'ALL TOGETHER NOW MALAYSIA' BERMULA 6 JUN, UJI BAKAT MUSIM KE-2 BERAKHIR 30 MEI
WOW! pesertanya ramai sampai 250 orang. Jurinya pula 50 orang tetapi hanya SEORANG sahaja yang bakal dipilih sebagai Juara 'All Together Now Malaysia' musim pertama yang bakal bersiaran pada 6 Jun ini.
Nasib tak sampai 100 orang mengikut format asalnya dari terbitan BBC One, United Kingdom ini... kalau tak jenuh juga nak jaga SOP.
Mungkin kah juaranya disandang cucu kepada seniman negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, iaitu Najua P. Ramlee (gambar bawah) atau anak kepada Raja Pop, Dato Jamal Abdillah, Zaki Yamani (gambar kedua bawah) yang merupakan antara 250 peserta termasuk komposer jingle & personaliti Tik Tok; Ajoi Zainal, penari & influencer; Baelon, penyanyi; Meer Nash atau milik Kumpulan Pancit Sitaya yang memperjuangkan genre irama Malaysia & Dangdut?
Jawapan sebenarnya sudah ada cuma perlulah dirahsiakan kerana sebenarnya sudah dua kali ditunda daripada tarikh asal yang dijadualkan siarannya tetapi akibat situasi ketidaktentuan pandemik pada ketika itu, ia terpaksa ditangguhkan.
Kini, mulai 6 Jun 2021, rakaman konsert mingguan ‘ATNMY’ yang dilangsungkan dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), bakal menemui penonton selama 10 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9 malam menerusi saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim melalui aplikasi Astro GO dan perkhidmatan On Demand.
Klip sedutan aktiviti perjalanan para peserta dan barisan juri menjelang konsert mingguan pula dapat ditonton melalui liputan kapsul harian ‘Di Sebalik All Together Now Malaysia’ pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang bermula 31 Mei 2021.
Kompilasi liputan tersebut juga boleh ditonton menerusi ‘Kompilasi Di Sebalik All Together Now Malaysia’ pada setiap hari Sabtu, jam 7.00 malam bermula 5 Jun 2021.
Untuk rekod, Malaysia merupakan negara ke-17 di dunia dan yang pertama di Asia Tenggara menerbitkan program ini untuk versi tempatan tetapi masih mengekalkan format asalnya.
“Pun begitu terdapat pengisian elemen tempatan yang turut disuntik untuk menambah baik format asal agar bersesuaian dengan resam norma baharu, budaya dan sensitiviti rakyat Malaysia.,” ujar Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal (gambar bawah) pada sidang media secara virtual yang diadakan baru-baru ini. Hadir sama Ketua Ketua Strategi Kandungan Hiburan Astro, Raqim Ahmad.
Sidang media berkenaan turut disertai sebahagian daripada 50 selebriti tanah air yang dilantik sebagai juri daripada barisan penggiat seni merangkumi pelbagai cabang seni yang berbeza seperti penyanyi, pelakon, pelawak, penyampai radio, pengacara, personaliti media sosial dan sebagainya.
Antara yang hadir bersama adalah hos ‘ATNMY’, Sherry Al Hadad; Kapten Juri,Dato AC Mizal, Erra Fazira; Noryn Aziz; Jaclyn Victor; Khai Bahar, Siti Nordiana, Mark Adam, Hanif Hamzah (Era) Kelly Azman (wakil media) dan ramai lagi.`
Bercerita lanjut, Emarina memberitahu, ‘ATNMY’ musim pertama memperkenalkan konsep muhibah menerusi pemilihan barisan juri serta menyaksikan penyertaan daripada masyarakat Malaysia yang berbilang kaum sejajar dengan taglinenya ‘Bersatu Dalam Lagu’.
Tambah beliau, nasib para peserta diadili oleh barisan 50 juri profesional berkenaan berdasarkan sistem penjurian kalah mati.
“Setiap juri mewakili dua markah. Dua peserta yang mendapat markah tertinggi pada setiap episod akan mara ke peringkat akhir ‘ATNMY Final’ untuk merebut gelaran juara sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 beserta trofi,” jelas Emarina.
Tambahnya, seramai 24 peserta akan bertanding dalam setiap episod di mana mereka diberikan tempoh 90 saat untuk membuat persembahan masing-masing.
Sekiranya juri suka dengan persembahan tersebut, mereka boleh mula memberikan markah kepada peserta sejurus selepas 30 saat pertama dengan menekan butang ‘buzzer’ yang disediakan lalu ikut berdiri dan menyanyi bersama-sama dari tempat masing-masing sebagai tanda sokongan.
Tiga peserta yang mendapat markah tertinggi akan ditempatkan di tiga buah podium utama mengikut jumlah markah yang diterima manakala peserta yang mendapat markah paling banyak akan ditempatkan di podium yang pertama sekaligus layak untuk mara ke peringkat akhir secara automatik.
Manakala peserta yang berada di kedudukan kedua dan ketiga pula akan berentap sekali lagi dalam pusingan ‘Sing-Off’ untuk menempah tempat ke peringkat akhir.
Untuk pusingan ini, peserta perlu memilih lagu baharu untuk dipersembahkan di hadapan barisan juri daripada senarai yang disediakan oleh pihak produksi.
“Sekiranya ada peserta yang mendapat markah seri, Dato’ AC Mizal selaku ‘Kapten Juri’ mempunyai kuasa untuk membuat keputusan bagi memilih peserta yang layak untuk berada di podium,” jelas Emarina.
Sementara tu, walau pun program musim pertama ini baru dilancarkan, pihak produksi sudah pun pun memulakan misi pencarian bakat untuk menyertai musim kedua.
Sesi uji bakat musim kedua secara rasminya sudahpun dibuka secara online dan para peserta yang berminat boleh emelkan pautan video penyertaan masing-masing ke ujibakat@astro.com.my sebelum 30 Mei 2021 ini untuk disenarai pendek.
Meskipun penganjuran musim pertama program ‘ATNMY’ berlangsung ketika krisis pandemik Covid-19 melanda, namun sambutan yang diterima amat memberangsangkan dengan penerimaan keseluruhan hampir 3,000 buah jumlah video penyertaan secara online diterima.
Daripada jumlah tersebut, hanya 214 jumlah penyertaan yang berjaya terpilih untuk menyertai musim ini sama ada secara solo, duo, trio ataupun berkumpulan.
214 buah penyertaan tersebut melibatkan hampir 250 orang jumlah keseluruhan peserta yang bertanding.
Mungkinkah penyertaan pada musim kedua kelak akan bertambah dalam tempoh masing-masing disyorkan ‘duduk rumah’ ketika COVID-19 sedang memuncak naik ketika ini? Kita tunggu dan lihat ya!
#AllTogetherNowMalaysia #AstroRia #SherryAlHadad #ACMizal #ProgramNyanyian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan