'SWAN LAKE' TCHAIKOVSKY DI ISTANA BUDAYA 26-28 JULAI
Jika anda seorang yang meminati muzik klasikal pada abad ke 19, sudah tentu nama komposer Rusia, Pyotr Ilyich Tchaikovsky tidak asing lagi.
Sebagai komposer beberapa konsert dan muzik teater paling popular dalam repertoir klasik, nama Tchaikovsky terkenal dengan beberapa karya hebat antaranya sudah tentu ‘Swan Lake’.
Kak Fas masih ingat ketika belajar subjek muzik semasa bersekolah di London, nama Tchaikovsky sering dijadikan contoh utama seorang pengkarya hebat pada genre muzik klasik.
Pun begitu, Kak Fas tidak berkesempatan pula untuk menyaksikan teater Swan Lake yang mengisahkan sebuah cerita romantis membabitkan trajedi dan magis.
Jadi, sekiranya anda seperti Kak Fas yang belum berpeluang menonton teater terkenal ini, anda tidak perlu terbang jauh ke benua Eropah kerana ‘Swan Lake’ bakal ke pentas berprestij Istana Budaya Kuala Lumpur tidak lama lagi.
Bermula 26 hingga 28 Julai 2019 , teater Swan Lake dibawakan oleh St Petersburg Ballet Theatre dengan kerjasama Shiraz Projects akan memukau penonton dengan lengguk balerina terkenalnya, Irina Kolesnikova bersama entouragenya seramai kira-kira 45 orang.
Sebelum Kak Fas cerita lanjut, tentu korang nak tahu serba ringkas sejarah di sebalik ‘Swan Lake’ ni kan?
Pertama kali dipentaskan di Rusia pada 1895, 'Swan Lake' adalah salah satu produksi tarian balet yang paling masyur di dunia malah merupakan sebuah persembahan balet yang mengatasi karya-karya seumpamanya.
'Swan Lake' menceritakan tentang kisah Putera Siegfried yang jatuh cinta dengan Puteri Angsa Odette, seorang gadis yang bertukar menjadi angsa putih setelah terkena sumpahan ahli sihir jahat bernama Rothbart. Ia adalah legenda bagaimana cinta sejati menguasai segalanya.
Melalui pementasan, penonton pasti terpukau dengan aksi ‘white acts’ yang sukar ditandingi, suasana dewan tarian yang menakjubkan, muzik Tchaikovsky yang sudah tentu mengagumkan serta jalan penceritaan yang begitu menyentuh hati.
“Dengan keadaan dewan Istana Budaya yang berprestij serta fasilitas yang canggih kami yakin dapat memberikan persembahan setanding dengan sebelum ini, “ ujar Konstantin Tachkin, Pengasas/Pengarah St Petersburg Ballet Theatre pada sidang media di Istana Budaya baru-baru ini,
Turut hadir Ketua Pengarah Istana Budaya, Dato Mohamad Juhari Shaarani dan Shirazdeen Karim, Penerbit Eksekutif Shiraz Projects Sdn Bhd sebagai penganjur bersama.
Tambah Tachkin, St Petersburg Ballet Theatre yang ditubuhkan pada tahun 1994 telah merantau serata dunia dengan mempersembahkan karya-karya klasik daripada himpunan hikayat agung antaranya seperti ‘Giselle’, ‘Don Quixote’, ‘La Bayadere’, ‘Romeo & Juliette’, ‘The Nutcracker’ serta ‘Sleeping Beauty’.
“Inilah kali pertama kami hadir ke Malaysia untuk menghiburkan peminat-peminat muzik klasikal dan balet selepas mendapat sambutan hangat di London, Paris, Sydney dan Singapura", tambah Tachkin.
Menariknya tambah beliau, penonton berpeluang menyaksikan tarian dan gerak tari baharu yang dicipta sendiri oleh Irina sesuai dengan citarasa penonton,
“Saya sentiasa memberikan nafas baharu dalam gerak tari setiap kali membuat persembahan. Ini bukan sahaja bertujuan memberikan kepuasan kepada penonton tetapi juga pada diri saya agar tidak bosan dengan gaya sama,” ujar Irina dalam bahasa Rusia dan dialih bahasa oleh Tachkin.
Dalam usia 39 tahun, ibu kepada seorang puteri berusia 5 tahun ini tidak keberatan sekiranya anaknya mahu mengikuti jejak langkahnya sebagai penari balet.
“Dalam usianya sekarang ini pun sudah nampak anak saya itu berminat dalam tarian balet,” ujarnya senyum.
Tidak memberikan sebarang waktu untuk bersara sebagai penari balet, Irina membiarkan masa menjawabnya walau pun katanya, ada kala beliau sering rasa sakit dan penat.
Melihat pada tutur katanya yang lembut serta gaya yang gemalai Kak Fas yakin korang tidak akan menyesal menyaksikan tariannya di pentas.
Tiket-tiket untuk persembahan kira-kira 2 jam lebih itu terbahagi kepada lima harga seperti di bawah:
RM455 (Diamond)
RM345 (Platinum)
RM245 (Gold)
RM155 (Silver)
RM95 (Bronze)
“Ini merupakan kali pertama 'Swan Lake' dipentaskan di Istana Budaya Kuala Lumpur dan sudah tentu sebuah persembahan yang tidak boleh dilepaskan,” ujar Shirazdeen Karim sambil memberitahu St Petersburg Ballet Theatre sering mendapat sambutan hebat serata dunia malah telah mengadakan lebih dari 200 persembahan setiap tahun.
“Bagi Istana Budaya pula ini adalah satu penghormatan bukan sahaja kepada Malaysia kerana berjaya menarik satu persembahan antarabangsa yang hebat di sini tetapi buat portfolio diri saya sendiri yang akan bersara tahun depan,” ujar KP Istana Budaya yang lebih mesra disapa ‘Abang Jo”.
Jadi eloklah tempah tiket anda segera sebelum ‘putih mata’ macam angsa pulak ya...haha….
Pembelian tiket sudah pun dibuka dan boleh dilakukan di www.myticket.asia. atau info lanjut KLIK SINI atau hubungi ‘hotline’ 012 2560082 atau 03- 86050195.
Kak Fas: Betul ke ‘abang Jo’ akan bersara? Tak nak sambung?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan