HITAM PUTIH WARNAI KEHIDUPAN SOPHIA LIANA MELALUI MV 'DULU'
PADA 9 Oktober lalu, penyanyi rap wanita yang terkenal melalui kumpulan DeFam, Sophia Liana meraih perhatian apabila muncul dengan single terbaharunya 'DULU'.
Lagu yang diciptanya bersama Fadzril Asyraf ini, sudah mula mendapat reaksi positif pendengar yang menyifatkannya antara karya terbaik tempatan yang dikeluarkan pada tahun 2020.
Lagu yang digarap dengan susunan muzik indah ini, menyerlahkan lagi kemerduan vokal penyanyi rap wanita yang mesra disapa sebagai Sophia ini.
Melodi mesra telinga yang dihiasi dengan bait-bait kata yang mudah difahami namun sarat dengan mesej tersirat, DULU berjaya memberi kesan emosi kepada pendengar.
Dan bagi meneruskan lagi momentum lagu berkenaan, juara program realiti sulong 'Dansa Dan Sing' ini sudah pun mempunyai video muzik (MV) rasmi DULU.
Bercerita tentang konsep yang diterapkan dalam video muzik ini, pengarah Shimy Latif berkata:
“Secara ringkasnya, konsep video muzik ini adalah idea Sophia yang mahu memaparkan perasaan masa lalu dan masa kini. Mengambil inti pati utama lirik lagu DULU, dalam video muzik ini Sophia digambarkan sebagai wanita yang merenung kembali masa lalunya dalam perspektif yang lebih positif. Baginya pengalaman suka dukanya yang dahulu telah menjadikan dirinya yang sekarang. Lebih matang, kuat dan berkeyakinan.”
“Bila saya mula-mula dengar lagu DULU ini, saya membayangkan suasana yang tenang dengan pemandangan indah serta visual sedap mata memandang. Mempunyai pengalaman bekerja dengan Sophia dalam video muzik ‘Ngam’ sebelum ini, saya tahu Sophia berkebolehan untuk berinteraksi dengan kamera menerusi ekspresi wajah dan tubuhnya.
"Jadi setelah berbincang dengan Sophia dan Farhan Syaza (Pengarah Fotografi), kami memutuskan untuk memfokuskan kepada Sophia sebagai subjek utama. Tanpa efek visual yang melampau, kami berharap video muzik ini mampu menjadi muzik malar segar untuk tontonan di masa hadapan kerana tema yang diangkat dalam lagu ini kekal relevan sepanjang zaman,” tambah Shimy lagi.
Menurut Shimy, proses kreatif ini dan permainan ekspresi Sophia berupaya menterjemah maksud lagu ini secara visual dan memberi kesan emosi kepada penonton.
Dan bagi Sophia, katanya, “Saya harap menerusi video muzik ini, pendengar dapat mendalami mesej dan merasai emosi yang saya cuba sampaikan dalam lagu ini.”
Video muzik rasmi DULU sudah boleh dilayari di saluran YouTube Sophia Liana manakala single DULU boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan juga Deezer.
Artikel berkaitan boleh baca di KitaReporters.
#DULU #HitamPutih #DansaDanSing #UniversalMusicMalaysia #DeFam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan