FTV 'SUATUKALA-TIMUN MAS & IJO' DI ASTRO FIRST MAMPU LAYAN EMOSI KANAK-KANAK
Sudah lama sebenarnya Kak Fas tidak layan filem televisyen atau ringkasnya FTV. Bukan tak suka tetapi kekangan masa.
Atas hakikat itu juga Kak Fas menerima jemputan dari Erlina Zahidi yang tidak putus-putus melayangkan undangan apabila adanya majlis daripada pihak ASTRO.
Setelah beberapa kali tidak dapat hadir kerana bertembung dengan acara lain pada waktu sama, akhirnya Kak Fas menetapkan kehadiran ke majlis prebiu FTV ‘Suatukala - Timun Mas & Ijo’ baru-baru ini.
Apa yang agak menariknya filem ini yang merupakan sekuel kepada ‘Suatukala - Malin Kundang', 'Merah & Putih' serta 'Badang' yang disiarkan tahun lalu, kini menampilkan gandingan mantap pelakon Malaysia dan Indonesia.
Sudah tentu Kak Fas mahu melihat penampilan pelakon Fasha Sandha yang memegang watak antihero dalam filem fiksyen ini.
Khabarnya Fasha merujuk lakonan Angelina Jolie dalam filem ‘Maleficent’ bagi menjiwai wataknya sebagai seorang ahli sihir bernama Mak Andeh. Dan sudah tentu lakonan Fasha mantap di samping dua pelakon Indonesia, Prisia Nasution dan Thalia Ivanka. Dua lagi pelakon Malaysia yang terlibat terdiri daripada Kishok Kumar dan Fikry Kiki.
Menonton filem ini seolah membawa Kak Fas kembali ke zaman kanak-kanak waima segala kejadian yang berlaku tidak perlu ditafsirkan secara logik tetapi sekadar hiburan dan Kak Fas pasti akan menarik minat kanak-kanak untuk menontonnya.
Sehubungan itu, filem ini ditetapkan tayangannya sempena musim cuti persekolahan dan Aidiladha pada bulan Ogos ini di mana ia ditayangkan melalui saluran premium, Astro First Eksklusif (saluran 480) dan juga menerusi platform digital ‘On Demand’ mulai 1 Ogos lalu dengan kadar bayaran RM15.
Mengangkat agenda serumpun, ‘Suatukala – Timun Mas & Ijo’ merupakan kisah rakyat Nusantara yang diinspirasikan dari ceritera rakyat Jawa, Indonesia.
Diterbitkan oleh rumah produksi tempatan, Red Communications Sdn Bhd, FTV ini diarahkan oleh pengarah berbakat besar yang sebelum ini dikenali menerusi sentuhannya dalam filem, ‘Kami Histeria’ dan ‘Rembat’, serta siri popular, ‘Oh My English’ dan FTV di saluran Astro First Eksklusif berjudul ‘Kasut Bola Pink’, saudara Shamyl Othman.
‘Suatukala – Timun Mas & Ijo’ mengangkat tema kekeluargaan, persahabatan dan kesetiaan menjadi latar utamanya. Menyuntik elemen komedi, fantasi dan pengembaraan sebagai genre tumpuan, Shamyl Othman berjaya menggarap FTV ini menjadi sebuah kisah rakyat Nusantara yang sesuai untuk ditonton oleh pelbagai lapisan masyarakat, baik di Malaysia mahupun di negara-negara serumpun yang lain seperti Indonesia, Singapura dan Brunei.
Pengalaman beliau sebelum ini mengarahkan kisah dongeng ‘Merah & Puteh’ sebagai sebahagian dari edisi pertama ‘Suatukala’ (‘Suatukala – Malin Kundang, Merah & Puteh dan Badang’) ternyata diguna pakai sebaik mungkin untuk sekuel ini.
Seperti yang Kak Fas nyatakan awal tadi, FTV ini menghimpunkan nama-nama besar dari kedua-dua negara, Malaysia dan Indonesia.
Pelakon wanita popular tanah air, Fasha Sandha, keluar dari zon selesa beliau dengan membawa watak antihero, ‘Mak Andeh’, seorang ahli sihir yang memiliki kuasa sakti dari negara Inderaloka.
Watak beliau diiringi dua pengemudi lain, Fikry Kiki, sebagai ‘Mat Jenin’ dan pelakon filem Tamil tempatan, Kishok Kumar sebagai ‘Ijo’.
Mengambil kira faktor kisah dongeng ‘Timun Mas’ ini merupakan cerita rakyat popular di Indonesia, pihak produksi menawarkan dua watak utama kepada pelakon wanita yang berasal dari Republik tersebut.
