CERIA MEGASTAR: SIAPA TERBAIK DARI YANG TERBAIK?
Siapakah terbaik dari yang terbaik?
‘Ceria Megastar’ - program realiti aneka bakat yang menampilkan para peserta cilik berumur 18 tahun dan kebawah kembali bagi edisi kedua selepas kejayaan musim pertamanya pada tahun 2018.
Bermula Mac ini, ’Ceria Megastar’ kali ini tampil berbeza apabila menggandingkan peserta baru yang hadir dari pelbagai latar belakang, yang mana ada di antara mereka mempunyai pengalaman menyertai pertandingan bakat di peringkat antarabangsa, bersama barisan peserta yang pernah menyertai program anjuran saluran Astro Ceria seperti ‘Ceria Pop Star’, ‘i-Star’, ‘All Star’ dan ‘Ministar’.
Seramai 20 peserta akan beradu tenaga mempersembahkan kehebatan bakat masing-masing seterusnya merebut gelaran terulung, ‘Megastar' dan membawa pulang hadiah kemenangan berbentuk wang tunai bernilai RM25,000 beserta trofi Astro.
Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula masing-masing akan memenangi RM15,000 dan RM10,000 beserta trofi.
Bakal bersiaran secara langsung selama 8 minggu berturut-turut, mulai Sabtu, 29 Februari 2020, jam 9.00 malam menerusi saluran Astro Ceria (611) dan Ceria HD (631) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
“Kehadiran kesemua 20 peserta yang terdiri dari bakat-bakat penuh variasi ini turut diraikan oleh barisan tenaga pengajar yang cukup berpengalaman di bidang masing-masing dan diadili mereka yang bukan di kalangan calang-calang orangnya. Mewakili pihak produksi, kami mengalu-alukan kedatangan Datuk Syafinaz Selamat, Zizan Razak, Ernie Zakri, Chubb-E dan Alam Wakaka ke dalam keluarga besar ‘Ceria Megastar’. Kami yakin, kehadiran mereka ini akan membantu bakat-bakat muda kita mempersiapkan diri untuk menempatkan nama di persada seni dalam dan luar negara,” ujar Pengurus Saluran Astro Ceria, Cecilia Wong dalam ucapan aluannya pada majlis memperkenalkan barisan peserta Ceria Megastar di The Love Kuala Lumpur baru-baru ini.
Cecilia turut mengumumkan pelantikan gandingan Nabil Ahmad dan Raja Azura atau lebih dikenali seabgai Kak Engku yang akan bergilir-gilir mengendalikan pentas mingguan ‘Ceria Megastar’.
Malah bagi memeriahkan lagi penganjuran ‘Ceria Megastar’, vokalis hebat, Ernie Zakri, serta pelakon dan pelawak popular tanah air, Zizan Razak, telah diberi mandat sebagai Juri Tetap manakala seorang juri jemputan profesional akan turut diundang khas pada setiap minggu bagi menyertai juri tetap.
Penyanyi dan guru vokal disegani ramai, Datuk Syafinaz Selamat, penari dan koreografer handal, Alam Wakaka serta juara ‘Ceria Megastar 2018’ Chubb-E pula menyarungkan jersi Penasihat Persembahan bagi membantu menyiap-sediakan para peserta sebelum mereka bertanding di pentas utama.
Menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Muzik bagi musim kedua ini adalah komposer terkenal, Dato’ Acis yang telahpun terlibat dalam penerbitan ‘Ceria Megastar’ sejak tahun 2018 lagi dan juga merupakan Pengarah Muzik bagi program ‘Ceria Megastar Ministar’ tahun lalu.
Lagu tema ‘Ceria Megastar’ musim ini dipersembahkan oleh mantan peserta ‘Ceria Megastar 2018’, Chubb-E dan Vanessa Reynauld.
Lagu yang diterbitkan FFK Music itu ditulis oleh Faris Fuad yang turut bertindak sebagai komposer bersama Hafriz Dzamri.
Video eksklusif ‘Ceria Megastar 2020’ yang mengikuti para peserta ketika membuat latihan serta klip-klip menarik di sebalik tabir menjelang konsert mingguan boleh distrim melalui Astro GO dan on demand, setiap hari Jumaat hingga Ahad, jam 8.00 malam.
Sebagai satu kelainan, musim kedua ini bukan sahaja menampilkan penyertaan bakat solo dan duo, namun terdapat juga penyertaan bakat berkumpulan.
Kepelbagaian peserta yang hadir dalam ‘Ceria Megastar’ tidak terhad pada bakat nyanyian semata-mata – terdapat juga bakat lakonan, tarian, silap mata, lompat tali dan dram solo!
Jadi bagaimana agaknya para juri mahu menentukan markah waima persembahan pelbagai tersebut?
“Saya lebih melihat kepada keseluruhan persembahan peserta waima apa sekali pun yang mereka persembahkan baik silap mata, lompat tali atau pun yang mahir dalam pelbagai bakat lain,” ujar Ernie Zakri ketika ditemui.
Di episod pertama dan kedua ‘Ceria Megastar’ tahun ini, kesemua 20 peserta akan berentap bagi menempah tempat di pentas utama (dibahagikan kepada 10 peserta untuk setiap episod).
Hanya 10 peserta terbaik akan dipilih berdasarkan markah paling tinggi yang diadili 100 peratus oleh juri.
Pengumuman nama 10 peserta yang bakal ke peringkat seterusnya akan dibuat pada segmen terakhir episod kedua.
Seterusnya format penjurianterbahagi kepada dua, di mana nasib para peserta akan diadili berdasarkan pemarkahan oleh barisan Juri Tetap dan undian peminat secara dalam talian.
60 peratus keputusan ditentukan oleh juri yang akan menilai para peserta berdasarkan pecahan markah sebanyak 20 peratus untuk elemen persembahan, 20 peratus untuk elemen kreativiti, 10 peratus bagi faktor ‘Wow’ dan 10 peratus lagi dari aspek penampilan.
Dalam pada itu, setiap minggu, pihak Juri juga akan menganugerahkan ‘Gold Star’ kepada peserta pilihan mereka.
Pemenang tersebut akan diberi hadiah misteri yang di antaranya termasuklah ‘hak imuniti’.
Di samping itu, lebihan 40 peratus pula ditentukan oleh undian peminat secara dalam talian menerusi laman rasmi www.astroceria.com.my/megastar.
Laman web rasmi ini hanya akan dilancarkan mulai Sabtu, 29 Februari 2020 pada konsert minggu pertama.
20 peserta yang berjaya dipilih terdiri daripada peserta solo iaitu Amira (17 tahun); Timah (13); Aqeesh (16); Hazury (15); Adam (17); Erissa (17); Nana (14); Kowachee ()11); Sera (12); Haiqal (17); Ija (17); Yashwin (15) dan Adinda (15).
Manakala peserta berkumpulan/duo adalah 2 Dervotionz (11, 9 tahun); Group 17 (12, 8); Caspian (8 hingga 14 tahun);Kalyssa (12); El & Ranea (12, 13); Aliff & Cici (13,14) dan VC (kesemua 4 anggota ini berusia 17 tahun).
#CeriaMegastar #AstroCeria #CeriaPopstar #AllStar #MiniStar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan