DOLIVE SASAR JUALAN RM8 JUTA, PELAWA JADI EJEN SERENDAH RM250
DARI seorang kelindan membanting tulang bersama suami sebagai pemandu lori dengan pendapatan ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’, segala usaha dan penat lelah terbayar di penghujungnya.
Ya… Allah SWT tidak ‘tidur’… setiap dugaan ada hikmah di sebaliknya malah setiap ujian yang dihadapkan kepada hambanya jika bersabar dibalas dengan kejayaan.
Begitulah andaian yang dapat Kak Fas simpulkan kala mendengar cerita disebalik kejayaan pasangan usahawan dan pengasas sabun jenama ‘Dolive’, Mohd. Hafiz Arbaee, 34, dan Nurul Hassrah Mohd. Khori.
Bayangkan dalam usia seawal 20 tahun mereka sudah pun menjadi suami isteri menyimpulkan janji sehidup semati dalam susah mahu pun senang apatah lagi latar pendidikan masing-masing setekat PMR dan SPM sahaja.
“Kami kahwin awal sebab saya merantau jauh dari keluarga dan setelah saling mengenal kami memilih untuk hidup sama-sama susah senang sekali pun,’ ujar Nurul, 30, memulakan bicara ketika diwawancara secara maya baru-baru ini.
Melihat kepada wajahnya yang berseri dan masih jelita walau pun sudah beranak lima, tentu nikmat yang diberikan Allah SWT kepadanya petanda berkat atas segala penat lelahnya selama ini.
Dalam pada itu, nampak raut wajahnya bertukar sayu dan suaranya mula sebak apabila diminta kongsikan pengalamannya malah tanpa dipinta kelopak mata kelihatannya mula bergenang menakung air mata yang mula menitis.
“Aduh! Apabila kenang dan nak cerita balik kisah lalu saya pasti akan menangis sebab itu suami tak berapa nak bagi saya cerita panjang,” jawab Nurul sambil memberitahu tugasannya bersama suami membawanya keluar seawal jam 4.30 pagi hingga 1 petang.
“Kami perlu menghantar air ke 45 buah kedai setiap hari dengan gaji serendah RM50-100 dan selalunya kami terpaksa meminta pendahuluan terlebih dahulu sebelum waktu gaji dan itu menyebabkan duit kami sering kehabisan,” kenang Nurul sebak.
Lebih memeritkan katanya apabila saudara sendiri hanya membenarkan mereka tumpang tidor sehari dan diminta keluar jam 5 pagi keesokannya.
“Sejak itu, itulah kali pertama dan terakhir kami mahu meminta tolong orang,” kenang Nurul sedih.
Beliau turut menceritakan pengalamannya menumpang di sebuah rumah yang dihuni 13 orang Indonesia, berlapikkan tikar yoga tanpa bantal yang dikutip dari ruang sampah.
Menyelami jiwanya, Kak Fas dapat berkongsi kesedihan apabila mendengar waktu-waktu sukarnya cukup perit sehingga terpaksa jadikan kontena tempat bermalam tanpa kemudahan bilik mandi dan tandas untuk sucikan diri.
Bertitik tolak dari situ, selepas dua tahun, Nurul dan suami terpaksa berhenti setelah disahkan mengandung anak pertama.
Berbekalkan wang simpanan RM400, mereka mengambil keputusan beralih kepada jualan sabun selepas diperkenalkan oleh sahabat jiran.
Sebagai ejen jualan, mereka bermula di pasar tani berbumbungkan langit terbuka sehingga terpaksa menyusukan anak di bawah meja namun penat lelah berbaloi apabila jualan tidak mengecewakan.
Dan sebaik sahaja berpeluang mendapatkan tapak jualan di sebuah pasaraya terkenal, Mydin, rezeki datang bergolek tanpa putus.
Pendekkan cerita, lapan tahun berkecimpung dalam jualan sabun yang memberikan keuntungan, terdetik untuk melahirkan jenama sendiri apatah lagi sabun antara produk wajib digunakan setiap isi rumah.
“Puas jugalah kami merantau mencari formula terbaik sehinggalah ditemukan dengan seorang yang menepati kehendak kami. Ujian dan perjalanan yang Allah SWT aturkan itu cantik, DIA temukan kami dengan seorang yang sangat baik,” sambung Nurul.
Katanya, hasil RND yang dijalankan selama lebih kurang setahun, terciptanya formula idaman yang diinginkan pada jenama sabun pencuci pakaian, ’Dolive’.
Kenapa dinamakan ‘Dolive’?
Mengambil dan menyambungkan dua perkataan Inggeris ‘Do’ dan ‘Live’ ia membawa maksud ‘untuk teruskan kehidupan’.
“Itulah objektif kami, selain meneruskan kehidupan kami berhasrat untuk membantu kehidupan orang lain,” Nurul menyuarakan harapannya setelah hasil pendapatannya mampu mencecah ribuan ringgit.
Mengakui adat berniaga ada pasang surutnya, beliau dan suami tidak pernah berputus asa bahkan terus mengharungi cabaran berbekalkan semangat juang yang pernah dilalui terdahulu.
Memulakan perniagaan di bawah syarikat Fresh Expert Sdn Bhd pada tahun 2018 dari sebuah rumah kedai, penjualan sabun ‘Dolive’ meningkat sehingga dalam tempoh enam bulan mereka sudah mampu menyewa ruang yang lebih besar untuk dijadikan kilang.
Terkini, pasangan ini sudah boleh berbangga dengan dua buah kilang di Kepala Batas dan Bukit Serdang yang beroperasi pada tahun 2019 sebelum pelaksanaan PKP apabila negara dilanda pandemik COVID-19.
Timbul pula persoalan, adakah perniagaan Nurul terkesan dengan wabak berbahaya yang melanda?
“Alhamdullilah, ada hikmah di sebalik pandemik ini apabila tanpa disangka jualan meningkat 50% pada tahun 2020 berbanding 2019,” jelas Nurul bersyukur.
Kini harapannya mahu mensasarkan jualan mencapai RM8 juta menjelang akhir tahun 2021 dengan penambahan ejen daripada 1,000 sedia ada kepada 3,000 orang dan berupaya melahirkan 30 master leader meliputi seluruh negara.
“Kami sasarkan setiap bulan jualan sabun dolive mampu mencecah 150,000 hingga 300,000 botol dan 3.6 juta botol dapat dijual dalam tempoh setahun,” harapan Nurul terhadap 9 jenis haruman sabun pencuci ‘Dolive’ keluarannya yang berharga RM30 sebotol.
Selain menyimpan impian bergelar jutawan dengan simpanan RM1 juta di dalam bank, Nurul tidak ketinggalan mahu membuka peluang kepada ejen-ejennya untuk bergelar jutawan juga.
“Niat saya mahu membantu diri, keluarga dan mereka yang bersemangat tinggi untuk menambah pendapatan agar mampu keluar dari kepompong kesusahan yang dialami selama ini,” tambah Nurul sambil memberitahu syarikatnya membuka peluang kepada mana-mana individu yang berminat untuk berniaga terutama yang terjejas pendapatan pada waktu sukar ini.
Dengan kos serendah RM250 sebagai ejen jualan tahap 1, mereka akan diberikan 10 jenis sabun sebagai permulaan termasuk bimbingan cara pemasaran yang lebih sistematik.
Mungkin korang tertanya-tanya apa istimewanya sabun Dolive berbanding jenama popular sedia ada di pasaran?
Menurut Nurul, sabun ‘Dolive’ yang telah mendapat pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkonsepkan empat dalam satu yang bertindak sebagai pencuci, pewangi, pelembut dan antibakteria.
“Dengan kandungan 10 liter pada harga RM30 ia menghasilkan cucian memenuhi keperluan pelanggan sekali gus jimat belanja sebab mampu bertahan sehingga hampir tiga bulan,” jelas Nurul yang turut mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan di Singapura dan Brunei.
Membaca slogannya berbunyi ‘jangan menjadi pencari rezeki tapi jadilah penjemput rezeki’ yang dicatatkan di laman sosialnya, Kak Fas dapat menyimpulkan keikhlasan hati dan jiwa Nurul Hassrah ini untuk membantu mereka yang pernah susah sebagaimana dilaluinya di awal perkahwinan.
Pendek kata, berpegang kepada prinsip kejayaannya iaitu ‘Sukses mempunyai formula yang simple… Buat yang terbaik agar orang menyukainya’, Nurul Hassrah dan suami, Mohd Hafiz tidak perlu lagi menoleh ke belakang kerana kejayaan masa depannya sudah terbentang luas demi memberikan kehidupan yang lebih terjamin dan sempurna bagi kelima-lima anaknya serta ejen dan stokis jualannya.
Jadi, jika korang mahu menjadi sebahagian daripada keluarga besar Dolive, boleh dapatkan maklumat lanjut berhubung permohonan menjadi ejen dengan Nurul melalui laman sosialnya @nurul daniya (facebook), @nuruldolive (Instagram) atau pun laman web rasmi @sabun dolive hq.
Pada masa negara dilanda pandemik COVID-19 ini, bagi mereka yang terjejas dan ingin beralih angin menjadi usahawan bolehlah merebut peluang yang diberikan ini.
Mana tahu rezeki anda berada bersama 'DOLIVE' untuk terus hidup sebagai jenama itu membawa maksudnya yang tersendiri kan?
#DOLIVE #SabunPencuci #JAKIM #NurulDaniya #DoliveHq #HafizArbaee
Tiada ulasan:
Catat Ulasan