FARID KAMIL SEDIA BELAJAR SILAT. TIDAK TAKUT ATAU MALU!
PENGARAH dan pelakon, Farid Kamil, 40, tidak mahu kisah kontroversi lamanya menjadi penghalang kegiatannya dalam bidang lakonan waima berserah kepada ketentuan Allah SWT dalam menentukan masa kini dan masa hadapannya.
“Apa yang berlaku sudah tertulis, saya berserah diri pada yang maha Esa kerana dia lebih mengetahui apa seterusnya akan terjadi," ujar Farid yang juga merupakan seorang penerbit dan pengarah serta suami kepada pelakon, Diana Danielle serta ayah kepada dua orang cahaya mata.
Pun begitu beliau sedar pengalaman lalu mematangkan dirinya dan berdoa supaya tidak lagi terpalit dengan isu lama malah berharap dijauhkan daripada musuh di dalam selimut.
"Hati manusia kita tidak tahu walau pun rambut sama hitam," sambungnya ringkas ketika diwawancara pada sidang media secara virtual mempromosikan drama terbaharu lakonannya, 'Masih Ada Rindu' tengah hari tadi.
Tambahnya lanjut pengalaman itu bagaiana pun tidak mematahkan semangatnya mahu pun merasa takut atau malu kerana kebenaran itu wujud malah bersedia untuk bersara jika sudah tidak diperlukan lagi.
“Jika dah ditakdirkan tubuh badan tak mampu memberi alunan sama atau getaran sama bermakna disitulah titik penamat dan pemisahnya sama ada saya perlu bersara atau tidak,” akui Farid.
Bersamanya dalam sidang media virtual berkenaan adalah pengarah drama ‘Masih Ada Rindu Osman Ali serta pelakon baru, Dayang Areeda. Bagaimana pun gandingan utamanya, Mimi Lama tidak dapat hadir di saat akhir sebab mendapat temujanji untuk vaksinasi.
“Masih Ada Rindu’ merupakan drama bersiri 16 episod yang sudah mula disiarkan di slot Akasia TV3 (2 Jun 2021) setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 7 malam.
Drama bersiri 16 episod terbitan Nuansa Sdn Bhd ini merupakan adaptasi daripada novel karya Mimie Afinie turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Halim Radzi, Aishah Ilias, Fahmy Reza, Aleza Shadan, Rahim Jailani dan Kuna.
Ini juga merupakan drama ‘comeback’ Farid Kamil setelah empat tahun berehat malah menganggap kemunculannya dalam drama bersiri lebih kepada menghormati tawaran pengarahnya Osman Ali yang dilihat sebagai seorang pengarah berkaliber dalam menghasilkan karya berkualiti.
“Selama ini saya memang tidak berapa minat berlakon drama rantaian disebabkan waktu penggambaran yang memakan masa panjang tetapi disebabkan oleh Osman Ali saya terimanya,” jelas Farid sambil memberitahu tidak akan sewenang-wenangnya menerima tawaran daripada produksi lain kecuali skrip dan watak yang diberikan menepati citarasanya.
Namun buat masa ini beliau hanya mahu menerima tawaran daripada terbitan Osman Ali yang dipercayai melahirkan karya bermutu.
“Kami saling melengkapi dan belajar di antara satu sama lain,” tambah Farid yang berharap dapat bekerjasama Osman untuk menerbitkan sambungan filem ‘Anak Halal’ yang pernah dilakonkannya bersama Maya Karin pada tahun 2007 terbitan Tayangan Unggul ketika itu.
“Saya teringin membawa kembali watak remaja jalanan, Inderaputra sebab nak tahu apa kesudahannya hala tuju watak itu,” ujar Farid yang khabarnya bakal berlakon dalam sebuah filem Osman Ali lagi.
"Karya tersebut masih dalam garapan namun ia bergenre 'drama thriller' yang bercerita mengenai manusia yang berdepan ketidakadilan dalam kehidupan. Ada elemen seram," jawab Osman berhubung perancangannya itu.
Sehubungan itu sebagai persediaan, Farid memberitahu sekiranya tempoh PKP sudah tamat beliau akan turun padang membuat latihan silat.
“Saya perlu berlatih silat di dalam sungai yang deras alirannya selama 10 hari dan sekiranya berjaya barulah saya menerima tawaran untuk berlakon,” tambah Farid.
Pelakon 'Anak Halal' ini turut berharap agar mampu terus berkarya bagi melengkapkan impiannya membintangi 100 buah filem, mengatasi 66 buah filem yang dicatatkn Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee.
“Sebenarnya saya sudah membintangi 60 buah filem dan tinggal lagi 6 buah filem bagi menyamai rekod Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Dan harapan saya mahu habiskan 100 buah filem bagi melengkapkan biografi saya dalam perfileman tetapi apa pun berbalik kepada rezeki masing-masing, Itu doa saya,” jelasnya.
Dalam pada itu, Farid bersedia jika waktu persaraannya tiba sebelum mencapai sasarannya itu namun berharap legasinya dalam bidang perfileman dapat diteruskan oleh anak-anaknya.
“Pembabitan anak sulong saya, Muhammad dalam filem ‘Remp-It 2 petanda saya sudah boleh bersara. Ia sudah cukup memuaskan perjalanan seni saya,” tambah Farid sambil berpendapat tiada istillah umur penamat bagi seseorang pelakon.
“Apa pun saya sudah bersedia jika itulah ketentuan dan aturan yang maha Esa buat bagi diri saya,” tambah Farid senyum.
#FaridKamil #MimiLana #Akasia #MasihAdaRindu #OsmanAli #TV3Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan