PENUHI MASA PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN. BACA BUKU TAWAN GUNUNG EVEREST
Bagi seorang pendaki gunung tegar, kegagalan kali pertama tidak mematahkan semangat untuk terus berusaha apatah lagi jika impiannya untuk menakluki gunung tertinggi di dunia, terletak di banjaran gunung Himalaya, setinggi 8,848 meter iaitu EVEREST belum tercapai.
Banyak kisah suka duka kita dengar atau baca mengenai pengalaman setiap pendaki yang sanggup bergadai nyawa semata-mata bagi memenuhi cita-cita mereka untuk ke EVEREST.
Terbaharu, sebuah naskhah berbahasa Inggeris berjudul “Conquering Everest: Do or Die Mission” karya saudara Azim Aliff yang mula dipasarkan pada awal tahun ini boleh dijadikan rujukan kepada bakal pendaki yang mempunyai cita-cita sama.
Terbitan Kasi Terbit PLT, buku berkenaan merupakan karya kedua dari pihak penerbit selepas menghasilkan buku pertamanya bertemakan hartanah berjudul ‘Sublet: Make Money Without Buying House” karya Syahman Abu Hassan.
Menariknya, buku “Conquering Everest: Do or Die Mission” diinspirasikan daripada kisah benar yang ditulis dalam bentuk kronologi tentang usaha Azim Aliff sendiri bersama sekumpulan pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) selama lebih enam tahun menempuhi pahit manis kala menawan puncak Gunung Everest.
Projek tersebut adalah gabungan kerjasama kumpulan pendaki dengan pihak universiti dan bantuan dana awam.
Selaku penulis buku dan juga ketua pasukan ekspedisi, Azim Aliff berkongsi kisah dari sudut pandang dan pengalaman melalui misi dengan secara lengkap serta penuh informasi.
Tulisan yang santai dan mudah difahami membuatkan pembaca berasa seolah-olah berada di tempat penulis semasa pengembaraan berlaku.
Pelbagai cabaran dilalui oleh mereka dalam tempoh sebelum, ketika dan sesudah pendakian gunung setinggi 8,848 meter itu.
Antaranya adalah kesukaran pencarian dana, pembentukan pasukan yang mantap, latihan yang intensif, memastikan kesihatan yang optimum, perubahan peraturan pendakian dan lain-lain halangan yang mereka hadapi, turut dimuatkan dengan teliti dalam buku ini.
Lebih menarik, tiga cubaan pendakian yang dilalui telah menguji keupayaan dan kemahiran kumpulan ini dalam membuat keputusan dengan lebih pantas serta efektif.
Cubaan pertama melalui laluan Nepal pada tahun 2014 telah menyaksikan berlakunya runtuhan salji di pertengahan perjalanan yang mengakibatkan 16 kematian. Ekoran kejadian itu, kerajaan Nepal menutup laluan ke puncak dan memaksa semua ekspedisi dibatalkan.
Mereka kembali ke tanahair dengan kehampaan dan bukan sahaja menerima pelbagai komen positif malahan sebaliknya. Namun, setiap kata negatif ditukarkan menjadi punca motivasi bagi mereka untuk terus membuat persediaan bagi cubaan seterusnya.
Ekspedisi ke Cho Oyu Peak, gunung keenam tertinggi di dunia yang terletak di Tibet, dirancang dan dilaksanakan pada tahun sama. Kejayaan menawan puncak yang digelar “Turquoise Goddess (Dewi Biru Firus)” itu menambah keyakinan mereka untuk mencuba kali kedua menakluk Everest, pada tahun berikutnya.
Walau bagaimanapun, cubaan pada tahun 2015, telah memberi pengalaman luar biasa kepada penulis dan kumpulan, apabila mereka terlibat secara langsung dengan kejadian gegaran gempa bumi di pergunungan itu.
Detik cemas yang dilalui, dikatakan penentu antara hidup dan mati bagi mereka ketika itu. Pihak kerajaan Nepal, sekali lagi menutup laluan ke Everest dan misi terpaksa ditunda buat kali kedua.
Kembalinya ke Malaysia, lebih banyak komen negatif diterima supaya misi tersebut dilupakan. Namun, penulis dan dua rakan yang tinggal menguatkan semangat untuk membuat persediaan sekali lagi.
Pengalaman mengajar mereka untuk lebih bijak membuat perancangan. Pada tahun 2016, peluang terakhir untuk menjayakan ekspedisi ini diambil sepenuhnya dengan keputusan menukar pendakian melalui laluan Tibet.
Akhirnya, puncak Everest, yang digelar Qomolangma dalam bahasa tempatan itu, berjaya ditakluk!
Cerita inilah yang menjadi intipati buku setebal 240 muka surat ini yang dijual pada harga RM35.
Di samping itu, sokongan yang diberikan oleh pihak universiti, kerajaan, swasta dan orang awam bagi menjayakan misi ini turut dinukilkan oleh Azim sebagai menghargai peranan individu dan institusi yang memberi peluang dan ruang bagi anak muda sepertinya merealisasikan impian.
Selain melunaskan keinginan untuk mengharumkan nama negara Malaysia ke peringkat dunia, Azim percaya merekodkan ekspedisi berkenaan dalam bentuk naskhah juga adalah satu usahanya bagi menyemarakkan semangat anak muda negara masa kini.
“Ia juga boleh menjadi satu motivasi untuk mereka yang mempunyai hajat yang sama agar tidak mudah berputus asa dan lebih bersungguh-sungguh untuk melakukan sebarang usaha yang diingini walau perlu mengharungi suasana kekurangan serta cabaran,” harapan Azim.
Bagi anda yang menanam minat sama dan mahu membaca pengalaman pahit manis dilalui penulis dan rakan-rakan pendakinya boleh mendapatkan buku tersebut dengan segera kerana setiap pembelian 500 pertama akan dihadiahkan sekeping poskad percuma edisi terhad sempena pelancarannya.
Sebarang pertanyaan dan pembelian boleh dibuat dengan menghubungi Facebook atau di talian penulis, Azim Afif (0175897677), Pengurus Penulis, Puan Anis (0194818850) dan Pengarah Operasi Kasi Terbit, Puan Rohaniah Noor (0123547636).
Pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan ini apa kata tempah buku ini. Boleh relaks dirumah sambil membaca dan jadikan tabiat membaca amalan selepas ini.
Selamat membaca!
#GunungEverest #UiTM #AzimAlif #ConqueringEverest:DoOrDieMission
Tiada ulasan:
Catat Ulasan