FREDDIE LUNAS TANGGUNGJAWAB BANTU AHLI KARYAWAN
BILA sebut persatuan KARYAWAN, fikiran Kak Fas past akan melayang ke wajah Presidennya, Datuk Freddie Fernandez yang popular dengan lagu evergreennya 'Namun Ku Punya Hati' bersama kumpulan Revolvers pada tahun 1982 ketika itu.
Pendekata, sehingga sekarang lagu itu tetap bermain di minda dan halwa telinga apatah lagi melodi dan liriknya amat menyentuh perasaan sekali gus membayangkan jiwa penyanyinya yang tentu sekali berhati lembut.
Tidak hairanlah sebagai pemimpin sebuah persatuan yang tujuannya membantu penggiat seni, Freddie tidak putus-putus prihatin terhadap amal kebajikan ahli-ahlinya melalui KARYAWAN.
Walau pun tabung persatuan kosong sekali pun, sebagai Presiden tanggungjawab yang dipikul tetap perlu ditunaikan waima menyumbangkan duit sendiri sekali pun jika ada ahli yang memerlukan.
BACA berita berkaitan di SINI
Foto: Shaliza Anuar
Sesuai dengan judul program 'Dari Hati ke Hati', terbaharu KARYAWAN mendapat kerjasama Yayasan AEON yang menyumbangkan Pek Bekalan Barangan Dapur secara berterusan selama 6 bulan kepada kira-kira 500 ahli persatuan.
Sudah tentu ketika sebahagian besar golongan artis yang terjejas akibat impak pandemik COVID-19, sumbangan di bawah program 'Bersama AEON' itu mampu membantu meringankan beban yang dihadapi.
Majlis penyerahan sebahagian daripada Pek Bekalan Barangan Dapur AEON kepada beberapa artis veteran yang hadir antaranya pelakon Norlia Ramli, penyanyi S. Rohani, Asheed (vokalis DefGabC), pemuzik kelab, Roslan (pemain dram Kumpulan Sons of Adam) dan Bob Sentuhan mewakili golongan buskers berlangsung di Bayang Coffee Co, Taman Tun Dr. Ismail baru-baru ini.
Turut hadir bersama Freddie, Presiden Yayasan AEON Malaysia, Datin Yasmin Merican, Pengurus Gedung AEON Bandar Puchong, Amran Abd. Latif dan ramai lagi pengarah, pegawai dan kakitangan AEON.
Untuk rekod, 'Bersama AEON' merupakan sebuah projek pandemik oleh Syarikat AEON di Malaysia melalui Yayasan AEON Malaysia yang telah bermula sejak pandemik COVID-19 melanda pada tahun 2020.
Sepanjang Yayasan ini ditubuhkan, ia telah banyak membantu golongan yang kurang bernasib baik dan juga turut membantu ketika berlakunya bencana alam. Oleh demikian, 'Bersama AEON' diwujudkan untuk membantu keluarga dengan mengagihkan sumbangan barangan keperluan dapur bagi mengurangkan beban mereka yang terkesan akibat pandemik terutamanya daripada industri Perhotelan, Penerbangan dan Hiburan.
Majlis yang berlangsung santai turut mendengar luahan hati para artis terbabit di mana segala maklum balas yang diterima boleh digunapakai oleh pihak persatuan mahupun kerajaan bagi memperbaiki keadaan ini dimasa akan datang.
Dianggarkan lebih kurang 3,000 buah keluarga dari tiga (3) industri tersebut akan menerima sumbangan barangan keperluan dapur ini sepanjang tempoh 2 hingga 6 bulan.
"Jika keadaan masih berterusan kami tidak teragak-agak untuk sambung sumbangan walau pun sudah tamat tempoh 6 bulan," ujar Yasmin Merican.
Menurutnya, sebagai sebuah Yayasan, pihaknya akan meneruskan lagi program program yang bersesuaian dengan objektif komuniti.
"Insya Allah kami akan melakukan yang terbaik dan berazam untuk memberi lebih banyak sumbangan pada tahun ini dan tahun hadapan kepada mereka yang memerlukan," Yasmin memberi jaminan.
Dalam pada itu, KARYAWAN berharap kepada ahli yang tercicir atau pun yang mahukan sumbangan boleh menghubungi pihak persatuan bagi tindakan selanjutnya.
"Kami akan mengutamakan ahli yang benar-benar terkesan akibat pandemik untuk menerima bantuan ini," tambah Freddie sambil memberitahu sumbangan daripada Yayasan AEON ini merupakan CSR (Tanggungjawab Sosial Korporat) kali ketiga yang KARYAWAN lakukan.
"Sebelum ini kita pernah buat dengan MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) dengan nilai sumbangan sebanyak RM10,000 serta FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia),” jelas Freddie.
Kak Fas: Kenal budi pekerti Freddie sejak lagu popular pertamanya selaku vokalis dan pemain keyboard The Revolvers melalui lagu 'Perpisahan' lagi. Dari dahulu sampai sekarang Freddie tetap mesra dan rendah diri orangnya bahkan setiap kali bertemu beliau akan kata, 'saya kenal Fariza sejak album pertama lagi'.
Terima kasih Freddie yang tidak ketinggalan hadir sebagai tetamu pada majlis perkahwinan anak Kak Fas tiga tahun lalu di Glass House Seputih. Jasamu ku kenang!
#BersamaAEON #KARYAWAN #YayasanAEONMalaysia #FreddieFernandez
Tiada ulasan:
Catat Ulasan