"SUNWAY LAGOON' DIBUKA IKUT PERATURAN SOP...
Sunway Lagoon dah buka?
Wow! Ini tentu satu berita yang dinanti-nantikan oleh mereka yang sentiasa suka jelajah ke taman tema seluas 35 hektar dengan lebih 90 tarikan ini.
Sejujurnya dah bertahun-tahun rasanya Kak Fas tidak berkunjung ke Sunway Lagoon melainkan anak-anak cucu sahaja yang sentiasa mahu beriadah.
Dan baru-baru ini apabila mendapat pertanyaan dari teman blogger, Along Murni samada mahu menyertai pelancaran pembukaan semula Sunway Lagoon, disebabkan ada jemputan, barulah terbuka hati Kak Fas untuk mengikuti.
Salah satu sebabnya tentulah Kak Fas mahu tahu bagaimana keadaan dan situasi di dalam taman tema ini selepas ditutup sejak 18 Mac susulan pandemik COVID-19.
Ya lah…. wabak ini kan belum berakhir sepenuhnya tetapi atas kelonggaran yang dibenarkan Kerajaan maka nak tahu juga bagaimana organisasi taman tema terbesar ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.
Sebaik sahaja tiba, ada beberapa meja daftar yang disediakan mengikut kategori jemputan di ruangan luar pintu utama.
Selepas berdaftar, Kak Fas perlu mengisi borang deklarasi diri secara digital sementara suhu badan diperiksa sebelum memasuki Sunway Lagoon dan sebaik sahaja melangkah masuk pintu utamanya perlu pula melalui terowong berasap (Aqua Blaster) bagi nyah kuman.
Nampak gayanya memang terbaiklah persediaan cara baharu Sunway Lagoon ini. Terasa selamat haha…dan tentu sekali anda digalakkan memakai topeng pelitup muka.
Sambil melangkah lebih jauh terfikir pula bagaimana agaknya persediaan SOP pada kawasan tarikan ramai seperti antaranya di Extreme Park, Water Park, Amusement Park, Scream Park dan Nickelodeon Lost Lagoon?
Hanya satu jawapan yang dapat Kak Fas fikirkan iaitu ‘Terbaik’.
Ya lah… di segenap kawasan anda tidak akan terlepas daripada melalui petanda arah jalan serta papan tanda peringatan penjarakan sosial. Malah disediakan juga cecair pembasmi kuman tangan di setiap lokasi.
"Sebelum pembukaan semula, para pekerja kami telah melakukan persediaaan bagi memastikan semua langkah-langkah keselamatan dari segi kebersihan dan keselamatan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” ujar Penolong Pengurus Besar Sunway Lagoon M. Magendran pada sidang media yang berlangsung selepas lawatan.
Menurutnya, semua titik sentuhan di taman tema akan sentiasa dibersihkan manakala permainan tunggangan di pusat hiburan dinyah cemar selepas setiap kali digunakan.
“Setekat ini kami hanya akan membenarkan kemasukan 50 peratus daripada kapasiti pengunjung bagi memastikan penjarakan sosial terlaksana, “ tambah Magendran.
Memang betul, sepanjang berada selama lebih kurang enam jam di Sunway Lagoon, Kak Fas yakin pengunjung akan berada selamat apatah lagi kolam diklorinasi dan kualiti air diperiksa secara konsisten setiap 2 jam menggunakan sistem dosis automatik untuk menjaga tahap kimia air kolam pada parameter yang diperlukan.
Dalam usaha merangsang pelancongan domestik, Sunway Berhad (Sunway) melancarkan kempen ‘Ke Sana Ke Sini Ke Sunway’ yang menawarkan pakej pelancongan di Sunway City Kuala Lumpur dengan diskaun 70 peratus.
Sudah pasti kempen itu seiring dengan usaha kerajaan untuk menghidupkan semula industri menerusi pengumuman insentif pelepasan cukai RM1,000 bagi pelancongan domestik.
Pakej ‘Ke Sana Ke Sini Ke Sunway’ yang diperkenalkan pada kadar RM499 meliputi penginapan dua malam di Hotel Sunway Pyramid dan tiket masuk ke Sunway Lagoon untuk dua dewasa dan dua kanak-kanak berserta baucar tunai Sunway Pyramid bernilai RM200.
Nilai asal pakej ini ialah RM1,599.
Pelanggan boleh membeli pakej ini bermula 6 hingga 20 Julai dan menggunakannya untuk melawat Sunway City Kuala Lumpur dari 7 Julai hingga 31 Oktober.
Menarik kan?
Apa pun jika korang nak tahu lanjut apa pakej menarik yang ditawarkan boleh layari https://sunwaylagoon.com/attractions/.
Kak Fas: Sikit punya tunggu lama nak masuk Scream Park tengok 'Sharnado Alive' sekali terpaksa keluar sebab budak-budak dah nangis takut hantu huhu...
Aduh!
#ScreamPark #SunwayLagoon #LetsPlay #KeSanaKeSiniKeSunway
Tiada ulasan:
Catat Ulasan