FTV 'FRONTLINER' DIINSPIRASI KISAH BENAR PERANGI COVID-19. NANTIKANNYA OKT INI!
SEPANJANG negara dilanda pandemik COVID-19, kita sering mendengar keluh resah yang dialami barisan hadapan atau 'frontliners' yang secara langsung terlibat dalam memerangi virus berbahaya itu.
Yang berhadapan dan mengalaminya tentu sekali akan menjadi satu kenangan pahit apatah lagi apabila tidak berdaya melawan takdir sehingga nyawa tergadai dan keluarga yang ditinggalkan bersendirian menghadapi masa sukar tanpa tersayang di sisi.
Apa perasaan mereka? Bayangkan jika diri anda sebagai salah seorang daripada barisan hadapan yang perlu bertugas demi keselamatan rakyat dan negara. Apa pengorbanan dan konflik dalaman yang dialami?
Persoalan itulah antara kisah yang bakal dipaparkan dalam filem televisyen (FTV) berjudul 'Frontliner' yang dijangka menemui penonton di saluran Astro First Eksklusif melalui saluran 480 pada Oktober ini.
Diinspirasikan daripada kisah benar, buah tangan terbaharu terbitan syarikat produksi D’Alphalegacy (M) Sdn. Bhd. ini turut mendapat sentuhan kreatif A’minahtul Marrdiah selaku penulis skrip dan diarahkan oleh sutradara berkaliber Razif ‘Ajiboy’ Rashid.
Lebih menarik lagi apabila gandingan barisan pelakon utamanya dibarisi pelakon handalan seperti Azhan Rani, Beto Kusyairy, Wan Maimunah, Emma Maembong, Ashraf Muslim, Zul Handy Black, Achey serta pelakon muda, Shamsul Danish dan DSP Noorhamasiren yang kisahnya tegur rakyat degil ketika membuat rondaan pada musim PKP menjadi viral.
"Kami juga sedia maklum bahawa kekuatan sesebuah kandungan itu diukur bukan sahaja berdasarkan kualiti produksi yang bermutu tinggi serta naratif penceritaan kuat tetapi juga harus disokong dengan kehadiran nama-nama handalan yang mampu ‘berhubung’ dengan para penonton menerusi watak-watak yang mereka terjemahkan dalam bentuk lakonan yang berkesan.
"Selaku penerbit dan penulis skrip naskah ‘Frontliner’, saya sudahpun membayangkan siapa pelakon sesuai yang akan membawakan watak tertentu sejak mula tercetusnya idea untuk menghasilkan naskah ini dan bersyukur kerana ia berjalan lancar mengikut perancangan, " ujar A’minahtul Marrdiah dalam ucapannya pada majlis pra-pelancaran "Frontliner" bersama media yang berlangsung di Big Boss, Publika, baru-baru ini.
Menurutnya, kombinasi pelakon baharu dan lama yang dipilih adalah berdasarkan kredibiliti, komitmen dan keikhlasan mereka dalam menjayakan setiap watak yang diamanahkan kerana elemen tersebut merupakan tunjang utama yang diperlukan untuk mencipta magis tersendiri bagi mana-mana karya yang dihasilkan.
"Namun begitu, kami juga tidak menafikan bahawa faktor populariti juga penting kerana ia mampu memberi nilai komersial untuk menarik perhatian penonton. Maka, kesemua elemen ini haruslah bergerak seiring demi kualiti yang cemerlang," tambah A'Minahtul Marrdiah.
Sementara itu, sebagai pengarah, Razif berkata:
“Menerusi FTV Frontliner, apa yang saya cuba paparkan bukanlah hanya tertumpu kepada pengorbanan pejuang barisan hadapan di lapangan tugas tetapi lebih kepada konflik dalaman yang dialami oleh mereka. Cabaran dan tanggungjawab yang harus mereka pikul amat berat. Namun mereka harus kuat dan tabah untuk terus berjuang. Sebagai mana masyarakat yang rata-rata tertekan akibat pandemik Covid-19, golongan frontliner juga turut tertekan kerana mereka juga mempunya keluarga dan masalah seperti kita yang mungkin tidak disedari oleh orang lain. Di sebalik pengorbanan mereka sebagai frontliner, wujud pengorbanan dan konflik dalaman lain disebaliknya."
Wah! Membaca pengenalannya sahaja dah cukup membuat Kak Fas tidak sabar mahu menontonnya apatah lagi mendengar kesukaran setiap watak utamanya kala di lokasi penggambaran.
Bayangkan pengalaman Azhan Rani yang terpaksa berpanas dalam sut lengkap peralatan perlindungan diri (PPE) selama tiga jam yang dianggapnya seperti memakai 'sauna bergerak'.
"Memang azab rasanya berada dalam sut PPE," jelas Azhan yang turut rasa gementar apabila dikehendaki menyentuh pesakit COVID-19 sebagai Dr. Azhan meskipun ia sekadar lakonan.
Begitu juga pengalaman yang diceritakan oleh rakan seperjuangannya, Beto Kusyairy yang diberikan watak seorang inspektor polis.
"Melakonkan watak seorang dalam pasukan berbadan uniform sesuatu yang perlukan komitmen antara kerjaya dan famili. Saya perlu berlaku adil tetapi dalam masa yang sama berhadapan dengan konflik seperti orang biasa yang berdepan dengan pelbagai masalah keluarga yang perlu dititikberatkan sekali."
Antara Trivia menarik di sebalik "Frontliner":
* Meskipun lebih sinonim dengan watak komedi, Achey sahut cabaran untuk tampil sisi berbeza menerusi karakter serius dalam FTV ‘Frontliner’. Tuntutan karakter menjadi lebih mencabar kerana harus bergandingan dengan pelakon handalan Wan Maimunah yang memegang watak sebagai ibunya.
* Setelah lebih lima tahun tidak berlakon mahupun muncul di sebarang program hiburan, pelakon dan penyanyi utama kumpulan rock terkenal pada tahun 90-an, Zul Handy Black membuat kemunculan istimewa dalam FTV ‘Frontliner’ bagi menjayakan watak golongan kluster tabligh.
* Antara cabaran lain termasuklah perkhidmatan tenaga kerja bomba yang terpaksa dihentikan selama tiga jam sewaktu penggambaran untuk ‘scene’ hujan kerana berlakunya kes kebakaran di kawasan kedai yang berdekatan.
* Pihak produksi juga terpaksa berdepan dengan cabaran untuk mendapat kebenaran bagi menjalankan penggambaran di lokasi penting terutamanya hospital berikutan syarat SOP yang ketat. Kebenaran untuk menggunakan lokasi hospital hanya berjaya diperolehi sehari sebelum hari penggambaran.
* Single terbaharu Black berjudul ‘Sabar’ turut diangkat sebagai lagu tema untuk FTV ‘Frontliner’. Penggambaran video muzik untuk single tersebut turut dijalankan pada masa yang sama sewaktu penggambaran ‘Frontliner’ sedang dijalankan.
Kak Fas: Tak sabar nak tonton hasil 'Frontliner' pasti meruntun jiwa. Kena standby tisue ni huhu...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan