KEJAYAAN MAEL 'TOTEY' SATU TAMPARAN BUAT PENGARAH BERKALIBER?
BELIAU hanya seorang YouTuber kampung tetapi mempunyai cita-cita besar. Dan atas usaha gigihnya, siapa sangka anak muda yang bernama Syahmi Sazli ini mampu berdiri sama tinggi dengan pengarah-pengarah perfileman terkenal sehingga mampu memecah rekod RM6.4j melalui karya arahan pertamanya, ‘Mael Totey The Movie (MTTM)’.
Ini sekali gus membuktikan hebatnya sesebuah karya itu bukan terletak pada kehebatan nama seseorang pengarah itu mahu pun ilmu yang dimilikinya tetapi rezeki itu Allah yang menentukannya.
Boleh diibaratkan kejayaannya ini satu tamparan kepada pengarah mahu pun karyawan perfileman tempatan yang berkaliber. Setuju atau tidak?
Benar kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki tuah manusia siapa yang tahu kecuali yang Maha Esa. Sesebuah filem yang ditangani dengan penuh berkualiti tidak mampu mencuri hati penonton manakala sebuah filem yang boleh dikatakan sederhana pula mendapat sambutan hangat. Timbul persoalan di mana silapnya?
Apa yang penonton mahu sebenarnya? Adakah filem juga perlu melalui norma baharu... tak perlu titikberatkan kualiti asalkan cerita menarik? Bila filem tak berkualiti, ramai pulak pengkritik yang jatuhkan hukuman dan bila buat yang berkualiti tak laku pula. Pening juga kan? Satu subjek yang cukup subjektif untuk dibincangkan.
Pastinya, Syahmi Sazli pun terkejut dengan pencapaian yang tidak disangkakannya itu apabila ‘Mael Totey The Movie’ mampu memecah rekod kutipan nombor 1 Astro First, sekali gus menjadi filem Melayu pertama yang mengutip RM6.4j dalam tempoh 24 hari.
Wow! Sekalung tahniah pada Syahmi serta rakan dan barisan pelakonnya yang rata-rata bukan popular pun melainkan Daler Yusof dan Aznah Hamid yang sudah dikenali ramai.
Terdahulu, kutipan tertinggi di Astro Firt secara keseluruhannya di dominasi oleh filem ‘Polis Evo’ pada tahun 2015 diikuti filem Hantu Kak Limah dalam tahun 2008.
Bayangkan dengan kos produksi yang hanya menelan belanja RM400,000, pengarah muda ini dah boleh bergelar jutawan dalam sekelip mata apabila menikmati keuntungan berlipat kali ganda. Malah khabatnya sambutan MTTM masih memberangsangkan meskipun telah memasuki minggu ke empat tayangannya di pawagam rumah anda melalui Astro First.
“Kejayaan ini adalah satu sejarah dalam industri perfileman apabila sebuah filem yang dihasilkan oleh seorang pengarah baru. yang sebelumnya hanya aktif dengan konten digital, tetapi kini kutipan filem pertamanya, MTTM telah berjaya menandingi filem-filem pecah panggung di Astro First.
“Pihak Astro Shaw akan terus berusaha menerusi rangka promosi yang kreatif untuk membawa filem ini ke tahap yang lebih jauh, di samping menarik lagi minat orang ramai di luar sana untuk menontonnya. Kami juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penonton MTTM kerana anda telah memberi kepercayaan dan sinar buat penerbit tempatan untuk terus berkarya. Tidak lupa juga kepada rakan-rakan media yang banyak memberi sokongan dalam menghebahkan tentang filem ini kepada penonton di Malaysia,” ulas Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad.
Dibintangi Syahmi Sazli sendiri bersama rakannya Yoe Parey, Asif Suhaimi, Emaleen Minhad, Aween Ismail serta pelakon tanah air seperti Hushairi Hussain, Daler Yusof, Aznah Hamid, Kamarool Yusoff dan ramai lagi mengisahkan seorang pemuda lurus bendul, Mael yang berusaha pelajari Bahasa Inggeris demi memenuhi syarat gadis idamannya, Yaya.
Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila Mael bertemu cinta sejatinya bersama cikgu Bahasa Inggeris yang mengajarnya.
Konflik antara Mael, cikgu dan Yaya diselesaikan oleh empat budak istimewa, Asif, Yoe, Yatin dan Bedul. Jawapannya,.. tentulah anda perlu menyaksikan ‘Mael Totey The Movie’ di Astro First yang kinib masih berada di pawagam rumah anda, Astro First di saluran 480.
Anda juga boleh strim movie tersebut di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.
Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.
Kak Fas: Tetap percaya rezeki milik Allah yang diturunkan kepada hambanya dalam sekelip mata. Kita hanya perlu berdoa tanpa putus asa dalam setiap langkah kehidupan ini.
#MaelToteyTheMovie #SyahmiSazli #AstroFirst #AstroShaw #PecahPanggung
Tiada ulasan:
Catat Ulasan