Watak ‘Timun Mas’ dijayakan oleh pendatang baharu, Thalia Ivanka atau lebih dikenali dengan nama Vanka JKT48, manakala pelakon wanita, Prisia Nasution, memegang watak ‘Mbak Sarini’.
Prisia merupakan tonggak utama filem ‘Interchange’ arahan Dain Said, dan telah juga menjadikan Malaysia sebagai rumahnya setelah berkahwin dengan Iedil Putra, pelakon ‘Terbaik Dari Langit’ dan ‘Crossroad: One Two Jaga’.
SINOPSIS ‘SUATUKALA – TIMUN MAS & IJO’
|
Pada suatu kala, di sebuah negeri bernama Inderaloka, ada seorang pekebun berbangsa Loka bernama Mbak Sarini (lakonan Prisia Nasution) yang hidup sendiri di sebuah rumah dalam hutan. Satu hari dia didatangi seorang pengembara bernama Mak Andeh (lakonan Fasha Sandha), yang memiliki kuasa sakti Indera; bersama pengikutnya Mat Jenin (lakonan Fikry Kiki); dan seekor gergasi bernama Ijo (lakonan Kishok Kumar).
Mak Andeh memberi benih-benih sakti kepada Mbak Sarini, dengan syarat Mbak Sarini harus beri hasil paling bernilai kepadanya. Selepas menanam benih sakti itu, tumbuhlah kebun yang rimbun. Salah satu hasilnya ialah sebiji timun yang besar. Bila dibelahnya timun itu, ditemui seorang bayi perempuan. Mbak Sarini menjaganya dan menamakannya Timun Mas (lakonan Vanka JKT48).
Mak Andeh kembali dan mendapati bayi itu memiliki kuasa sakti Indera yang kuat namun ia perlu dipupuk. Dia beri perintah baru kepada Mbak Sarini - menjaga Timun Mas sampai cukup umurnya, kemudian Mak Andeh akan kembali untuk mengambilnya. Walaupun berat hati, Mbak Sarini terpaksa setuju kerana takutkan ugutan Mak Andeh. Mak Andeh memberikan Mbak Sarini dua benda sakti berkuasa Loka untuk melindungi Timun Mas - sekantung duri dan sekantung garam.
Bila Timun Mas mencapai usia remaja, tiba masanya untuk Timun Mas dilepaskan kepada Mak Andeh. Namun, Timun Mas enggan mengikut Mak Andeh. Mbak Sarini terpaksa menolongnya melarikan diri. Timun Mas terpaksa berkelana sendiri dalam hutan menggunakan ilmu-ilmu yang diajar oleh Mbak Sarini, juga berbekalkan perlindungan duri dan garam sakti.
#Trivia menarik:
- Sesi penggambaran berjaya diselesaikan dalam masa hanya 17 hari dan berlangsung pada bulan Ramadan lalu.
- Keseluruhan penggambaran FTV yang berdurasi 75 minit ini telah diadakan di Sungai Congkak (Hulu Langat), Janda Baik, Ulu Kemensah dan Puncak Alam.
- Kishok Kumar, dengan ketinggian 2 meter, diberi tanggungjawab untuk menggalas watak gergasi hijau, Ijo. Beliau merupakan seorang pelakon filem Tamil tempatan dan untuk setiap babak yang dijayakannya, krew solekan memerlukan 2 ke 3 jam untuk menyiapkan beliau.
- Pemain utama, Vanka, merupakan seorang yang takutkan itik. Namun begitu, dalam FTV ini, Vanka diperlukan untuk berlakon akrab dengan seekor itik yang diberi nama ‘Kedek’. Setelah tamatnya penggambaran, ternyata Vanka telah berjaya mengatasi ketakutan beliau.
- ‘Kedek’, merupakan seekor itik yang dilatih oleh ahli bomba bertauliah. Bagi mendapatkan perhatian ‘Kedek’ untuk melakukan babaknya, produksi terpaksa membawa seekor lagi itik bagi mendapatkan perhatian ‘Kedek’.
- Pelakon komedi, Bell Ngasri, meminjamkan suaranya sebagai ‘Pencerita’ atau ‘narrator’ bagi ‘Suatukala – Timun Mas & Ijo.
- FTV ini menggunakan lagu ‘Teruskan Mencuba’, nyanyian Syamel, Masya, Wafiy dan Erissa sebagai Lagu Tema rasminya. Lagu tersebut mendapat sentuhan Omar K dan Ikhwan Fatanna, dan diedarkan oleh Rocketfuel.
Artikel berkaitan KLIK SINI.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan