EZRA BANGKIT DARI 'UNDERGROUND' LAHIRKAN 'KAU TIADA'
DALAM tempoh pandemik COVID-19 ini di mana rakyat satu dunia disyorkan duduk rumah, basuh tangan dan jaga penjarakan sosial, industri hiburan di Malaysia terus bernafas apabila lahirnya bakat-bakat baharu yang kini mahu menembusi muzik arus perdana.
Ezra Kairo, antara penyanyi baharu namun lama dikenali 'underground' tetapi kini mahu melangkah jauh mewarnai pentas hiburan arus perdana.
Berusia 19 tahun, jejaka India Muslim atau 'Mamak' ini mungkin masih terlalu asing di arena seni namun pemilik nama penuh Daniel Ezra Mohd Shafiq Nickleson sebenarnya mula aktif memuat naik lagu nukilan liriknya di platform digital termasuk di YouTube sejak tahun lalu.
Dalam erti kata lain, Ezra yang selesa berada di bawah radar arus perdana sebagai penyanyi 'underground' sebenarnya sudah memiliki album EP memuatkan lima buah lagu berbahasa Inggeris di Spotify sejak Februari lalu.
Malah jika mahu disingkap plot cerita Ezra, penuntut diploma tahun akhir jurusan perniagaan di sebuah kolej tempatan ini tidak ubah melalui pengalaman seumpama penyanyi dan komposer muda yang kini semakin popular, Yonnyboii apabila pernah dibuli ketika di bangku sekolah gara-gara 'keunikan' yang ada pada diri mereka.
EZRA dan Yonnyboii (kanan) dikatakan melalui pengalaman sama - dibuli. |
“Fasa genting dalam hidup saya bermula ketika di sekolah menengah dalam Tingkatan Satu apabila sering diejek dan dibuli hanya gara-gara saya dilahirkan dalam keluarga India Muslim malah pelbagai gelaran yang diberikan kepada saya cukup menyesakkan hati," cerita Ezra tanpa berselindung.
Menurutnya lagi, warna kulit beliau menjadi modal usikan dan ejekan sehingga berdepan trauma yang memeritkan umpama diri tiada hati dan perasaan.
Anak sulung daripada empat beradik ini bagaimanapun tidak terus hanyut dengan kesedihan dan trauma, dia menjadikan muzik sebagai ruang berkongsi curahan isi hati.
“Muzik umpama escapisme atau cara saya bangkit melupakan apa saja yang melemahkan. Saya alihkan apa saja rasa yang tidak enak dengan muzik dan menulis lirik khususnya.
“Saya juga mula menyertai pertandingan nyanyian di sekolah. Secara rasmi saya berjinak jinak secara serius dalam nyanyian tahun lalu,” tambahnya.
Bercerita lanjut mengenai album EPnya terdahulu, Ezra berkata, “Saya terdetik bikin album EP itu selepas putus cinta dengan kekasih. Biasalah cinta monyet. Saya luahkan getar rasa dalam lirik lagu. Salah satu lagu yang dimuatkan dalam album EP itu berjudul 'Leave Me'. Sampai ada kawan gelarkan saya Adele versi lelaki kerana kami masing masing menyanyikan lagu patah hati atau melara jiwa."
Sambung Ezra, namanya sedikit meledak Mac lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasa ketika mempromosikan lagu 'Come Thru' (dengar lirik videonya di bawah ini:)
Tanpa diduga dengan bantuan dan akses dimiliki aplikasi TikTok, lagu itu diminati sampai ke Afrika Selatan, India, Brunei, Rusia, Mauritius, Maldives, Singapura dan Indonesia.
“Alhamdulillah, lagu itu berkisar soal kehidupan kena diteruskan walau apa jadi termasuk gagal dalam bercinta. Ramai yang boleh rasa dekat dengan lagu itu. Lalu impian saya untuk hubungkan muzik dengan kehidupan manusia dianggap berjaya di situ,” katanya sambil memaklumkan lagu 'Wait For Me' turut diputarkan di stesen radio Hits FM.
Selepas muncul dengan beberapa buah single dan EP berbahasa Inggeris, Ezra kini optimis untuk tampil dengan single bahasa Melayu pula berjudul 'Kau Tiada'.
“Lirik lagu 'Kau Tiada' saya tulis dalam bahasa Inggeris. Ia diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dengan bantuan kawan saya yang juga penyanyi dan peserta 'Big Stage', Amir Hassan (kanan).
“Lagu ini mengenai rasa kehilangan apabila orang yang kita sayangi sudah tiada. Ia tidak hanya tertakluk kepada kekasih semata mata. Tapi dengan sesiapa saja yang kita rapat.
“Saya sendiri kehilangan bapa tersayang di usia tiga tahun. Saya yakin ramai yang sudah terbiasa melalui fasa kehilangan. Bukan sesuatu yang mudah melawan fasa sebegitu, namun hidup harus diteruskan,” katanya.
Ezra memilih untuk melancarkan teaser 'Kau Tiada' itu hari ini (Jumaat) di platform YouTube, Tiktok dan media sosial lain.
“Saya sempat mempromosikan sedikit lagu itu di Instagram, Twitter dan Facebook beberapa hari lalu. Maklum balas yang diperoleh cukup positif. Tiada aral saya akan lancarkan lagu itu 25 November ini,” katanya.
Peminat tegar kepada bintang seni seperti Ed Sheeran, Chris Brown dan Faizal Tahir ini bagaimanapun belum terfikir untuk melahirkan album penuh sekali gus ke arus perdana.
“Album penuh belum lagi rasanya. Saya masih anggap diri ini mentah dan hijau. Namun saya serahkan semua itu berbalik kepada soal masa dan ruang.
“Cukup saat ini, saya kongsi bakat yang ada ini kepada mereka yang meminati perjuangan muzik ini,” akhiri Ezra yang memiliki hampir 20,000 pengikut di laman Instagramnhya @ezrakairo.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan