tahun lalu). Daripada suka-suka nak cari duit tambahan, siapa sangka minat kami terus bercambah untuk lebih serius dalam dunia perniagaan. Saya sendiri tak yakin dengan perniagaan kek ini tetapi diyakinkan isteri.
“Pernah pada awalan fasa berniaga, saya dan isterilah yang tolong lakukan proses memasukkan kek ke dalam kotak. Malah kami jugalah yang melakukan penghantaran kek terus kepada pelanggan. Daripada hari pertama dapat tempahan awal hanya empat biji kek, ia bertambah hari demi hari. Dari 10 hinggalah sampai 200 biji sehari kami sediakan
“Ketika ini dari awal hinggalah sekarang kami masih menggunakan khidmat pembuat kek luar yang diserap masuk ke dalam syarikat ini. Insya-Allah kami juga mahu ia terus maju dengan segala operasi dilakukan sendiri suatu masa nanti,” kata kedua suami isteri ini.
Memanfaatkan perkembangan teknologi Instagram dan pengaruh artis, kek Absolut Chocolat juga mencari pendekatan lain untuk terus menarik perhatian ramai.
“Kami percaya orang sekarang kalau bangun tidur akan tengok telefon bimbit dulu berbanding menonton TV. Sebab itu strategi utama kami ialah menerusi Instagram. Artis juga sangat membantu dengan bermurah hati mempromosikannya di Instagram.
Biarpun berdepan pesaing sebuah jenama kek yang sudah 12 tahun di pasaran, Ben dan Nadiyah optimis dengan cara pemasaran mereka tersendiri.
"Tiada niat untuk berlawan dengan jenama itu, kami percaya dengan konsep yang dipersembahkan. Idea mengasingkan sos dan dituangkan sendiri ke atas kek tanpa diduga menjadi kegilaan ramai,” ujarnya.
Kak Fas memang setuju kek chokelat begini diasingkan sos nya, lebih mudah dan tentunya segar ya tak?
Ketika ini Absolut Chocolat terus rancak dipasarkan dengan pelbagai medium termasuk menggunakan agen.
“Selepas menggunakan khidmat satu agen untuk setiap negeri, kami mencuri peluang memasarkan kek menerusi stesen pam minyak seperti Petronas, Shell dan Petron. Bermula dengan dua buah stesen, kini sudah ada 100 buah stesen yang menjual kek ini di sekitar Lembah Klang.
Sebagai pelan jangka panjang, syarikat merangka untuk mewujudkan hub di Johor, Kedah dan Terengganu bagi memantau stesen pam minyak di negeri berkenaan termasuk membuka kiosk di pusat membeli-belah utama termasuk KLCC dan Pavilion yang sering menjadi tumpuan ramai.
"Kami mahu menjadi usahawan Melayu Bumiputera pertama yang mengusahakan perniagaan sendiri tanpa bantuan mana mana pihak di pusat beli-belah berkenaan," harapan Ben.
Selain itu Ben memberitahu, sedang merancang untuk membuka francais dan memasarkannya ke luar negara.
"Langkah ke arah itu tentulah menyertai ekspo antarabangsa seperti di Dubai dan United Kingdom," tambahnya.
Sekalipun sentiasa terbuka dengan persaingan, Ben dan Nadiyah tidak mahu semua itu menjadi alasan mengalah.
Tambahnya, jika tahun lalu syarikat mampu memperoleh keuntungan bersih sehingga RM1,5 juta, Ben dan Nadiyah sasarkan keuntungan dapat mencapai dua kali ganda tahun ini.
Selain mempunyai Absolut Chocolat, syartikat turut mempunyai cabang perniagaa lain membabitkan Absolut Brew, Absolut Event dan Absolut Management.
Info lanut boleh layari Instagram: @absolutchocolat dan laman sesawang, www.absolutchocolat.com
Kak Fas: Tak sabar nak cuba kek meleleh cokelat ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan