GOLONGAN CACAT PENGLIHATAN ADA HARAPAN MELIHAT SEMULA!
MENURUT laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) terdapat lebih daripada 285 juta OKU penglihatan di dunia ketika ini.
Daripada jumlah itu hanya lebih kurang 50,000 orang yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Malaysia manakala dpercayai 50,000 lagi belum berdaftar atas sebab-sebab tertentu.
Kini sebahagian besar daripada mereka yang ingin melihat mempunyai harapan apabila buat pertama kalinya di dunia seorang warga emas, Jamal Furani, 78, yang sudah 10 tahun buta dapat melihat kembali setelah berjaya menjalani pembedahan transplan kornea tiruan.
Menurut laporan dari Business Insider, pembedahan yang berlaku pada 11 Januari 2021 lalu dijayakan oleh penciptanya, Ketua Pegawai Perubatan CorNeat Vision, Dr. Gilad Litvin di Hospital Belinson di Israel yang juga dikenali sebagai Pusat Perubatan Rabin.
Pakar di bumi Yahudi itu melalui CorNeat mendapat persetujuan untuk ujian klinikal pada bulan Julai tahun lalu di mana CorNeat memilih10 pesakit percubaan yang mengalami rabun dan yang pernah menjalani permindahan kornea tetapi gagal pada masa lalu atau yang tidak berpeluang dipilih sebagai calon yang sesuai untuk pembedahan.
Lazimnya, permindahan korneo merupakan prosedur biasa bagi memulihkan penglihatan namun ia hanya dapat dilakukan dengan kornea penderma.
Tetapi terbaharu, dengan wujudnya kornea buatan yang digelar KPro, implan tiruan yang dihasilkan dengan tisu nano sintetik yang tidak mudah dihancurkan, dilaporkan boleh menggantikan kornea yang cacat atau rosak.
Menurut Dr. Litvin, pembedahan yang mengambil masa kurang dari satu jam agak mudah tanpa sebarang komplikasi.
“Setelah bertahun-tahun bekerja keras, menyaksikan pesakit kembali melihat keesokan harinya merupakan satu saat yang cukup mengharukan. Ramai yang mengalirkan air mata kegembiraan,” cerita Dr. Litvin atas kejayaan yang dicapai.
“Benar, prosedur pembedahan agak mudah dan kejayaannya benar-benar tidak disangka,” komen Profesor Irit Bahar selaku Ketua Oftalmologi Hospital Belinson.
Menurut Profesor Bahar pada saat pembalut mata dibuka semua yang terlibat rasa berdebar dan beremosi.
“Momen seperti ini adalah saat kegemilangan pencapaian seseorang bergelar doktor. Kami bangga berada di barisan hadapan projek menarik dan bermakna ini yang pasti akan memberi kesan kepada kehidupan berjuta-juta orang cacat penglihatan seluruh dunia selepas ini,” ujar Profesor Bahar.
Semoga kejayaan julung kalinya ini memberikan harapan kepada yang cacat penglibatan kembali melihat dunia dengan jelas dan bukan lagi melalui mata hati.
Yang menjadi persoalannya kelak nanti tentulah berapa pula kos pembedahannya?
Mampukah orang orang cacat penglihatan yang kurang berkemampuan merasainya atau hanya yang berduit sahaja dapat mengubah hidup mereka?
Dan apakah pencapaian oleh doktor berbangsa Yahudi ini dapat diterima golongan Islam yang selama ini tidak dapat menerima kekejaman Israel terhadap Palestin.
Wallahualam!
#KorneaTiruan #Buta #OKUCacatPenglihatan #JamalFurani #DrGiladLitvin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan