PEMAIN BADMINTON GOH V SHEM DUTA BAHARU VANILLA MILLE CREPE
PERNAH dengar tak mengenai kek yang dikatakan boleh dimakan untuk kesihatan?
Namanya Vanilla Mille Crepe diinspirasi daripada resepi Perancis.
Sebenarnya, Kak Fas pun baharu je tahu mengenai jenama kek ini. Selama ini ingat semua kek itu pemanis mulut yang tidak boleh dimakan banyak kerana boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan.
Tetapi Vanilla Mille Crepe ini sebaliknya...
Disebabkan ingin tahu dan juga kerana Vanilla Mille Crepe ini mengambil pula pemenang pingat perak Sukan Olimpik, Goh V Shem, sebagai duta baharunya, Kak Fas mengambil keputusan menghadiri jemputan yang dilayangkan oleh rakan seperjuangan, Adam Ham serta Kevin Chong untuk hadir pada majlis menandatangani Memoradum Persefahaman (MoU) Goh V Shem (gambar bawah, dua dari kiri), untuk mempromosikan gaya hidup sihat melalui siri kek berkhasiat terbaharu yang dinamakan ’Plant-Based Booster Series’.
Turut hadir bersama adalah Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad (berdiri belakang, kiri) bersama Timbalan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), En. Suhardi Alias.
Bersempena dengan pengumuman duta jenama baharu itu juga, Vanilla Mille Crepe melancarkan produk terbaharu, ’Original Vanilla (bersama Panna Cotta) Crepe Cake’ sebagai edisi pertama siri kek terbaharu mereka.
Di sidang media ini juga, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengasas Bersama Vanilla Mille Crepe, Nelson Liew (tengah) mengalu-alukan pemegang lesen baharu – Goh V Shem dan Ernest Yap.
Menurut Liew, atlit badminton negara – Goh V Shem merupakan personaliti yang sesuai sebagai wajah baharu Vanilla Mille Crepe.
"Ini akan memberi manfaat bagi menjayakan misi mereka bagi tahun 2022 untuk mengembangkan rangkaian mereka di Asia Tenggara dan mempromosikan gerakan maju sihat dalam industri F&B," ujar Liew.
Bakal dilancarkan pada awal Disember 2021, Goh V Shem dan Ernest Yap akan menjadi pemegang lesen bersama untuk cawangan Vanilla Mille Crepe ke-32 di Cheras Leisure Mall.
Sebagai tambahan, Ernest Yap juga akan membuka cawangan ke-33 di Centrepoint Bandar Utama yang bakal menerima pengunjung pada penghujung Disember 2021.
”Kami memilih Goh V Shem sebagai wajah jenama kami kerana reputasi beliau di dalam mempromosikan gaya hidup sihat di media sosial dan juga di dalam gelanggang.
"Dikenali di seluruh Asia Tenggara melalui pencapaian cemerlang di dalam sukan badminton, Goh V Shem merupakan personaliti yang sesuai untuk kami berkembang ke negara jiran pada tahun 2022. Dengan itu, saya mengalu-alukan Ernest Yap dan Goh V Shem ke dalam keluarga Vanilla Mille Crepe," tambah Liew.
Majlis turut menyaksikan Vanilla Mille Crepe melancarkan produk baharu mereka, ’Original Vanilla (bersama Panna Cotta) Crepe Cake’, produk pertama dalam ’Plant-Based Booster Series’ mereka.
Pakar-pakar hidangan pencuci mulut di Vanilla Mille Crepe berusaha keras dalam menghasilkan kek ‘crepe’ kurang kalori yang dibuat tanpa gula tambahan bersama dengan bahan-bahan berasaskan tumbuhan berkualiti yang diimport khas dari Perancis.
Bahan-bahan tersebut memberikan alternatif hidangan pencuci mulut yang lebih sihat tanpa memberi kesan kepada rasa, keaslian dan kualiti.
Kek-kek ini hanya mengandungi separuh dari kadar kalori kek-kek keju biasa dengan kadar kandungan lemak dan gula yang amat rendah, menjadikan kek-kek ini pilihan yang sesuai bagi mereka yang menjaga kesihatan.
”Kek dinikmati dalam pelbagai sambutan, dan di Malaysia, kita amat bertuah untuk menyambut pelbagai perayaan. Dengan siri kek terbaharu dari Vanilla Mille Crepe, para pengguna mempunyai pilihan yang lebih sihat, berkhasiat dan lazat,” komen Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad.
Sambung beliau, walaupun tahun 2021 ini mencabar, ia amat menggembirakan untuk melihat syarikat-syarikat seperti Vanilla Mille Crepe yang berkembang dan memperluaskan perniagaan mereka.
"Pada masa yang sama meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyediakan peluang pekerjaan pada masa yang mencabar ini,” beliau akhiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan