P. RAMLEE DIANGKAT SEBAGAI PEMUISI LAGENDA
ALLAHYARHAM Tan Sri P. Ramlee tiada tolok bsndingnya.
Walaupun Seniman Agung itu diminati ramai sehingga muncul klonnya di seluruh negara namun P. Ramlee hanya seorang dan sehingga kini masih tiada ganti, ironinya persis lagunya ‘Di Mana Kan Ku Cari Ganti’.
‘Di mana kan kucari ganti serupa denganmu. Ini antara bait lagu yang sering mengusik indera dengar kita,” ujar Datuk Dr. Noor Zari Hamat, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) ketika merasmikan Malam Puisi Getaran Jiwa Tan Sri P. Ramlee pada semalam, 25 Julai 2021.
Malam yang julung-julung kalinya dianjurkan oleh Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), MOTAC, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) itu disiarkan secara langsung selama dua jam mulai pukul 9.00 malam menerusi Facebook DBP, PEMUISI BERKARYA dan FDAM.
Pelayar Facebook turut dihiburkan dengan komedi spontan oleh pengacara berwajah seiras seniman legenda itu, Musly Amir Mohamed Ramli atau terkenal dengan nama pentasnya Musly Ramlee.
Acara itu turut dijayakan oleh Penaung PEMUISI Tan Sri Hamad Kama Piah Che’ Othman, Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dr. Muhammad Hj Salleh, Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Naib Canselor ke-8 Universiti Malaya Prof. Emeritus Datuk Dr. Hashim Yaacob, Presiden PEMUISI Datuk Dr. Radzuan Ibrahim dan Presiden FDAM, Dr. Ahmad Ibrahim (kanan).
Memandangkan karya seni P Ramlee tidak jemu-jemu diperkatakan oleh semua lapisan masyarakat, seniman agung itu diangkat sebagai pemuisi legenda melalui puisi dan lagu persembahan tokoh bahasa, persuratan, perfileman dan personaliti hiburan tanah air pada malam tersebut.
‘Saya melihat program untuk mengangkat Seniman Agung ini sebagai 'Pemuisi Legenda' adalah sesuai dan tepat kerana sifat kesenimanan Allahyarham tiada tolok bandingnya,” tambah Dr. Noor Zari Hamat.
Beliau berkata, pemerhatian P. Ramlee terhadap alam dan karenah manusia sentiasa menjentik ilham beliau untuk menghasilkan karya yang menarik, bermutu dan penuh dengan nilai seni malah tersurat aneka pengajaran sekalipun ditulis dalam nada sindiran dan jenaka.
Dr. Noor Zari turut mencuit tumpuan pelayar Facebook apabila menyampaikan puisi bertajuk ‘Legenda Sepanjang Zaman’ karya Dr. Lim Swee Tin.
Acara menjadi semakin meriah apabila penyanyi rock, Datuk Ahmad Azhar Othman atau Awie, Timbalan Presiden FDAM yang juga pengarah filem, Datuk Zulkeflie M. Osman dan cucu seniman agung itu, Najua P. Ramlee mengejutkan penonton dengan persembahan puisi dan lagu popular P. Ramlee.
Awie yang berbusana pahlawan Melayu lengkap dengan keris mendeklamasikan puisi adaptasi daripada filem Hang Tuah bertajuk ‘Taming Sari Jadi Saksi’ karya Dr. Zainatul Shuhaida Abdull Rahman serta lagu ‘Madu Tiga’.
Zulkeflie M. Osman yang muncul dalam video hitam putih membacakan puisi ‘Hancur Badan Dikandung Tanah’ (Ragam P. Ramlee) manakala Najua P. Ramlee tampil dengan persembahan memukau menerusi lagu ‘Tunggu Sekejap’ daripada filem ‘Sarjan Hassan'.
#MalamPuisiGetaranJiwaTanSriPRamlee #FDAM #PEMUISI #DBP #Lagenda #Puisi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan